Wednesday, December 31, 2008

Selamat Menyambut Tahun Baru 2009.

Semoga tahun 2009 akan memberi lebih banyak kematangan dan kewarasan dalam pemikiran rakyat Malaysia. Biarlah kebenaran itu sentiasa berada di hati rakyat Malaysia. Apa yang terjadi pada tahun 2008 semoga akan menjadi pengajaran dalam kita menghadapi kehidupan seharian. Selamat menyambut tahun baru and Happy New Year to all Malaysian.

Renugan Tiga Sungai: Biarlah tahun 2008 jadi pengajaran dan titik hitam dalam politik negara. Bersama-sama kita menempuh tahun 2009 dengan azam yang baru. Amin.

Manikavasagam letak jawatan Timbalan Pengerusi PKR Selangor


Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor S. Manikavasagam

SHAH ALAM 31 Dis. — Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam hari ini meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berkuatkuasa serta merta kerana kesal dengan sikap sesetengah pemimpin di Selangor yang gagal menjaga kepentingan rakyat.

Beliau berkata surat peletakan jawatannya itu yang bertarikh hari ini telah dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Pengerusi PKR Selangor manakala salinannya dihantar kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Keputusan muktamad ini terpaksa saya ambil selepas mendapati sesetengah pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR) berlagak sombong dan enggan berbincang sesama sendiri bagi mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang diketengahkan,” kata Manikavasagam kepada pemberita di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Mengenai kedudukannya sebagai anggota Majlis Tertinggi PKR, Manikavasagam berkata beliau akan membuat keputusan selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf) P. Waythamoorthy.

“Keputusan muktamad sama ada saya akan keluar parti atau tidak, hanya saya umumkan selepas mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemimpin tersebut,” katanya. - Bernama

Renungan Tiga Sungai : Nampaknya kegoyahan dalaman PKR tidak dapat dibendung lagi. Itu lah natijahnya jika kesepaduan dalam Pakatan tidak dihormati.

PMR: Lima sekolah mencapai 100 peratus penguasaan minimum ‘D


KUCHING: Pencapaian kelulusan pelajar di negeri ini dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini amat membanggakan dengan lima sekolah mencapai 100 peratus penguasaan minimum ‘D’ dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran Sarawak Dr Julaihi Bujang memberitahu prestasi PMR tahun ini (2008) menampakkan peningkatan yang ketara dengan pertambahan 39 calon mencapai kelulusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran berbanding tahun lepas (2007).

Dalam laporan keputusan PMR dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) di sini semalam, Julaihi berkata pencapaian itu adalah sangat membanggakan.

“Sarawak mencapai peningkatan ketara dalam enam mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Kemahiran Hidup 2 & 3 dan Bahasa Iban bagi calon-calon mendapat A.

“Perbezaan peningkatan antara dua hingga empat peratus berbanding tahun 2007,” katanya.

Beliau menjelaskan, mata pelajaran Bahasa Melayu mencapai 21.2 peratus, Bahasa Inggeris (14.3 peratus), Matematik (19.6 peratus), Kemahiran Hidup 2 (ERT) (14.8 peratus), Kemahiran Hidup 3 (Pertanian) 9.4 peratus dan Bahasa Iban (30.1 peratus).

Menurut Julaihi, lima sekolah yang mencapai kelulusan 100 peratus penguasaan minimum ‘D’ dalam semua mata pelajaran adalah Sekolah Menengah Sains Kuching, Sekolah Menengah Sains Miri, Maktab Rendah Sains MARA Kuching dan dua sekolah swasta iaitu Sekolah Menengah Tunku Putra Kuching dan Kiang Hin Middle School Sibu.

“Bagi tahap penguasaan minimum ‘D’, Sarawak mencatat peningkatan tiga hingga enam peratus dalam empat mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris (74.9), Pendidikan Islam (92.9), Kemahiran Hidup 2 (93) dan Bahasa Arab (65.7).

“Pencapaian keseluruhan bagi tujuh mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Sains, Bahasa Cina dan Bahasa Iban telah mengatasi pencapaian keseluruhan pada peringkat kebangsaan,” katanya.

Julaihi berkata, dari segi pencapaian individu seramai 1,563 calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) telah berjaya mencapai keputusan cemerlang iaitu peringkat A dalam semua mata pelajaran yang mereka duduki.

Katanya, peningkatan tahun ini adalah sebanyak 3.87 peratus berbanding tahun lalu iaitu seramai 1,524 calon mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Beliau menjelaskan, secara keseluruhannya seramai 24,297 calon (60.09 peratus) PMR tahun ini mampu menguasai tahap minimum ‘D’ bagi semua mata pelajaran.

“Seramai 41,073 calon seluruh negeri ini menduduki PMR tahun ini dan daripada jumlah itu 40,229 adalah calon SMK, 701 calon sekolah swasta, 136 calon MRSM dan tujuh calon persendirian,” katanya.

Keputusan peperiksaan PMR 2008 diumumkan secara rasmi di seluruh negara semalam dan semua keputusan calon sekolah dihantar ke sekolah masing-masing sementara keputusan calon persendirian telah diposkan.

Sehubungan itu pihak sekolah, calon dan ibu bapa diingatkan bahawa permohonan untuk semak semula perlu dibuat dalam tempoh 30 hari selepas tarikh pengumuman keputusan dan dihantar terus kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Peratus semua A PMR naik

PUTRAJAYA 30 Dis. - Pencapaian calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini sangat membanggakan apabila 26,378 atau 5.96 peratus daripada 472,060 calon berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran diambil.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, calon yang mendapat 9A pada tahun ini ialah seramai 3,396 (11.54 peratus), 8A 17,969 (5.11 peratus) dan 7A 5,013 (8.11 peratus).

Menurutnya, berbanding tahun lalu, pelajar yang meraih semua A adalah seramai 24,744 (5.65 peratus); 20,213 (2006) dan 20,101 pada 2005.

Kata beliau, peratusan murid yang menguasai kemahiran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pada PMR tahun ini juga menunjukkan peningkatan yang amat menggalakkan.

''Bagi mata pelajaran Sains, daripada 456,795 calon, sejumlah 235,510 (51.2 peratus) orang menjawab dalam bahasa Inggeris, 141,658 (30.8 peratus) dalam bahasa Melayu manakala 82,627 (18.0 peratus) menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris.

''Sementara bagi Matematik, daripada 462,051 calon, seramai 124,209 (26.9 peratus) calon menggunakan bahasa Inggeris, 91,955 (19.9 peratus) bahasa Melayu dan 245,887 (53,2 peratus) menjawab dalam bahasa Melayu dan Inggeris," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada tahun ini, seramai 472,060 calon mendaftar menduduki PMR dan daripada jumlah itu, sebanyak 442,791 adalah pelajar sekolah bantuan penuh kerajaan.

Calon PMR tahun ini merupakan kohort keempat yang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dari tingkatan satu hingga tiga.

Alimuddin berkata, bagi mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris, calon masih dibenarkan sama ada menjawab sepenuhnya dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu atau bercampur-campur.

Beliau seterusnya memberitahu, pencapaian calon yang memperoleh sekurang-kurangnya D bagi semua mata pelajaran adalah 62.93 peratus berbanding 63.53 peratus tahun lalu manakala E ialah 440 (0.10 peratus) berbanding 559 orang (0.13 peratus) pada 2007.

''Jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar semakin rapat terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

''Secara keseluruhannya, pencapaian murid di luar bandar menunjukkan peningkatan bagi pencapaian cemerlang dan melepasi tahap penguasaan minimum berbanding murid di bandar dalam semua mata pelajaran," katanya.

Ditanya sama ada calon PMR 2009 masih dibenarkan menjawab soalan dalam dwibahasa berikutan kerajaan masih belum memutuskan kedudukan PPSMI, beliau berkata, mereka masih boleh berbuat demikian tahun depan.

Israel terus mengganas, korban meningkat 374 orang

GENTING GAZA 30 Dis. – Jet-jet pejuang Israel terus memperhebatkan serangan di Genting Gaza awal hari ini, masuk hari keempat berturut-turut, mengorbankan 10 lagi penduduk Palestin.

Serangan tersebut turut menyebabkan 40 lagi penduduk Palestin cedera.

Serangan terbaru Israel itu di wilayah ini, turut meragut nyawa pasangan adik-beradik perempuan berusia 10 dan 12 tahun.

Pegawai perubatan meletakkan angka kematian sejak serangan Israel bermula Sabtu lalu pada 374 orang dan 1,690 yang lain cedera.

Sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 62 orang awam turut terkorban dalam serangan Israel di Genting Gaza.

Sementara itu, pejuang-pejuang Hamas di Gaza meningkatkan serangan roket ke wilayah Israel hari ini menyebabkan seorang anggota tentera Israel dekat sempadan Gaza terbunuh dan mengorbankan seorang lagi penduduk Israel di bandar Ashdod..

Setakat ini, lima orang Yahudi di Israel terbunuh dalam serangan roket yang dilancarkan oleh pejuang Hamas sejak serangan Israel pada Sabtu lalu.

Tinggal enam minggu sebelum Israel berdepan dengan pilihan raya yang diramalkan dimenangi oleh Parti Likud, kerajaan Israel menyatakan bahawa serangan dilakukan bertujuan menamatkan serangan roket oleh pejuang Hamas.

Menteri Dalam Negeri Israel, Meir Sheetrit menjelaskan, tiada ruang untuk gencatan senjata dengan Hamas sehinggalah serangan roket Hamas dihentikan.

“Tentera Israel tidak akan menghentikan operasi selagi tidak menghancurkan semangat penduduk Palestin daripada menyokong Hamas dan selagi mereka terus melancarkan roket ke atas Israel,” katanya kepada Israel Radio.

– Reuters

Saturday, December 27, 2008

Hangat : Tujuh dilucut jawatan hangatkan rombakan PKR negeri

DATUK Dr. Jeffry Kitingan mengakui rombakan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang menyaksikan tujuh muka lama dilucutkan jawatan mencetuskan rasa kurang senang di kalangan ahli parti itu. Lebih-lebih lagi apabila jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Sabah/Sarawak yang dipegang oleh Jeffry sendiri selama dua tahun turut dilupuskan.

Dan tambah mengejutkan dan menimbulkan tanda tanya kepada penduduk Sabah ialah apabila Penasihat/Ketua Umum PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang kedua-dua jawatan Pengerusi PKR Sabah/Sarawak dalam rombakan yang diumumkan itu.

"Saya tidak nafikan ada ahli PKR Sabah melihat seolah-olah penduduk Sabah tidak layak untuk diberi kepercayaan menerajui negeri sendiri... Ya, ada yang melihatnya begitu.

"Lagi pun apabila jawatan pengerusi jawatankuasa pemandu ini ditiadakan, ia telah mencetuskan persoalan besar, setakat ini kedudukan saya pun tidak diketahui lagi kerana belum ada perbincangan tentang struktur operasi pengurusan (PKR Sabah), mungkin (mesyuaratnya) akan dibuat dalam bulan ini," kata Jeffry.

Dalam pada itu, ahli majlis tertinggi PKR, Ansari Abdullah enggan mengulas rombakan kepimpinan PKR negeri itu.

"Saya sebagai ahli MT PKR menerima keputusan parti ini," kata bekas Pengerusi PKR Sabah itu yang menganggap ulasannya kepada akhbar ini begitu 'berbahaya'.

Sememangnya, rombakan kepimpinan PKR negeri ini membangkitkan rasa kurang selesa di kalangan anggota PKR. Penulis sendiri menerima panggilan 'meluah perasaan' daripada beberapa orang yang mendakwa diri ahli PKR. Jika pada Ogos lalu ungkapan-ungkapan yang tidak enak berbaur sinis diterima penulis ekoran sentimen keghairahan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh, tetapi kali ini nadanya berbeza sekali. Terkejut, terkilan, semuanya ada dalam panggilan-pangilan telefon yang diterima. Dalam congakan mereka, ada sesuatu yang serba tidak kena. Malah, gesa mereka agar diperhalusi rombakan yang diumumkan itu secara lebih dalam oleh para penyokong dan ahli PKR sendiri.

Daripada 11 pengerusi PKR negeri, hanya empat muka lama dikekalkan. Muka baru selain Anwar sendiri termasuklah Datuk Fauzi Abdul Rahman yang mengepalai PKR Pahang, Ahmad Kassim (Kedah), Ab. Aziz Kadir (Kelantan), Johari Shafie (Perlis), Osman Abd. Rahman (Perak) dan Wan Rahim Wan Hamzah (Terengganu). Muka lama yang kekal pula adalah Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohd. Hashim, Datuk Kamarul Baharin Abbas (Negeri Sembilan), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Selangor/Wilayah) dan Dr. Zaliha Mustafa (Johor).

Anwar, dalam tulisan terbarunya bertajuk Rombakan Pimpinan Keadilan Negeri bertarikh 25 Disember, mengakui ada menerima kritikan daripada penyokong pimpinan negeri yang dilucutkan jawatan. Beliau mengakui teguran itu ditujukan kepada dirinya dan juga isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden parti.

Misalnya, pelantikan Fauzi dikatakan tidak disenangi para penyokong bekas pengerusi PKR Pahang, Zakaria Hamid. Zakaria dikatakan tulen PKR sedangkan Fauzi didakwa hanya mengambil kesempatan di atas kemenangan banyak kerusi PKR pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Pelantikan Osman di Perak juga didakwa seolah-olah menafikan peranan bekas pengerusi PKR negeri, Zulkifli Ibrahim. Ada pihak berpendapat, Anwar marah kepada Zulkifli kerana gagal melobi calon PKR menjadi Menteri Besar Perak.

Bagaimanapun, Zulkifli yang dihubungi semalam menafikan. "Tidak adalah, siapa yang kata begitu, bagi saya siapa yang diumumkan, itulah dia pilihan parti," katanya dalam nada bersahaja.

Jawatan Menteri Besar disandang oleh Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin dari Pas.

Dan Ketua Pembangkang itu juga dikatakan dikritik hebat ekoran penguasaan jawatan Pengerusi PKR Sabah dan Sarawak yang menafikan peranan Dominic Ng (Sarawak), Ansari selain Jeffry.

Dalam komennya kepada akhbar ini, Jeffry mengakui 'ada masalah' dalam kepimpinan PKR Sabah sehingga menyebabkan Anwar memegang serentak dua jawatan pengerusi PKR dua negeri di Borneo itu.

"Mungkin ia bertujuan untuk mencari penyelesaian yang lebih baik supaya ada satu prosedur untuk memilih pucuk pimpinan negeri.

"Cara pelantikan yang digunapakai sekarang mungkin tidak sesuai dan harus dibuat melalui cara pemilihan yang memerlukan pindaan perlembagaan parti," katanya.

Meskipun menjangkakan Anwar akan memegang dua jawatan itu 'buat sementara', namun kata beliau, masalah kepimpinan dua negeri itu perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Memang jawatan Pengerusi PKR Sabah itu bukan hak mutlak saya tapi kita (ahli PKR Sabah) memang hendak begitu (disandang penduduk tempatan)," kata Jeffry.

Rombakan kepimpinan PKR di peringkat negeri ini tentunya akan memberi kesan. Mungkinkah PKR akan bertambah mantap seperti diharapkan oleh Anwar atau menambah masalah dan pertelingkahan yang dihadapi oleh parti itu.

sumber :http://suarapolitik.com

Penduduk peringati mangsa tsunami


GAMBAR FAIL... Masjid Baiturrahman di Banda Aceh berdiri kukuh walaupun kawasan sekitarnya musnah sama sekali akibat dilanda tsunami pada 26 Disember 2004.

Majlis doa selamat dan pelbagai acara lain diadakan dari India sehinggalah ke Indonesia hari ini untuk memperingati mangsa tsunami di Lautan Hindi pada 2004.

Bagi ramai penduduk di kawasan bencana yang melanda 12 negara itu, majlis serba sederhana hari ini menjadi detik untuk merenung kehidupan mereka sendiri, selain menilai kemajuan pembinaan semula rumah dan perkampungan yang musnah dilanda ombak besar genap empat tahun lalu.

Seorang kakitangan awam di wilayah Aceh, Ibrahim Musa, 42, berkata, dia merasakan seolah-olah seperti baru semalam seluruh keluarganya dihanyutkan ke laut.

"Walaupun sudah empat tahun berlalu, saya masih tidak dapat melupakan bagaimana isteri dan anak kecil saya terlepas dari pegangan saya.

"Selama tiga tahun saya cuba mencari mereka tetapi kini saya tidak ada pilihan kecuali menerima kehilangan mereka sebagai takdir," kata lelaki itu.

Ibrahim berkumpul bersama-sama ribuan penduduk lain di sepanjang pantai Aceh, salah satu kawasan yang dilanda gempa bumi kuat pada 26 Disember 2004 yang mencetuskan tsunami dan meragut 260,000 nyawa, lebih separuh daripada mangsa itu di negara ini.

Di pantai Thailand, tempat lebih 5,000 orang termasuk ramai pelancong maut, ahli keluarga menyalakan lilin dan menghadiri majlis memperingati ratusan mangsa yang tidak dapat dikenal pasti identiti mereka.

Di India yang menyaksikan 10,000 terkorban, majlis doa melibatkan penganut daripada pelbagai agama dan detik bertafakur diadakan.

Friday, December 26, 2008

JAWAH GERANG SAH SERTAI PKR

SRI AMAN, Rabu (24 dis) – Bekas Ahli Parlimen P.203 Lubok Antu, Jawah anak Gerang secara rasminya telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi sebuah majlis yang berlangsung di sebuah hotel tempatan dalam bandar Sri Aman hari ini.

Bekas ahli Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) terbabit sah menyertai PKR setelah menyerahkan borang kemasukan ahli kepada Setiausaha Agung parti berkenaan iaitu Dato Salehuddin Hashim pada jam 12 tengahari hari ini.

Jawah ketika bercakap kepada para pemberita menerusi sidang media sebaik sahaja selesai majlis menjelaskan bahawa beliau menyertai PKR setelah tidak mendapat tempat dalam mana-mana komponen parti Barisan Nasional (BN) dalam negeri ini.

“Saya gagal mendapat tempat dalam Parti Demokratik Rakyat Sarawak (SPDP) sebelum ini dan juga tidak diterima dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Lebih-lebih lagi apabila parti Kongres Dayak Malaysia (MDC) dahuli tidak terima pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) saya akhirnya nekad untuk menyertai parti ini (PKR),” jelas beliau.

Selain itu beliau juga mendakwa bahawa PKR adalah sebuah parti yang sensitif terhadap pelbagai isu berkaitan dengan kebajikan hidup rakyat di negara ini berbanding dengan kerajaan yang sedia ada pada masa sekarang.

Sambil mendakwa BN adalah sebuah kerajaan yang angkuh, Jawah yakin PKR akan mampu menjaga kebajikan hidup rakyat sekiranya mereka mampu memerintah negeri ini menjelang pilihanraya akan datang.

“PKR mempunyai polisi pembangunan yang bersesuaian untuk rakyat di negeri ini. Atas sebab ini saya telah bertindak menyertai PKR dan permohonan saya ini nampaknya diterima baik oleh mereka,” katanya

Transformasi Politik Husam

Dicabar kekanan, digertak kekiri. Inilah yang saya lihat tentang YB Dato' Husam Musa, Naib Presiden PAS, apabila, belum pun sempat hilang panasnya bara ketetapan dan jawapan beliau untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia , terus tersungkur dan menyerah kalah pada gesaan DAP.

Semasa majlis Wacana Transformasi Politik Malaysia, saya telah minta pendirian jelas daripada Dato' Husam mengenai perlaksanaan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Pusat sepertimana impian 16 September. Beliau menjawab dengan jelas "kita akan buat." Saya selanjutnya meminta beliau jelaskan sekali lagi jawapannya dan beliau menegaskan sekali lagi bahawa "kita akan buat" sambil mengangkat jari dan tangan menandakan kesungguhan jawapan beliau.

Namun, tak sampai 24 jam kenyataan beliau disiarkan oleh pihak media, YB Lim Kit Siang, selaku Supremo DAP, mempertikaikan kenyataan Dato' Husam dan menegaskan bahawa hukum hudud tidak menjadi dasar Pakatan Rakyat. Kenyataan Lim Kit Siang ini kemudiannya disokong oleh anak beliau YAB Lim Guan Eng, yang dipuji berkali-kali dalam Wacana tersebut oleh Dato' Husam sebagai pemimpin moden ala Saidina Omar Abdul Aziz.

Akibat pukulan dan desakan DAP ini, Dato' Husam yang tampak berani dan bersemangat tinggi semasa majlis Wacana di Balai Islam Kota Bharu, tiba-tiba pula menjadi ikon transformasi politik layu di mana dengan longlai dan lesunya tunduk kepada gertakan DAP. Tidak sampai dua hari selepas Dato' Husam dengan lantang memberi jaminan kepada penyokong tegar PAS di gelanggangnya sendiri bahawa hudud akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan, beliau sudah pun "surrender" dan kata hukum hudud tidak akan dilaksanakan kerana memerlukan persetujuan rakan kongsi "senior" dalam Pakatan Rakyat yakni PKR dan DAP.

Kenyataan "u-turn" Dato Husam dalam tempoh yang amat pendek sekali memberikan kita satu lagi contoh dimana PAS terpaksa tunduk kepada desakan parti DAP. Dimanakah prinsip PAS yang dikatakan oleh Dato' Husam semasa beliau bentangkan mukadimahnya di Wacana tersebut yang mana antara "P" penting yang disebut adalah prinsip? Takkan prinsip boleh dibuang begitu mudah sahaja? Wallahualam.

Selamat Hari Natal

Tingkatkan perpaduan dan semangat muhibah dalam menyambut hari natal. Jadikan amalan kunjung mengunjung sebagai budaya hidup kita di Malaysia. Selamat menyambut hari natal kepada seluruh warga yang beragama kristian.

Tuesday, December 23, 2008

Keajaiban atau Kerterpaksaan???

Jenaka Untuk Semua

Bercakap mengenai politik tanah air, ada satu soalan - tahukah kita semua, parti politik apa yang paling berpengaruh di Malaysia?? UMNO - bukan, MCA - juga bukan, PKR - bukan juga. Sebaliknya parti politik paling kuat pengaruhnya di Malaysia adalah parti Gerakan. Parti itu lebih berkuasa dan lebih ampuh berbanding apa juga parti dalam komponen Barisan Nasional, BN mahupun parti dalam pakatan rakyat, PR.

Mengapa demikian???

Sebabnya, parti Gerakan boleh dilihat di setiap ruang kerja mahupun ibupejabat semua parti politik di Malaysia. Tak percaya ??? Semua parti politik pasti mempunyai bilik gerakan masing2. Bilik gerakan adalah tempat di mana pengaturan strategi, mesyuarat, perbincangan, musyawarah, dialog, sesi maklum balas, soal jawab dan macam2 lagi diadakan.

Semua parti seperti UMNO, MIC, MCA, PKR, DAP, PBS, PBRS, LDP, PPP, UPKO, SAPP, SUPP, PBDS, PRS, PBB dan PAS sudah sememang dan pastinya mempunyai bilik gerakan masing masingkan..?? Betul tak?? hehehe Selamat Tahun Baru 2009.... sekadar lawak ye... jangan marah!!!!!! Fikir lah sendiri.

Dewan Negara lulus lima rang undang-undang hari ini

KUALA LUMPUR 23 Dis. — Dewan Negara hari ini meluluskan lima lagi rang undang-undang iaitu Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008, Rang Undang-undang Pencen (Pindaan) (No.2) 2008, Rang Undang-undang Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Pindaan) (No.2) 2008, Rang Undang-undang Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2008 serta Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) (No.2) 2008 tanpa sebarang pindaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 berkata, rang undang-undang tersebut tidak bercanggah dengan Perkara 122B dan 161E Perlembagaan Persekutuan.

“Ini kerana apabila tidak ada pindaan yang dibuat, dan apa yang kita lakukan ini tidak bertentangan dengan perlembagaan. Soal untuk kita mengkaji dengan mendalam supaya apa juga rang undang-undang yang kita wujudkan tidak bertentangan dengan perlembagaan merupakan perkara biasa yang dilakukan oleh kakitangan-kakitangan pejabat Peguam Negara,” katanya.

Rang undang-undang itu, yang akan dinamakan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008, mengandungi 37 fasal dan lima bahagian dan hanya akan berkuatkuasa pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

- Bernama

4,749 pekerja bakal diberhentikan tahun depan

Jumlah pemberhentian pekerja itu adalah angka rasmi yang dilaporkan oleh majikan, kebanyakannya dalam industri elektronik kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) setakat ini.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pula menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun depan ekoran keadaan ekonomi yang diramal pada suku tahun pertama dan kedua 2009.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengulas isu itu berkata, kerajaan kini dalam perancangan untuk menyediakan program latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan bagi membantu mereka mendapat pekerjaan baru.

Menurutnya, mereka yang terlibat dengan program latihan semula kendalian Kementerian Sumber Manusia itu nanti akan turut menerima elaun bulanan sepanjang tempoh latihan dijalankan.

“Selain itu, para pekerja yang diberhentikan juga harus kembali memasuki pasaran buruh kerana memang terdapat kekosongan kerja dalam negara kita sekarang ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dan Dialog Bersama Ulama dan Umara di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri mengakui wujudnya penurunan permintaan terhadap produk elektronik negara berikutan krisis ekonomi global yang dihadapi kini.

“Memang ada penurunan permintaan dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) khususnya dan ini menyebabkan sesetengah syarikat memikirkan untuk mengecilkan jumlah pekerja mereka bagi mengurangkan kos,” jelasnya.

Terdahulu di Petaling Jaya, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, pada Januari ini sebanyak 35 majikan akan memberhentikan 3,111 pekerja diikuti Februari, tiga majikan memberhentikan 1,523 pekerja manakala Mac, 64 majikan bakal memberhentikan 115 pekerja.

Beliau menegaskan, di bawah seksyen 63 Akta Kerja 1955, majikan yang ingin memberhentikan pekerja, memberhentikan secara sukarela atau sementara dan mengurangkan gaji perlu melaporkan kepada JTK sekurang-kurangnya 30 hari sebelum berbuat demikian.

“JTK akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas sekiranya ada majikan yang gagal melaporkan sebarang pemberhentian pekerja,” katanya.

Subramaniam menambah, di samping mengemukakan laporan pemberhentian, majikan juga hendaklah membayar faedah pemberhentian kerja seperti ditetapkan dalam Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Kerja (Faedah-Faedah Penamatan dan Hentikerja Sementara) 1980 di bawah Akta Kerja 1955.

“Pekerja yang berkhidmat kurang daripada dua tahun perlu dibayar 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.

“Mereka yang telah berkhidmat selama dua tahun tetapi kurang dari lima tahun pula perlu dibayar 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan,” katanya.

Pekerja yang telah berkhidmat selama lima tahun atau lebih pula kata beliau, hendaklah dibayar 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.

Monday, December 22, 2008

Kempen sertai kerjaya PTD


ABDUL RAHIM Bakri (kiri) melawat pameran mengenai aktiviti dan maklumat Kementerian Luar pada Program Seranta, Diplomasi Awam dan Penerangan di Pasaraya 1 Borneo, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 21 Dis. - Usaha menarik lebih ramai rakyat Sabah untuk berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Luar adalah satu langkah yang harus dipuji kerana tepat pada masanya.

Ini kerana penyertaan rakyat Sabah di kementerian tersebut masih terlalu kecil bilangannya iaitu tidak sampai pun lima peratus dan ada juga yang mendakwa kurang daripada jumlah itu.

Melalui Program Seranta, Diplomasi Awam dan Penerangan di Pasar Raya 1 Borneo, dekat sini, baru-baru ini, diharapkan lebih ramai rakyat Sabah berminat untuk membina kerjaya di kementerian itu.

Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran serta memaklumkan kepada orang awam tentang tugas dan fungsi kementerian itu terutamanya melibatkan isu-isu hubungan antarabangsa dan dasar luar Malaysia.

Melalui program anjuran kementerian itu yang diadakan selama tiga hari, turut diberikan pendedahan dan penjelasan yang menyeluruh mengenai jawatan-jawatan di kementerian berkenaan.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Sabah dipilih sebagai negeri pertama sebelum program itu dilaksanakan di seluruh negara.

Antara pengisian program itu ialah ceramah kerjaya, forum mengenai dasar dan polisi negara serta galeri foto yang memaparkan sejarah dan penglibatan Malaysia dalam hubungan diplomasi.

Melalui program tersebut, orang awam yang berminat dan berkelayakan akan mendapat gambaran yang jelas mengenai peranan dan tanggungjawab pihak kementerian dengan lebih tepat.

Sebagai contoh, melalui ceramah dan forum, diterangkan dengan jelas panduan dan tugas-tugas seorang diplomat mengikut gred jawatan seperti Setiausaha Pertama, Kedua dan Ketiga, Konsul Jeneral, Konsul Muda, Penasihat, Menteri Penasihat dan seterusnya.

Abdul Rahim berkata, rakyat Sabah sepatutnya memohon mengisi kekosongan jawatan di kementerian berkenaan kerana peluang seperti itu jarang diperoleh.

Katanya, antara punca utama tidak ramai rakyat Sabah berkhidmat di kementerian itu adalah kerana kurangnya pendedahan serta tidak mendapat maklumat yang tepat dan cukup.

"Rakyat negeri ini juga kurang berminat kerana tidak mahu bertugas di luar negeri Sabah dan ini amat merugikan. Mereka perlu bersedia untuk bertugas di mana- mana negeri atau negara.

"Difahamkan perkara ini sering menjadi halangan kepada rakyat Sabah, kita perlu mengubah keadaan tersebut kerana jika tidak berbuat demikian, orang Sabah akan terus ketinggalan," katanya.

Menurut beliau, sudah tiba masanya rakyat Sabah mengubah minda agar tidak terus terperangkap dengan sikap dan pemikiran negatif yang hanya akan merugikan diri sendiri.

Bagi menjawat jawatan tertinggi yang melayakkan seseorang menjadi diplomat katanya, mereka yang berminat perlu menyertai skim perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

Beliau berkata, jumlah rakyat Sabah yang menyertai skim PTD terlalu kecil yang mana bukan sahaja di kementerian itu tetapi juga dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Berdasarkan statistik katanya, hanya empat anak kelahiran Sabah, manakala tidak sampai 20 orang dari Sarawak menyertai skim PTD berbanding hampir 400 pegawai di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau meminta kakitangan kerajaan dan penuntut universiti supaya menyertai skim tersebut supaya orang Sabah turut berpeluang menduduki jawatan tertinggi dalam kerajaan.

Oleh ZULHISHAM ISHAK


Rebat RM705 kepada pemilik enjin sangkut?

KUCHING 21 Dis. - Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk memberi subsidi dalam bentuk rebat kepada lebih 31,000 pemilik enjin motor sangkut di Sarawak berjumlah RM705 bagi setiap enjin pada tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, subsidi itu akan diberikan kepada pemilik enjin sangkut yang telah mendaftar dengan pejabat daerah di negeri ini.

Menurutnya, cadangan itu adalah satu daripada tiga isu yang telah dibawa ke perhatian kerajaan Julai lalu, sebagai langkah penyelesaian terhadap masalah harga barang dan kos pengangkutan yang wujud di kawasan luar bandar di negeri ini.

''Setakat ini, terdapat lebih 31,000 pemilik enjin motor sangkut menggunakan petrol atau diesel telah mendaftar dengan pegawai-pegawai daerah dan jumlahnya telah ditentukan," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama media Sarawak 2008 di sini semalam.

Shahrir berkata, selain pemberian subsidi itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan status yang sama bagi setiap stesen minyak terapung di sungai-sungai besar di Sarawak sama seperti stesen yang beroperasi di darat.

Katanya, kerajaan juga telah bersetuju untuk membayar kos pengangkutan minyak petrol dan diesel ke kawasan pedalaman sama ada menggunakan sungai atau darat.

''Sekiranya cadangan-cadangan ini diselaraskan, saya yakin banyak masalah yang berpunca daripada kos pengangkutan ini akan dapat diselesaikan pada tahun depan, termasuk di kawasan Kinabatangan dan Pensiangan di Sabah," katanya.

Shahrir memberitahu, kementeriannya akan melancarkan projek perintis 'Program Penghantaran Terus Barang-Barang Terkawal' yang ketiga bertempat di Saratok, Sarawak pada 22 Januari hadapan.

Menerusi projek ini ujarnya, kerajaan akan memberikan subsidi bagi setiap kos pengangkutan barang-barang terkawal ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurutnya, dengan pelaksanaan program itu, kerajaan akan dapat memastikan barang-barang terkawal ini akan sampai ke kawasan luar bandar dan harganya pula akan sama seperti harga barang yang dijual di kawasan bandar.

Sunday, December 7, 2008

Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha

Saya dengan ini mengucapkan selamat hari raya aidiladha kepada seluruh umat Islam. Bersamalah kita bermuhasabah untuk meningkatlan lagi keimanan. Buatlah sesuatu yang mendatangkan kebaikan dan hindarlah dari perkara yang boleh membawa keburukan. Maaf Zahir Batin.

Tragedi Runtuhan Berulang Lagi

Friday, December 5, 2008

Barrack Obama Team : Amerika Syarikat

Turunkan Harga Barangan di Sarawak

BELIA : Politik Radikal dan Taksub Pempgkang???

1) Belia merupakan satu aset negara yang amat bernilai dan perlu dicanai dengan segala ilmu yang positif agar mereka boleh menyumbang kepada pembangunan negara. Golongan belia mempunyai peranannya sendiri dalam merencanakan diari politik negara. Mereka ini lebih taksub, extrem dan bersifat ganas dalam memperjuangkan idealogi parti masing-masing.

2) Dalam pilihanraya yang lepas, kemenangan ke atas lima buah negeri oleh Pakatan Rakyat adalah sentuhan undi daripada golongan belia yang begitu anti dengan pihak kerajaan (Barisan Nasional). Strategi pihak pembangkang begitu jelas. Mereka cuba sedaya upaya untuk mempengaruhi minda golongan belia agar mereka berpaksi kepada idealogi Pakatan Rakyat.

3) Mengambil iktibar dari itu, pihak kerajaan harus merangka pelan dan tindakan yang drastik untuk memenangi hati dan jiwa golongan ini. Metedologi yang berkesan harus dirangka agar golongan ini kembali menaruh kepercayaan terhadap Barisan Nasional.

4) Target Group ini haruslah dipintal dangan benang kejujuran, kesetiaan dan budaya sayangkan negara agar mereka terus releven dengan aspirasi negara. Golongan veteren harus tampil sebagai penunjuk arah kepada mereka agar tidak hilang arah tujuan dan pedoman. Biarlah sikap radikal dan taksub ini menjadi budaya politik pembangkang dan bukanya Barisan Nasional.


Renungan : Belia harus berubah dari kepompong radikal dan ganas demi parti.

Tuesday, December 2, 2008

Harga Minyak Turun Lagi :Harga Petrol, Diesel turun 10 sen

1) Harga runcit petrol dan diesel turun sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa esok. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkannya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Berita ini disiarkan melalui TV1 dan 2 pada petang tadi.

2) Petrol RON97 dikurangkan daripada RM2 seliter kepada RM1.90 seliter, petrol RON92 pula dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter manakala diesel dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter.

3) Ini adalah hadiah untuk rakyat Malaysia yang banyak menyokong kerajaan Barisan Nasional. Terima Kasih Kerajaan yang prihatin dalam membantu rakyat mengharungi gelora kemelesetan ekonomi global.

Renungan : Alangkah beruntungnya jika kita tinggal di Malaysia. Semuanya ada...

Parti Progresif Rakyat (PPP), Jangan Ugut UMNO

1) Kenyataan yang dibuat oleh Presiden PPP itu telah menyebabkan kemarahan di kalangan Pemimpin UMNO. Belum reda dengan isu Ketuanan Melayu oleh Chua Soi Lek, timbul pula isu menyuruh agar ISA dipinda. Ini membuktikan bahawa rakan BN itu sudah mula menunjukan semangat ketidak kawanan. Apibala UMNO dilihat bermasalah, rakan kompenon akan cuba untuk membuat pelbagai tuntutan melalui media yang berbaur ugutan dan bukannya melalui Mesyuarah Barisan Nasional.

2) Semua pihak harus melihat keberkesanan ISA dalam menghalang anasir-anasir yang boleh menganggu gugatkan keamanan negara. Itulah tujuan akta itu ditubuhkan. Kita sebagai rakyat Malaysia harus ingat hanya dengan akta inilah dapat menjaga keharmonian, keamanan dan kestabilan sistem politik negara. Begitu juga dengan demorasi berpelembagaan yang telah diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Apabila ada suara-suara yang mahukan ISA dihapuskan, maka kita sebagai rakyat yang sayangkan negara ini harus tampil untuk mempertahankan ISA. Jangan kerana ISA dihapuskan negara berada dalam keadaan yang kacau bilau. Yang penting semua rakyat dapat menikmati sesuap nasi dengan penuh nikmat dan tidak perlu takut dengan dentuman letupan seperti di Mumbai baru-baru ini.

3) Saya melihat kenyataan oleh Presiden PPP itu melampau dan mahu mengugut untuk keluar dari komponen BN. Perkara ini mudah saja... kalau takut kena ISA jangan buat perkara yang boleh melibatkan akta tersebut. Tepuk dada tanya selera!!!!!!

Renugan : Kalau dah tak da kerusi dalam Parlimen mulalah nak buat kacau. Dulu semua bagus... Sekarang Apa Adaaaaaaaa.

Monday, December 1, 2008

Kredibiliti Anwar dipertikai

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN

KUCHING 30 Nov. - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mempertikaikan kredibiliti Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menjadikan Sarawak sebagai sasaran seterusnya untuk ditadbir oleh pakatan pembangkang.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata, kredibiliti Anwar telah dipertikai ekoran kegagalannya membentuk kerajaan pada 16 September lalu.

Menurutnya lagi, pakatan pembangkang juga masih belum menunjukkan kemampuan mentadbir lima negeri yang diperintah mereka ketika ini.

''Saya tidak mahu komen orang seperti itu. Kita tengok kredibilitinya tidak begitu tinggi selepas janji beliau untuk membentuk sebuah kerajaan baru pada 16 September lalu gagal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Anwar semasa Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam, yang mahu menjadikan Sarawak sebagai negeri keenam yang akan ditawan pakatan pembangkang.

Menurut Anwar lagi, kerja-kerja mendekati rakyat Sarawak akan dimulakan bulan hadapan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, beliau yakin Anwar dan Ketua PKR Sarawak, Dominic Ng tidak akan dapat meraih sokongan menyeluruh daripada penduduk di negeri ini.

Menurutnya, kedua-dua ahli politik terbabit belum memahami secara keseluruhannya tentang selok-belok budaya penduduk luar bandar terutama sekali kaum Dayak di negeri ini.

''Mereka (Anwar dan Dominic) tidak semestinya boleh berjaya dengan berkempen di seluruh negeri ini untuk menarik rakyat menyertai PKR daripada menyertai komponen BN Sarawak.

''Ini kerana faktor budaya penduduk luar bandar selama ini telah menyebabkan mereka menyokong kerajaan BN berbanding dengan tindakan mereka untuk menyokong pihak pembangkang,'' jelas beliau.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fadillah Yusof pula ketika dihubungi memberitahu, BN sedia 'menunggu' kehadiran pakatan pembangkang di negeri ini.

Katanya, rakyat Sarawak sudah cukup bijak dan mampu memikirkan perkara yang terbaik untuk mereka.

''Bagi PBB dan BN, kita sudah memberi yang terbaik dan sentiasa bagi yang terbaik untuk rakyat Sarawak.

''Apa yang kita harapkan, pakatan pembangkang tidak akan membuat fitnah dan melaga-lagakan rakyat yang akan menggugat ketidakstabilan politik dan perpaduan kaum di negeri sekali gus akan menyusahkan rakyat," jelas beliau.

Zaid wajar dihukum -UMNO tidak rugi apa-apa

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Kerajaan dan UMNO tidak akan rugi jika bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ingin menyertai parti pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Zaid bukanlah individu yang berpengaruh dan penting hingga boleh menjejaskan kerajaan serta UMNO jika beliau menyertai pihak pembangkang.

‘‘Sebenarnya, kita tidak rugi apa- apa pun kalau benar beliau (Zaid) akan menyertai pembangkang.

‘‘Bagi saya, ini perkara biasa kepada Zaid apabila tidak ada dalam kerajaan, mana lagi beliau hendak pergi melainkan ke pembangkang,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek perumahan Duta Suria di sini hari ini.

Mohamed Nazri mengulas mengenai hasrat Zaid yang tidak menolak kemungkinan akan menyertai parti pembangkang sewaktu menghadiri perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-5 di Stadium Melawati, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, sewaktu Zaid dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri, kebanyakan rakyat langsung tidak mengenali beliau.

Menurutnya, itu sudah menunjukkan bahawa Zaid bukanlah individu yang berpengaruh dan akan menjejaskan kerajaan serta UMNO jika beliau menyertai PKR.

Ditanya adakah UMNO akan mengambil tindakan ke atas Zaid berhubung kehadirannya pada Kongres PKR, beliau berkata, tidak ada gunanya untuk mengambil tindakan ke atas Zaid.

‘‘Seperti saya katakan, beliau (Zaid) bukan individu penting yang kita perlu bersusah payah memikirkan apa yang perlu kita lakukan ke atas beliau,’’ katanya.