Tuesday, March 22, 2011

Satu perempat muka baru: PBB


KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menurunkan sekurang-kurangnya satu perempat calon muka baru daripada 35 orang calonnya yang akan bertanding pada pilihan raya negeri ke-10 ini.

Presidennya, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud turut melahirkan keyakinan bahawa parti di bawah naungannya ini mempunyai peluang yang besar dalam pilihan raya kali ini dengan adanya muka-muka baru itu.

Bagaimanapun katanya, senarai nama calon hanya akan dikeluarkan sebelum hari penamaan calon, selepas dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Dewan sudah dibubarkan namun kita tidak akan mengeluarkan senarai calon dahulu kerana telah menjadi amalan kita…tidak mahu mengumumkan sebelum semua perkara dipersetujui oleh Perdana Menteri selaku pengerusi BN negara.

“Senarai calon akan dikeluarkan sebelum hari penamaan calon dan mereka yang akan menjadi calon akan tahu perkara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian Seminar Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Sarawak Tahun 2011 bertempat di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Sebelum ini, Taib yang juga Ketua Menteri dan Pengerusi BN Negeri telah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa 21 Mac 2011.

Pengumuman tersebut secara langsung menamatkan spekulasi semua pihak berhubung tarikh pembubaran DUN dan membayangkan pilihan raya negeri akan berlangsung dalam tempoh terdekat ini.

Pada pilihan raya negeri 2006 yang lalu BN yang diwakili oleh PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menang 62 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

PRS tampilkan muka baru di Ngemah, Pelagus


Masing membayangkan untuk kekalkan kesemua tujuh penyandang bagi mempertahankan kerusi

PERTAHAN PENDIRIAN: Masing ketika ditemubual wartawan bagi mendapatkan kepastian mengenai calon-calon PRS.

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Masing semalam membayangkan penyandang-penyandang bagi tujuh kerusi yang diperuntukkan kepada parti dikekalkan dan akan menampilkan dua muka baru untuk merebut kembali kerusi Pelagus dan Ngemah.

“Kita sudah mempunyai senarai nama tetapi ia terpulang kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) peringkat negeri dan pusat.

“Apabila masanya tiba, kita pasti akan beritahu anda … tunggu sahaja canang (pilihan raya) dibunyikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi hotel selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Ahli Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Sarawak 2011 @ Dewan Colloseum

Ketika ditanya sama ada parti ada memohon kerusi tambahan, Dr Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah memberitahu sembilan kerusi yang diperuntukkan sudah memadai.

“Kita mahu ia kekal sedemikian dan tidak ada sesiapa dibenarkan mengambilnya kerana apa yang milik saya, tetap milik saya dan yang milik orang lain, saya tidak akan mengambilnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkeyakinan tinggi bahawa PRS mampu menang di kesemua kerusi milik parti itu termasuk Ngemah dan Pelagus.

“Kita akan menang di Pelagus malah di kesemua sembilan kerusi itu asalkan setiap orang saling bantu-membantu dan jangan menikam dari belakang seperti pilihan raya negeri 2006,” katanya

Terdahulu, Masing pernah mengatakan wujud ‘musuh dalam selimut’ dalam perikatan Barisan Nasional merupakan punca PRS tewas di Ngemah dalam pilihan raya negeri 2006.

Dalam pilihan raya 2006, seorang calon bebas ketika itu Gabriel Adit yang kini merupakan Ketua Parti Cinta Malaysia (PCM), menewaskan calon BN Alexander Vincent dari PRS dan Richard Lias dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Sebelum pilihan raya, Ngemah sudah menjadi kubu kuat Adit dan beliau ingin terus menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi penggal keempat.

Dalam 8,000 pengundi kerusi Ngemah, Adit berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis, 549 undi.

Manakala bagi kerusi Pelagus, Larry Sng yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri memenangi kerusi di bawah tiket PRS pada pilihan raya 2001 dan 2006.

Bagaimanapun beliau dipecat pada 2007 berikutan krisis kepimpinan dalam parti itu pada tahun berkenaan.

Namun Larry tetap menjalankan tanggungjawabnya di kawasan berkenaan sebagai wakil rakyat BN walaupun tanpa parti.

Lihan Jok undur diri


MIRI: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan, Lihan Jok, malam tadi mengumumkan bahawa beliau mengundurkan diri daripada bertanding pada pilihan raya negeri ke-10 ini.

Pengumuman tersebut sekali gus menjadikan Lihan sebagai penyandang dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang kedua mengumumkan pengunduran secara rasmi, selepas Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen pada 16 Mac lalu.

Lihan semasa berucap pada Majlis Makan Malam Jiwa Murni anjuran Nadi Telang Usan dan Pergerakan Wanita PBB Telang Usan memberitahu beliau sudahpun menghantar surat rasmi mengenai pengundurannya itu kepada Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, semalam.

“Tugas mentadbir dan membangunkan kawasan Baram yang sebesar Negeri Pahang, bukan semudah yang disangka.

“Saya sudah cuba dua penggal tetapi apa kan daya, sehingga kini, inilah yang terbaik dan termampu saya lakukan untuk rakyat di Baram khususnya di (konstiteunsi) Telang Usan,” ujar beliau penuh emosi.

“Pengunduran ini juga akan memberi laluan kepada muka baru yang diharap dapat meneruskan pembangunan di Baram. Saya berharap calon baru nanti akan disokong sepenuhnya oleh rakyat di Telang Usan dan yang pasti beliau adalah seorang yang amat kita kenali,” katanya tanpa memberikan bayangan mengenai siapakah calon yang dimaksudkan.

Bagaimanapun menurut Lihan, terpulang kepada pemimpin tertinggi Barisan Nasional untuk menentukan siapakah calon paling layak.

SPR umum tarikh esok


Tarikah penamaan calon dan pembuangan undi diumum pada Rabu selepas mesyuarat: Takun

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-10 esok, sejurus selepas mesyuarat suruhanjaya itu diadakan.

Pengarah SPR Sarawak, Datu Takun Sunggah berkata suruhanjaya itu akan bermesyuarat Rabu ini untuk membincangkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi pilihan raya negeri itu kelak.

“SPR akan bermesyuarat pada Rabu untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi pilihan raya negeri Sarawak kesepuluh itu kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi untuk mendapatkan rancangan SPR berikutan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak kesembilan yang dibuat oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Sabtu lalu.

Taib mengumumkan pembubaran itu pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatan sehari mereka ke negeri ini pada hari itu.

Hadir sama pada sidang media itu ialah semua presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Taib adalah Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Mesyuarat itu kelak hanya akan membincangkan tentang pilihan raya negeri ini dan akan diumumkan pada sidang media yang akan diadakan selepas mesyuarat,” katanya.

Sementara itu SPR katanya akan menggunakan senarai pengundi yang berdaftar sehingga 31 Disember 2010, bagi pilihan raya negeri kali ini.

“Seramai 979,796 pengundi layak untuk mengundi pada pilihan raya negeri ke-10 ini. Mereka ini termasuk pemilih yang mendaftar setakat 31 Disember 2010,” katanya lagi.

Pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 ini, SPR akan menggunakan ketiga-tiga keperluan alternatif pengangkutan iaitu helikopter, bot laju dan perahu panjang bagi laluan sungai serta kenderaan pacuan empat roda.

Seramai 21,000 petugas SPR akan dikerahkan untuk bertugas di semua kawasan pilihan raya membabitkan 1,740 pusat pengundian.

Kali terkahir negeri ini mengadakan pilihan raya ialah pada 2006 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menguasai semula kerajaan negeri walaupun kalah di sembilan kerusi.

Sarawak memiliki 71 kerusi DUN dengan 35 daripada kerusi itu diperuntukkan kepada PBB manakala SUPP 19 kerusi, PRS, 9 dan SPDP, 8.

Sunday, March 20, 2011

Najib, Taib tahu masa yang sesuai peralihan kuasa di S’wak

SERIAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tahu masa yang sesuai untuk peralihan kuasa di negeri ini.

1MALAYSIA: Najib bersama timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Taib dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu (kiri) menunjukkan isyarat 1Malaysia sebelum meninggalkan majlis Pelancaran Sejiwa Senada di Dewan Masyarakat Serian di Kuching, semalam. — Gambar Bernama

Menurut Najib sesuatu peralihan kuasa perlu dijalankan dengan teliti dan teratur kerana hanya peralihan yang lancar dapat menjamin kesinambungan pembangunan yang telah dilaksanakan.

Beliau berkata, bayangan Taib untuk meninggalkan pentas sebagai pemimpin nombor satu negeri ini kerana beliau (Taib) mengutamakan berlakunya peralihan kuasa kepimpinan secara tersusun dan teratur baik di peringkat negeri ataupun pusat.

“Kami (Najib dan Taib) tahu bila masa yang sesuai untuk membuat peralihan kuasa di negeri ini kerana kami mempunyai persefahaman dalam perkara itu… kita tahu semua itu.

“Saya memberi jaminan kepada anda, Pehin Sri (Taib) bersedia apabila tiba masanya beliau benar-benar ingin meninggalkan pentas sebagai Ketua Menteri, jadi jangan bangkitkan perkara ini kerana yang penting peralihan itu berjalan dengan lancar,” katanya berucap merasmikan Program Sejiwa Senada Peringkat Bahagian Samarahan di sini, semalam.

Najib dalam pada itu memberi contoh semasa beliau mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, ia merupakan proses peralihan yang dilakukan dengan baik.

Jelasnya, Taib yang meru-pakan pemimpin berpengalaman malahan sejak zaman bapanya (Tun Razak) sudah pasti akan menetapkan kepimpinan yang kukuh dan stabil yang dapat diterima oleh semua pihak sebelum berundur.

“Jangan desak pada sesuatu tetapi ikut tradisi yang baik dalam negara kita kerana yang penting ialah peralihan kuasa yang tertib dan tersusun.

“Ia supaya kepimpinan baru yang ambil alih nanti mampu membawa Sarawak pada keadaan yang lebih baik dan beliau (Taib) akan menjadi penyo-kong kepada kerajaan Barisan Nasional (BN),” tegasnya.

Terdahulu Taib dalam ucapannya membayangkan beliau akan berundur dalam masa terdekat bagi memberi peluang kepada muka baru untuk mengambil alih peralihan kuasa di negeri ini.

Katanya peralihan kuasa itu harus dijalankan dengan teratur bagi memastikan dasar dan pembangunan kerajaan dapat diteruskan.

Bagaimanapun Taib yang enggan mendedahkan jangka masa untuk peralihan kuasa hanya berkata ia berlaku apabila tiba masanya.

“Saya tahu saya sendiri telah lama berkhidmat dalam negeri ini tetapi saya juga tahu pada suatu ketika saya terpaksa pergi, namun apa yang pasti saya tidak mahu impian saya lenyap bersama saya,” tegasnya.

Justeru kata beliau Sarawak harus ada kerajaan yang mempunyai kepandaian, pengalaman dan sentiasa menukar kepimpinan supaya pemimpin baru dapat mentadbir negeri ini.

“Sebab itu kemungkinan saya akan bersara adalah sudah dekat… saya akan terus mengetuai pilihan raya ini tetapi hanya untuk memastikan ia berjalan dengan lancar.

“Saya memimpin pilihan raya ini bagi memastikan muka-muka baru dapat diketengahkan tetapi mereka yang mengambil alih mestilah mereka yang benar-benar terlatih,” katanya.

Beliau berharap mereka yang telah dididik selama ini mampu membentuk satu pasukan yang dapat memberi khidmat kepada negeri untuk memberi jaminan supaya tidak seorang pun rakyat di Sarawak rasa ketinggalan.

Pasukan itu katanya, harus disertai dan diwakili oleh pelbagai kaum termasuk Iban, Cina, Bidayuh, Orang Ulu dan kaum lain.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan serta Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tebedu Dato Sri Michael Manyin serta menteri-menteri persekutuan dan menteri-menteri kabinet negeri.

Tuesday, March 8, 2011

Najib, Muhyiddin mulakan sesi bertemu rakyat S’wak pada 19 Mac

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memulakan sesi bertemu rakyat di Sarawak pada 19 Mac ini, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Sarawak Dr Stephen Rundi semalam.

Beliau berkata program turun padang oleh Najib dan Muhyiddin itu akan bermula di Serian, kira-kira 65km dari sini.

Katanya Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan mengikuti laluan darat untuk melawat ke Kampung Semera di Sadong Jaya, Kota Samarahan, kira-kira 100km dari sini.

Beliau memberitahu Bernama di sini semalam, Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman pula akan menaiki helikopter untuk berkunjung ke Kampung Melayu di Lingga, Bahagian Sri Aman, kira-kira 300km dari sini.

“PM dan TPM akan melakukan tinjauan mesra di kampung, beramah mesra dengan penduduk setempat. Kedua-dua pemimpin akan turut makan tengah hari di sana dan menjamah sajian tempatan.

“Tinjauan mesra dan lawatan ke kampung-kampung akan menghubungkan PM dan TPM dengan rakyat,” katanya.

Dr Rundi berkata lawatan Najib dan Muhyiddin adalah sebahagian daripada pusingan pertama sesi bertemu rakyat yang akan diadakan di seluruh negara.

Bulan lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Operasi dan Pelaksanaan program itu, berkata pusingan pertama sesi itu dijangka selesai September ini, disusuli pusingan berikutnya yang akan diadakan sehingga berlangsungnya pilihan raya umum. — Bernama

BN kekalkan kerusi DUN Kerdau, Merlimau

TEMERLOH: Calon Barisan Nasional (BN) Syed Ibrahim Syed Ahmad menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dengan majoriti 2,724 undi.

Syed Ibrahim, 44, memperoleh 5,060 undi manakala Hassanuddin, 43, mendapat 2,336 undi.

Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Tarif Abdul Rahman kira-kira 8.20 malam tadi.

Sebanyak 90 kertas undi ditolak.

Sejumlah 7,486 pengundi atau 83.20 peratus daripada 8,999 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu.

Pada pilihan raya umum 2008, kerusi berkenaan dimenangi calon BN Datuk Zaharuddin Abu Kassim, dengan majoriti 1,615 undi.

Sementara itu di JASIN, BN mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau apabila calonnya Roslan Ahmad mengalahkan calon PAS Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi.

Roslan memperoleh 5,962 undi manakala Yuhaizad mendapat 2,319 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau Roslan Eusoff di Dewan Platinum Politeknik Merlimau pada kira-kira jam 8.15 malam tadi.

Turut berada di dewan berkenaan untuk meraikan kemenangan calon BN itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaik keputusan diumumkan, Roslan, 44, yang memakai kemeja belang biru, berseluar hitam dan bersongkok, dijulang oleh para penyokongnya dengan sorakan “Hidup BN”, “1Malaysia”, dan “Merlimau DUN Ku Sayang”.

Proses pengundian berjalan lancar dengan 78.76 peratus daripada 10,679 pengundi berdaftar di DUN Merlimau telah keluar mengundi berbanding 76.18 peratus pada pilihan raya umum 2008.

Selain menggunakan kenderaan sendiri, pekerja parti turut menyediakan pengangkutan untuk membawa pengundi ke pusat-pusat pengundian sejak ianya dibuka jam 8 pagi sehingga ditutup jam 5 petang.

Roslan, anggota jawatankuasa Umno Bahagian Jasin manakala Yuhaizad, 38, adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan daripada BN pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir memperoleh majoriti 2,154 undi mengalahkan calon PAS Jasme Tompang. — Bernama

Adenan sesuai berdebat


Pemimpin PBB sokong keputusan Taib beri kepercayaan kepada ketua informasi itu berdebat dengan Baru Bia

FROM LEFT: Daud, Dr. Rundi, Wan Junaidi

KUCHING: Para pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyokong keputusan presidennya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk memberi kepercayaan kepada Ketua Informasi Parti Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem untuk berdebat dengan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian.

Pemimpin-pemimpin berkenaan berkata ia adalah langkah yang tepat kerana Baru tidak setaraf dengan Taib yang juga Ketua Menteri Sarawak.

Naib Presiden PBB Datuk Daud Abdul Rahman berkata Baru cuba menggunakan debat itu untuk mempromosikan dirinya di mata rakyat.

“Baru adalah seorang ahli politik baru yang cuba untuk menjadi juara rakyat manakala YAB (Taib) kita telah berada dalam perkhidmatan awam hampir setengah abad, malah sebelum Baru dilahirkan lagi. Justeru bukan taraf YAB untuk berdebat dengan dia (Baru),” katanya ketika dihubungi semalam.

Daud yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri berkata sehubungan itu beliau menyokong penuh langkah Taib memberi kepercayaan kepada Adenan untuk berdebat dengan Baru.

Sementara itu Setiausaha Agung PBB Dr Stephen Rundi berkata keputusan mempersetujui cabaran untuk berdebat oleh presiden parti dengan jelas menunjukkan bahawa PBB mengamalkan demokrasi.

Beliau berkata walaupun semua orang tahu bahawa debat terbuka disuarakan Baru demi kepentingan politiknya, PBB tidak takut untuk menerima cabaran itu kerana pada akhirnya kebenaran akan terserlah.

“Apa yang dinyatakan oleh YAB dalam ucapannya dalam Konvensyen BN (pada Sabtu), mereka (PKR) mengamalkan politik persepsi manakala kami mengamalkan politik realiti.

“Langkah PKR mengajak BN berdebat hanyalah demi kepentingan politik (mereka).

“Seseorang mungkin akan bertanya, mengapa sekarang? Bagi saya jawapannya hanya satu, iaitu propaganda pilihan raya,” kata Dr Rundi yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata, tidak apa debat diadakan tetapi para pendebat mesti mematuhi peraturan.

Beliau berkata biasanya para pendebat mestilah setaraf dari segi status dan kedudukan.

“Pehin Sri (Abdul Taib Mahmud) adalah Ketua Menteri Sarawak, Pengerusi BN Negeri dan Presiden PBB.

“Jadi lawannya harus secara kasarnya sama status. Jadi beliau boleh menugaskan sesiapa sahaja dalam BN untuk berdebat (bergantung kepada status lawan dalam perdebatan),” katanya.

Wan Junaidi berkata walaupun beliau bersetuju dengan Adenan sebagai pilihan Taib, beliau secara peribadi merasakan bahawa tidak perlu bagi ketua informasi itu mewakili presiden dalam debat terbuka.

“Beliau (Adenan) adalah seorang jeneral dalam PBB. Terdapat ramai mejar dan kapten yang sepatutnya memainkan peranan. Lagipun, lawan bukanlah seorang jeneral,” katanya.

Naib Ketua Pemuda PBB Pandi Suhaili yang bersetuju dengan Wan Junaidi berkata ramai ahli Pemuda yang bersedia menyahut cabaran bagi mewakili presiden atau ketua informasi.

Beliau berkata Baru sebenarnya cuba mencari publisiti murahan daripada cabaran debat secara terbuka kerana beliau mahu membuktikan bahawa pemilihannya sebagai ketua PKR Sarawak oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tepat walaupun menerima tentangan daripada para pemimpin parti berkenaan sebelum ini.

“Dia (Baru) tahu bahawa ramai pemimpin dalam partinya tidak percaya dengan keupayaannya memimpin PKR dalam pilihan raya negeri nanti.

“Atas sebab inilah dia mengambil keputusan mencabar YAB untuk mengadakan debat terbuka dengan harapan presiden parti kita tidak akan menerima cabarannya.

“Sekarang, dia mungkin akan mencari alasan untuk tidak mengadakan debat kerana dia sebenarnya hanya mahu mendapatkan publisiti murahan dan bukannya untuk berdebat,” kata Pandi yang juga merupakan ketua Pemuda PBB Jepak

http://www.theborneopost.com/?p=99311