|
|
Ini kerana penyertaan rakyat Sabah di kementerian tersebut masih terlalu kecil bilangannya iaitu tidak sampai pun lima peratus dan ada juga yang mendakwa kurang daripada jumlah itu.
Melalui Program Seranta, Diplomasi Awam dan Penerangan di Pasar Raya 1 Borneo, dekat sini, baru-baru ini, diharapkan lebih ramai rakyat Sabah berminat untuk membina kerjaya di kementerian itu.
Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran serta memaklumkan kepada orang awam tentang tugas dan fungsi kementerian itu terutamanya melibatkan isu-isu hubungan antarabangsa dan dasar luar Malaysia.
Melalui program anjuran kementerian itu yang diadakan selama tiga hari, turut diberikan pendedahan dan penjelasan yang menyeluruh mengenai jawatan-jawatan di kementerian berkenaan.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Sabah dipilih sebagai negeri pertama sebelum program itu dilaksanakan di seluruh negara.
Antara pengisian program itu ialah ceramah kerjaya, forum mengenai dasar dan polisi negara serta galeri foto yang memaparkan sejarah dan penglibatan Malaysia dalam hubungan diplomasi.
Melalui program tersebut, orang awam yang berminat dan berkelayakan akan mendapat gambaran yang jelas mengenai peranan dan tanggungjawab pihak kementerian dengan lebih tepat.
Sebagai contoh, melalui ceramah dan forum, diterangkan dengan jelas panduan dan tugas-tugas seorang diplomat mengikut gred jawatan seperti Setiausaha Pertama, Kedua dan Ketiga, Konsul Jeneral, Konsul Muda, Penasihat, Menteri Penasihat dan seterusnya.
Abdul Rahim berkata, rakyat Sabah sepatutnya memohon mengisi kekosongan jawatan di kementerian berkenaan kerana peluang seperti itu jarang diperoleh.
Katanya, antara punca utama tidak ramai rakyat Sabah berkhidmat di kementerian itu adalah kerana kurangnya pendedahan serta tidak mendapat maklumat yang tepat dan cukup.
"Rakyat negeri ini juga kurang berminat kerana tidak mahu bertugas di luar negeri Sabah dan ini amat merugikan. Mereka perlu bersedia untuk bertugas di mana- mana negeri atau negara.
"Difahamkan perkara ini sering menjadi halangan kepada rakyat Sabah, kita perlu mengubah keadaan tersebut kerana jika tidak berbuat demikian, orang Sabah akan terus ketinggalan," katanya.
Menurut beliau, sudah tiba masanya rakyat Sabah mengubah minda agar tidak terus terperangkap dengan sikap dan pemikiran negatif yang hanya akan merugikan diri sendiri.
Bagi menjawat jawatan tertinggi yang melayakkan seseorang menjadi diplomat katanya, mereka yang berminat perlu menyertai skim perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).
Beliau berkata, jumlah rakyat Sabah yang menyertai skim PTD terlalu kecil yang mana bukan sahaja di kementerian itu tetapi juga dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan.
Berdasarkan statistik katanya, hanya empat anak kelahiran Sabah, manakala tidak sampai 20 orang dari Sarawak menyertai skim PTD berbanding hampir 400 pegawai di seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau meminta kakitangan kerajaan dan penuntut universiti supaya menyertai skim tersebut supaya orang Sabah turut berpeluang menduduki jawatan tertinggi dalam kerajaan.
Oleh ZULHISHAM ISHAK
No comments:
Post a Comment