Saturday, December 27, 2008

Penduduk peringati mangsa tsunami


GAMBAR FAIL... Masjid Baiturrahman di Banda Aceh berdiri kukuh walaupun kawasan sekitarnya musnah sama sekali akibat dilanda tsunami pada 26 Disember 2004.

Majlis doa selamat dan pelbagai acara lain diadakan dari India sehinggalah ke Indonesia hari ini untuk memperingati mangsa tsunami di Lautan Hindi pada 2004.

Bagi ramai penduduk di kawasan bencana yang melanda 12 negara itu, majlis serba sederhana hari ini menjadi detik untuk merenung kehidupan mereka sendiri, selain menilai kemajuan pembinaan semula rumah dan perkampungan yang musnah dilanda ombak besar genap empat tahun lalu.

Seorang kakitangan awam di wilayah Aceh, Ibrahim Musa, 42, berkata, dia merasakan seolah-olah seperti baru semalam seluruh keluarganya dihanyutkan ke laut.

"Walaupun sudah empat tahun berlalu, saya masih tidak dapat melupakan bagaimana isteri dan anak kecil saya terlepas dari pegangan saya.

"Selama tiga tahun saya cuba mencari mereka tetapi kini saya tidak ada pilihan kecuali menerima kehilangan mereka sebagai takdir," kata lelaki itu.

Ibrahim berkumpul bersama-sama ribuan penduduk lain di sepanjang pantai Aceh, salah satu kawasan yang dilanda gempa bumi kuat pada 26 Disember 2004 yang mencetuskan tsunami dan meragut 260,000 nyawa, lebih separuh daripada mangsa itu di negara ini.

Di pantai Thailand, tempat lebih 5,000 orang termasuk ramai pelancong maut, ahli keluarga menyalakan lilin dan menghadiri majlis memperingati ratusan mangsa yang tidak dapat dikenal pasti identiti mereka.

Di India yang menyaksikan 10,000 terkorban, majlis doa melibatkan penganut daripada pelbagai agama dan detik bertafakur diadakan.

No comments: