Wednesday, December 31, 2008

Peratus semua A PMR naik

PUTRAJAYA 30 Dis. - Pencapaian calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini sangat membanggakan apabila 26,378 atau 5.96 peratus daripada 472,060 calon berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran diambil.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, calon yang mendapat 9A pada tahun ini ialah seramai 3,396 (11.54 peratus), 8A 17,969 (5.11 peratus) dan 7A 5,013 (8.11 peratus).

Menurutnya, berbanding tahun lalu, pelajar yang meraih semua A adalah seramai 24,744 (5.65 peratus); 20,213 (2006) dan 20,101 pada 2005.

Kata beliau, peratusan murid yang menguasai kemahiran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pada PMR tahun ini juga menunjukkan peningkatan yang amat menggalakkan.

''Bagi mata pelajaran Sains, daripada 456,795 calon, sejumlah 235,510 (51.2 peratus) orang menjawab dalam bahasa Inggeris, 141,658 (30.8 peratus) dalam bahasa Melayu manakala 82,627 (18.0 peratus) menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris.

''Sementara bagi Matematik, daripada 462,051 calon, seramai 124,209 (26.9 peratus) calon menggunakan bahasa Inggeris, 91,955 (19.9 peratus) bahasa Melayu dan 245,887 (53,2 peratus) menjawab dalam bahasa Melayu dan Inggeris," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada tahun ini, seramai 472,060 calon mendaftar menduduki PMR dan daripada jumlah itu, sebanyak 442,791 adalah pelajar sekolah bantuan penuh kerajaan.

Calon PMR tahun ini merupakan kohort keempat yang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dari tingkatan satu hingga tiga.

Alimuddin berkata, bagi mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris, calon masih dibenarkan sama ada menjawab sepenuhnya dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu atau bercampur-campur.

Beliau seterusnya memberitahu, pencapaian calon yang memperoleh sekurang-kurangnya D bagi semua mata pelajaran adalah 62.93 peratus berbanding 63.53 peratus tahun lalu manakala E ialah 440 (0.10 peratus) berbanding 559 orang (0.13 peratus) pada 2007.

''Jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar semakin rapat terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

''Secara keseluruhannya, pencapaian murid di luar bandar menunjukkan peningkatan bagi pencapaian cemerlang dan melepasi tahap penguasaan minimum berbanding murid di bandar dalam semua mata pelajaran," katanya.

Ditanya sama ada calon PMR 2009 masih dibenarkan menjawab soalan dalam dwibahasa berikutan kerajaan masih belum memutuskan kedudukan PPSMI, beliau berkata, mereka masih boleh berbuat demikian tahun depan.

No comments: