Monday, February 20, 2012

UMNO perlu ganti peranan Pas

KUALA LUMPUR 19 Feb. – UMNO diminta menggantikan peranan memperjuangkan Islam yang ditinggalkan Pas agar parti Melayu tersebut memperoleh sokongan padu daripada umat Islam terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, berdasarkan kajian akademik beliau selama ini, UMNO dilihat mempunyai beberapa kelebihan dari segi politik sekiranya parti pemerintah itu menggunakan pendekatan sedemikian.

Katanya, memandangkan Pas kini telah kehilangan identiti dan perjuangan asal mereka demi kuasa politik, maka UMNO sekarang menjadi tonggak kepercayaan golongan ulama dan cendekiawan Islam sebagai benteng akidah paling hadapan umat agama tersebut.

“Apa yang saya nampak, sekiranya strategi ini digunakan, sokongan terhadap UMNO akan bertambah kerana orang Melayu dan Islam ini tidak boleh dipisahkan.

“Dahulu UMNO dituduh parti bukan Islam, sekular dan sebagainya, namun kini mereka perlu mengambil ruang itu. Saya yakin UMNO dapat mengetuk pintu hati masyarakat apatah lagi ketika ini Pas telah berkawan dengan pihak yang ternyata menentang Islam.

“Pas bertukar ke arah liberal disebabkan strategi berpolitik baru mereka yang bermatlamatkan kuasa. Ini yang berlaku kini, berbeza dengan pendirian parti itu dahulu, yakni begitu fanatik. Kenapa ia berlaku? Kerana mereka nampak ruang dan peluang itu untuk mendapat sokongan daripada skop yang lebih besar,” katanya.

Wednesday, February 15, 2012

Anwar perlu buat kenyataan terbuka'


NIK Abdul Aziz Nik Mat bersama wakil-wakil agama di Kediaman Rasmi Menteri Besar, JKR 10, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 14 Feb. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan terbuka sama ada mahu menarik balik sokongan terhadap Israel atau pun menyaman Wall Street Journal (WSJ).

Beliau berkata, rakyat mahu mengetahui perkara sebenar kerana ia telah menjadi isu yang diketahui umum selepas disiarkan WSJ baru-baru ini.

"Kalau dia (Anwar) hendak berjumpa (saya) tidak ada apa, kami cukup sokong orang yang duduk atas kebenaran, tidak merasa gerun.

"Cuma sebab dia buat kenyataan terbuka, saya hendak jawab secara sulit tidak betul, isu terbuka, jawab juga mesti terbuka supaya orang ramai dapat tahu," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan wakil-wakil agama di Kediaman Rasmi Menteri Besar, JKR 10, di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal propembangkang yang memetik sumber dalaman PKR bahawa Anwar akan bertemu dengan beliau untuk menjelaskan isu Israel itu.

Malam tadi, Nik Abdul Aziz dalam satu kenyataan mendesak Anwar supaya menarik balik kenyataannya yang menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel seperti yang disiarkan dalam WSJ baru-baru ini.

Pas turut meminta Anwar supaya menyaman WSJ sekiranya kenyataan tersebut telah diputar-belitkan oleh media berkenaan.

Desakan tersebut dibuat selepas ahli jawatankuasa tertinggi parti itu dan Majlis Syura Ulama Pas mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur kelmarin.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sehingga kini beliau masih belum dihubungi pemimpin tertinggi PKR mengenai pertemuan itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah tindakan Pas sekiranya Anwar masih tidak menarik balik kenyataan tersebut atau pun menyaman WSJ, beliau berkata: "Tidak apa biar begitu dulu, kalau tidak tarik balik itu masalah kemudian."

Dr M: Amerika, Israel mahu kerajaan sekarang ditukar

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa Amerika Syarikat dan Israel berminat melihat kerajaan di Malaysia sekarang ditukar seperti yang berlaku di Asia Barat.

Menulis di blog chedet.cc , beliau berkata kerajaan yang ada sekarang tidak disenangi oleh Amerika kerana bersikap berkecuali, berbaik-baik dengan Cina dan Russia dan tidak menyokong sentimen Barat terhadap Iran dan beberapa negara lain.

“Calon Amerika dan Israel untuk mendiri kerajaan boneka ialah Anwar Ibrahim. Sejak awal lagi mereka menjalin hubungan yang rapat dengan Anwar.

“Memang pun Malaysia menjadi calon untuk ‘regime change’ kerana Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan mengkritik beberapa dasar Amerika Syarikat.

“Adalah menjadi harapan Amerika, apabila ‘regime change’ berjaya di Malaysia dan Anwar menjadi Perdana Menteri maka mungkin Malaysia akan ada hubungan diplomatik dengan Israel dan menjauhkan diri dari perjuangan Palestin.

“Dengan ini sebuah kerajaan boneka akan tertubuh di Malaysia yang akan sokong apa sahaja usaha Amerika untuk menakluk dunia,” kata Mahathir.

Beliau mengulas kenyataan bekas timbalannya itu semasa ditemubual dengan majalah Wall Street Journal yang berkata beliau menyokong usaha "melindungi keselamatan negara Israel".

Pada masa yang sama, pada wawancara itu, Anwar turut menegaskan bahawa kepentingan sah rakyat Palestin juga mesti dilindungi.

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel tetapi kerajaan mengakui bahawa mereka tidak boleh menghalang syarikat-syarikat swasta daripada berurus niaga dengan rejim itu.