Dan tambah mengejutkan dan menimbulkan tanda tanya kepada penduduk Sabah ialah apabila Penasihat/Ketua Umum PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang kedua-dua jawatan Pengerusi PKR Sabah/Sarawak dalam rombakan yang diumumkan itu.
"Saya tidak nafikan ada ahli PKR Sabah melihat seolah-olah penduduk Sabah tidak layak untuk diberi kepercayaan menerajui negeri sendiri... Ya, ada yang melihatnya begitu.
"Lagi pun apabila jawatan pengerusi jawatankuasa pemandu ini ditiadakan, ia telah mencetuskan persoalan besar, setakat ini kedudukan saya pun tidak diketahui lagi kerana belum ada perbincangan tentang struktur operasi pengurusan (PKR Sabah), mungkin (mesyuaratnya) akan dibuat dalam bulan ini," kata Jeffry.
Dalam pada itu, ahli majlis tertinggi PKR, Ansari Abdullah enggan mengulas rombakan kepimpinan PKR negeri itu.
"Saya sebagai ahli MT PKR menerima keputusan parti ini," kata bekas Pengerusi PKR Sabah itu yang menganggap ulasannya kepada akhbar ini begitu 'berbahaya'.
Sememangnya, rombakan kepimpinan PKR negeri ini membangkitkan rasa kurang selesa di kalangan anggota PKR. Penulis sendiri menerima panggilan 'meluah perasaan' daripada beberapa orang yang mendakwa diri ahli PKR. Jika pada Ogos lalu ungkapan-ungkapan yang tidak enak berbaur sinis diterima penulis ekoran sentimen keghairahan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh, tetapi kali ini nadanya berbeza sekali. Terkejut, terkilan, semuanya ada dalam panggilan-pangilan telefon yang diterima. Dalam congakan mereka, ada sesuatu yang serba tidak kena. Malah, gesa mereka agar diperhalusi rombakan yang diumumkan itu secara lebih dalam oleh para penyokong dan ahli PKR sendiri.
Daripada 11 pengerusi PKR negeri, hanya empat muka lama dikekalkan. Muka baru selain Anwar sendiri termasuklah Datuk Fauzi Abdul Rahman yang mengepalai PKR Pahang, Ahmad Kassim (Kedah), Ab. Aziz Kadir (Kelantan), Johari Shafie (Perlis), Osman Abd. Rahman (Perak) dan Wan Rahim Wan Hamzah (Terengganu). Muka lama yang kekal pula adalah Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohd. Hashim, Datuk Kamarul Baharin Abbas (Negeri Sembilan), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Selangor/Wilayah) dan Dr. Zaliha Mustafa (Johor).
Anwar, dalam tulisan terbarunya bertajuk Rombakan Pimpinan Keadilan Negeri bertarikh 25 Disember, mengakui ada menerima kritikan daripada penyokong pimpinan negeri yang dilucutkan jawatan. Beliau mengakui teguran itu ditujukan kepada dirinya dan juga isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden parti.
Misalnya, pelantikan Fauzi dikatakan tidak disenangi para penyokong bekas pengerusi PKR Pahang, Zakaria Hamid. Zakaria dikatakan tulen PKR sedangkan Fauzi didakwa hanya mengambil kesempatan di atas kemenangan banyak kerusi PKR pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.
Pelantikan Osman di Perak juga didakwa seolah-olah menafikan peranan bekas pengerusi PKR negeri, Zulkifli Ibrahim. Ada pihak berpendapat, Anwar marah kepada Zulkifli kerana gagal melobi calon PKR menjadi Menteri Besar Perak.
Bagaimanapun, Zulkifli yang dihubungi semalam menafikan. "Tidak adalah, siapa yang kata begitu, bagi saya siapa yang diumumkan, itulah dia pilihan parti," katanya dalam nada bersahaja.
Jawatan Menteri Besar disandang oleh Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin dari Pas.
Dan Ketua Pembangkang itu juga dikatakan dikritik hebat ekoran penguasaan jawatan Pengerusi PKR Sabah dan Sarawak yang menafikan peranan Dominic Ng (Sarawak), Ansari selain Jeffry.
Dalam komennya kepada akhbar ini, Jeffry mengakui 'ada masalah' dalam kepimpinan PKR Sabah sehingga menyebabkan Anwar memegang serentak dua jawatan pengerusi PKR dua negeri di Borneo itu.
"Mungkin ia bertujuan untuk mencari penyelesaian yang lebih baik supaya ada satu prosedur untuk memilih pucuk pimpinan negeri.
"Cara pelantikan yang digunapakai sekarang mungkin tidak sesuai dan harus dibuat melalui cara pemilihan yang memerlukan pindaan perlembagaan parti," katanya.
Meskipun menjangkakan Anwar akan memegang dua jawatan itu 'buat sementara', namun kata beliau, masalah kepimpinan dua negeri itu perlu diselesaikan secepat mungkin.
"Memang jawatan Pengerusi PKR Sabah itu bukan hak mutlak saya tapi kita (ahli PKR Sabah) memang hendak begitu (disandang penduduk tempatan)," kata Jeffry.
Rombakan kepimpinan PKR di peringkat negeri ini tentunya akan memberi kesan. Mungkinkah PKR akan bertambah mantap seperti diharapkan oleh Anwar atau menambah masalah dan pertelingkahan yang dihadapi oleh parti itu.
sumber :http://suarapolitik.com
No comments:
Post a Comment