Wednesday, December 31, 2008

Manikavasagam letak jawatan Timbalan Pengerusi PKR Selangor


Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor S. Manikavasagam

SHAH ALAM 31 Dis. — Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam hari ini meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berkuatkuasa serta merta kerana kesal dengan sikap sesetengah pemimpin di Selangor yang gagal menjaga kepentingan rakyat.

Beliau berkata surat peletakan jawatannya itu yang bertarikh hari ini telah dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Pengerusi PKR Selangor manakala salinannya dihantar kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Keputusan muktamad ini terpaksa saya ambil selepas mendapati sesetengah pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR) berlagak sombong dan enggan berbincang sesama sendiri bagi mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang diketengahkan,” kata Manikavasagam kepada pemberita di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Mengenai kedudukannya sebagai anggota Majlis Tertinggi PKR, Manikavasagam berkata beliau akan membuat keputusan selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf) P. Waythamoorthy.

“Keputusan muktamad sama ada saya akan keluar parti atau tidak, hanya saya umumkan selepas mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemimpin tersebut,” katanya. - Bernama

Renungan Tiga Sungai : Nampaknya kegoyahan dalaman PKR tidak dapat dibendung lagi. Itu lah natijahnya jika kesepaduan dalam Pakatan tidak dihormati.

No comments: