Monday, December 1, 2008

Kredibiliti Anwar dipertikai

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN

KUCHING 30 Nov. - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mempertikaikan kredibiliti Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menjadikan Sarawak sebagai sasaran seterusnya untuk ditadbir oleh pakatan pembangkang.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata, kredibiliti Anwar telah dipertikai ekoran kegagalannya membentuk kerajaan pada 16 September lalu.

Menurutnya lagi, pakatan pembangkang juga masih belum menunjukkan kemampuan mentadbir lima negeri yang diperintah mereka ketika ini.

''Saya tidak mahu komen orang seperti itu. Kita tengok kredibilitinya tidak begitu tinggi selepas janji beliau untuk membentuk sebuah kerajaan baru pada 16 September lalu gagal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Anwar semasa Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam, yang mahu menjadikan Sarawak sebagai negeri keenam yang akan ditawan pakatan pembangkang.

Menurut Anwar lagi, kerja-kerja mendekati rakyat Sarawak akan dimulakan bulan hadapan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, beliau yakin Anwar dan Ketua PKR Sarawak, Dominic Ng tidak akan dapat meraih sokongan menyeluruh daripada penduduk di negeri ini.

Menurutnya, kedua-dua ahli politik terbabit belum memahami secara keseluruhannya tentang selok-belok budaya penduduk luar bandar terutama sekali kaum Dayak di negeri ini.

''Mereka (Anwar dan Dominic) tidak semestinya boleh berjaya dengan berkempen di seluruh negeri ini untuk menarik rakyat menyertai PKR daripada menyertai komponen BN Sarawak.

''Ini kerana faktor budaya penduduk luar bandar selama ini telah menyebabkan mereka menyokong kerajaan BN berbanding dengan tindakan mereka untuk menyokong pihak pembangkang,'' jelas beliau.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fadillah Yusof pula ketika dihubungi memberitahu, BN sedia 'menunggu' kehadiran pakatan pembangkang di negeri ini.

Katanya, rakyat Sarawak sudah cukup bijak dan mampu memikirkan perkara yang terbaik untuk mereka.

''Bagi PBB dan BN, kita sudah memberi yang terbaik dan sentiasa bagi yang terbaik untuk rakyat Sarawak.

''Apa yang kita harapkan, pakatan pembangkang tidak akan membuat fitnah dan melaga-lagakan rakyat yang akan menggugat ketidakstabilan politik dan perpaduan kaum di negeri sekali gus akan menyusahkan rakyat," jelas beliau.

No comments: