KUCHING 21 Dis. - Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk memberi subsidi dalam bentuk rebat kepada lebih 31,000 pemilik enjin motor sangkut di Sarawak berjumlah RM705 bagi setiap enjin pada tahun depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, subsidi itu akan diberikan kepada pemilik enjin sangkut yang telah mendaftar dengan pejabat daerah di negeri ini.
Menurutnya, cadangan itu adalah satu daripada tiga isu yang telah dibawa ke perhatian kerajaan Julai lalu, sebagai langkah penyelesaian terhadap masalah harga barang dan kos pengangkutan yang wujud di kawasan luar bandar di negeri ini.
''Setakat ini, terdapat lebih 31,000 pemilik enjin motor sangkut menggunakan petrol atau diesel telah mendaftar dengan pegawai-pegawai daerah dan jumlahnya telah ditentukan," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama media Sarawak 2008 di sini semalam.
Shahrir berkata, selain pemberian subsidi itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan status yang sama bagi setiap stesen minyak terapung di sungai-sungai besar di Sarawak sama seperti stesen yang beroperasi di darat.
Katanya, kerajaan juga telah bersetuju untuk membayar kos pengangkutan minyak petrol dan diesel ke kawasan pedalaman sama ada menggunakan sungai atau darat.
''Sekiranya cadangan-cadangan ini diselaraskan, saya yakin banyak masalah yang berpunca daripada kos pengangkutan ini akan dapat diselesaikan pada tahun depan, termasuk di kawasan Kinabatangan dan Pensiangan di Sabah," katanya.
Shahrir memberitahu, kementeriannya akan melancarkan projek perintis 'Program Penghantaran Terus Barang-Barang Terkawal' yang ketiga bertempat di Saratok, Sarawak pada 22 Januari hadapan.
Menerusi projek ini ujarnya, kerajaan akan memberikan subsidi bagi setiap kos pengangkutan barang-barang terkawal ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurutnya, dengan pelaksanaan program itu, kerajaan akan dapat memastikan barang-barang terkawal ini akan sampai ke kawasan luar bandar dan harganya pula akan sama seperti harga barang yang dijual di kawasan bandar.
No comments:
Post a Comment