Tuesday, February 18, 2014

TIADA PERTUKARAN DALAM BARISAN KABINET


Demikian penjelasan Tan Sri Adenan Satem apabila ditanya sama ada beliau akan melakukan penstrukturan semula kabinet Sarawak selepas dilantik menjadi Ketua Menteri pada 1 Mac depan.

Menurutnya, beliau tidak berhasrat membuat rombakan portfolio menteri negeri kerana berpuas hati dengan semangat kerjasama berpasukan dalam kalangan semua menteri sedia ada.

"Saya telah bekerjasama dengan kesemua menteri-menteri ini dengan baik ketika dalam keadaan susah mahu pun senang. Jadi, tidak payah kita tukar kuda di tengah jalan.

"Saya akan kekalkan pasukan yang sama tetapi mungkin akan ada perubahan portfolio menteri. Saya perlu berbincang dahulu dengan kesemua menteri," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang pertama dibuatnya sejak diumum sebagai pengganti kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri Sarawak kelima di pejabatnya di Bangunan Kompleks Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah di sini hari ini. 

Friday, February 14, 2014

PERMAUFAKATAN DALAM PBB TETAP UTUH : ABANG JOHARI



Mesyuarat tertutup Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hujung mingggu lepas yang menjadi titik tolak kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk memilih Tan Sri Adenan Satem sebagai pengganti beliau, tidak terlepas daripada saat-saat dramatik.

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini berkata Abdul Taib terperanjat apabila beliau bersama Adenan dan naib presiden kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan tidak bersetuju dengan Abdul Taib yang mahukan Majlis Tertinggi parti dan kaukus memilih penggantinya.

"Sebenarnya beliau (Abdul Taib) agak terkejut. Beliau menyangka kami akan bergaduh (sesama sendiri). Saya cuma mahu berterus-terang di sini. Kami bertiga bersetuju untuk memberikan mandat kepada beliau untuk membuat keputusan, katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Abang Johari, Awang Tengah bersama Adenan tersenarai sebagai calon berpotensi untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Menteri sebelum Abdul Taib mengumumkan semalam bahawa Adenan bakal menggantikan tempatnya apabila beliau berundur pada 28 Feb ini.

"Kemudian, kami (Abang Johari, Adenan dan Awang Tengah) mahu menghentikan mesyuarat Majlis Tertinggi dan kaukus dan Adenan mencadangkan kepada mesyuarat itu untuk memberikan mandat kepada Ketua Menteri (Abdul Taib) menamakan penggantinya dan saya menyokongnya. Itulah semangat berpasukan yang kami ada di PBB," katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pelancongan negeri berkata Adenan patut diberi cukup ruang dan masa untuk membuktikan kebolehannya menjadi Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

"Dalam tempoh peralihan ini, kita perlu memberikan cukup ruang dan masa untuk Ketua Menteri yang baharu memahami selok belok pentadbiran dan kemudian untuk beliau bergerak ke hadapan meneruskan dasar-dasar (yang telah diletakkan oleh Abdul Taib)," katanya.



Beliau berkata ia bukan hanya menjadi hasrat beliau tetapi kesemua pemimpin-pemimpin Barisan Nasional di Sarawak untuk melihat peralihan kepimpinan negeri di antara Abdul Taib dan Adenan berjalan lancar, tidak seperti apa yang berlaku apabila Abdul Taib mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Ketua Menteri sebelum beliau, Tun Abdul Rahman Yaakub pada 1981.

"Semasa peralihan (antara) Tun Abdul Rahman kepada Taib terdapat masalah. Sekarang kita tidak mahu masalah itu berlaku antara Abdul Taib dengan Ketua Menteri yang baharu. Apabila Abdul Taib memberitahu saya, Adenan akan menjadi Ketua Menteri yang baharu, saya memberi sokongan yang penuh kerana beliau (Adenan) memerlukan sokongan kami semua," katanya.

Beliau juga menepis spekulasi bahawa Adenan akan menjadi 'Ketua Menteri Interim' sementara menanti Perhimpunan Agung PBB yang akan datang.

"Seorang Ketua Menteri adalah seorang Ketua Menteri. Beliau (Adenan) adalah Ketua Menteri. Kita beri keutamaan kepada kepentingan parti," kata Abang Johari.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak perubahan-perubahan tertentu akan berlaku berikutan peralihan kepimpinan negeri tetapi perubahan sedemikian akan berlaku menerusi persefahaman di antara pihak yang terlibat.

"Apabila ada peralihan, memang ada penyesuaian. Dalam kes kami sudah pasti ada penyesuaian. Jika tidak ia akan statik. Perkara-perkara tertentu perlu diubah," katanya.

Abang Johari juga menolak kemungkinan campur tangan Abdul Taib dalam pentadbiran negeri apabila Adenan mengambil alih tugas Ketua Menteri.


"Apabila seseorang pemimpin meninggalkan legasi, beliau perlu memahaminya. Tetapi dalam kes ini beliau (Abdul Taib) memahaminya dan berharap penggantinya adalah lebih baik daripadanya," kata Abang Johari.

Sumber : http://mymassa.blogspot.com/2014/02/anwar-harap-kami-gaduh-rupanya-tidak.html

Thursday, February 13, 2014

TS ADENAN SATEM : KETUA MENERI SARAWAK KE-5



KUCHING: Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima pada 28 Februari ini menggantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang meletak jawatan berkuat kuasa pada tarikh itu.Taib berkata, peletakan jawatannya dan nama penggantinya telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin pada pertemuan di Astana, semalam.

Beliau yang ditemani Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing, Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom, wakil SUPP Dato Sri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Ghani menyerahkan surat peletakan jawatannya pada kira-kira jam 3 petang.

“Beliau (Tun Salahuddin) tidak ada bantahan (terhadap peletakan jawatan saya) dan saya sungguh gembira semuanya berjalan lancar.“Rakan-rakan (dalam PBB dan parti komponen BN) faham alasan saya untuk meletak jawatan dan setahu saya, mereka amat gembira melihat semua perkara sebelum ini akan berjalan seperti biasa,” ujarnya pada sidang media selepas perjumpaan itu. Taib yang mula menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri menggantikan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya’kub pada 26 Mac 1981 berkata: “Adenan mewakili seperti satu perjanjian antara tiga calon untuk memastikan semangat berpasukan yang sudah diterapkan selama ini.”

Menurutnya, Adenan, 70, yang kini merupakan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Ketua Penerangan PBB, diyakini mampu meneruskan momentum pembangunan di Sarawak. Taib, 78, yang juga Presiden PBB berkata, beliau tidak sedih apabila membuat keputusan penting itu setelah berada di kerusi berkenaan selama 33 tahun.
Beliau percaya telah memberi warisan terbaik kepada penggantinya yang disifatkannya sebagai berpengalaman.
“Saya tidak ada keraguan bahawa mereka sendiri berupaya membuat yang terbaik sama ada tanpa saya atau sebaliknya,” ujar pemimpin yang telah mengilhamkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) itu.
Berhubung jawatan Yang di-Pertua Negeri yang akan tamat tempoh pada tarikh sama, Taib enggan mengulas lanjut kerana jawatan itu merupakan lantikan Yang Dipertuan Agong.

Menurut Pengerusi Tetap PBB Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar pada Sabtu lepas, Taib telah dicadangkan oleh mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB untuk menjadi Yang di-Pertua Negeri seterusnya.
Asfia berkata, jawatan itu adalah sesuai bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan Taib selama ini dalam mencorak dan melaksanakan pembangunan Sarawak sepanjang 33 tahun menjadi Ketua Menteri.Taib berkata lagi, beliau akan mengosongkan kerusi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian yang dijawatnya sejak Pilihan Raya Negeri 2001.“Kerusi Balingian sudah semestinya kosong, saya tak boleh kekal,” katanya.
Kekosongan itu, menurutnya, akan dimaklumkan oleh Ketua Menteri baharu kepada Asfia yang juga Speaker DUN.

“Selepas saya meletak jawatan, ia akan menjadi tanggungjawab Ketua Menteri baharu untuk memutuskan dan mungkin tugas pertamanya ialah berbincang dengan semua rakan-rakan dalam BN untuk calon di situ,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak ada calon untuk diletakkan menggantikannya di kerusi Balingian.“Saya serahkan kepada Ketua Menteri (Adenan),” katanya sambil menambah, terserah kepada Adenan untuk melakukan rombakan kabinet negeri kelak. Taib menyatakan hasrat untuk bersara pada Sabtu lepas pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB, sekali gus diberi mandat penuh oleh mesyuarat itu untuk memilih penggantinya. Manakala pada mesyuarat bersama pemimpin parti-parti komponen BN pada keesokannya, mereka menyatakan persetujuan dan menghormati keputusan beliau itu.



PROFIL ADENAN

• Nama                  : Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem (PSM, DA, PNBS, JBS, PBB).
• Tarikh Lahir        : 27 Januari 1944
• Tempat Lahir     :  Kuching
• Nama pasangan : Puan Sri Jamilah Anu
• Bilangan Anak   : Tiga orang anak, iaitu Rafidah, Hayati dan Aziz.
JAWATAN TERKINI
• Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-Tugas Khas.
• Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu.
• Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu PBB)
PENDIDIKAN
• Sekolah Rendah: St Joseph School, Kuching.
• Pendidikan Tinggi: LL.B University of Adelaide (1970).
KERJAYA
• 1976                        :  Penasihat Undang-Undang dan Ahli Jawatankuasa Penasihat PBB
• Januari 1979           :  Bertanding pada kerusi Dewan Undangan Negeri bagi Muara  Tuang pada Pilihan
Raya Kecil (PRK) pada Januari 1979 atas tiket (BN-PBB) dan menewaskan Razali Sabang (PAJAR) dengan majoriti  2,797 undi.
• September 1979     :  Bertanding atas tiket (BN-PBB) pada PRN September 1979 beraya dengan
menewaskan Bujang Ali Nor (PAJAR) dengan majoriti 3,422 undi.
• 11 September 1983: Ahli Majlis Tertinggi PBB
— Dilantik semula Ketua Bahagian Publisiti PBB.
• Pilihan Raya Negeri Ke-4 Disember 1983 : (BN-PBB) sebagai ADUN Muara Tuang untuk penggal kedua apabila menewaskan Abang  Ibrahim Abang Othman (Bebas) dengan majoriti 3,696 undi.
• PRN Ke-5 April 1987       : ADUN Muara Tuang untuk penggal  ketiga selepas menang majoriti 3,441 undi.
• 1987-1992                       : Naib Presiden PBB
• PRN Ke-6 1991               :  Menang dengan majoriti 8,272 undi dan menjadi ADUN Muara Tuang.
• 1992-1995                       : Naib Presiden PBB apabila menang tanpa bertanding.
• PRN Ke-7 September 1996     : Menang tanpa bertanding sebagai ADUN Muara Tuang.
• 1995 – 1998                             : Naib Presiden PBB (menang tanpa bertanding)
• Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004: Menang atas tiket (BN-PBB) di kerusi Batang Sadong selepas menewaskan Adam Ahid (PAS) dengan majoriti 9,731 undi.
• PRN Mei 2006: Bertanding di kerusi Tanjung Datu dan menang dengan majoriti 4,136 undi
selepas menewaskan calon PKR.
• 3 Mac 2007                    :  Ketua Penerangan PBB (dilantik).
• PRN Ke-10 April 2011:  Menang kerusi DUN Tanjung Datu apabila menewaskan calon Bebas dengan majoriti 3,216.
Kerajaan:
• Pernah menjadi wartawan dan guru sekolah sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Undang-undang.
• 1970 -1972    : Majistret di Kuching.
• 1972 -1974    : Penasihat Undang-Undang Hal Ehwal Petroleum, Kementerian Perusahaan Utama.
• 11 Julai 1985 : Menteri Muda, Pembangunan Tanah Sarawak
• 12 Mac 1987 : Menteri Muda Pembangunan Tanah Sarawak
• 10/09/1992    : Menteri Pembangunan Sosial Sarawak
• 01 Januari 1998:  Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sarawak
• 28 September 2001:  Ahli Kabinet Negeri.
• 30 Mac 2004         : Mengangkat sumpah sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak.
• 14 Februari 2006 :  Meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak apabila rombakan kecil kabinet.
• 2 April 2010 – 06 Jun 2011 :  Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri.
• 06 Jun 2011 :  Dilantik sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-Tugas Khas.
• 30 September 2011 :  Beliau dikekalkan sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri


Thursday, February 6, 2014

ANUWAR : 1.6 JUTA UNTUK PRK KAJANG,... INI TIDAK MEMBAZIR???




MELAKA 6 Feb. - RM1.6 juta anggaran wang rakyat yang perlu dibelanjakan bagi mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Selangor pada 23 Mac ini.

Persoalannya patutkah wang rakyat ini dibelanjakan, yang dilihat ramai sebagai permainan politik PKR apabila wakil rakyatnya, Lee Chin Cheh sengaja mengosongkan kerusi DUN Kajang pada 27 Januari lepas semata-mata mahu memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, wang rakyat itu sepatutnya dibelanjakan untuk membantu rakyat tetapi malangnya RM1.6 juta itu terpaksa dibayar oleh rakyat untuk wayang politik Anwar di Selangor.

Secara perbandingan, jumlah itu mampu menampung Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM650 masing-masing kepada lebih 2,400 keluarga ataupun RM300 masing-masing kepada lebih 5,300 individu bujang di negara ini.

RM1.6 juta itu juga mampu menampung pemberian lebih 50 buah rumah percuma masing-masing berharga RM30,000 di bawah program perumahan rakyat kepada mereka yang kurang berkemampuan ataupun menampung pemberian percuma 16 buah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia berharga RM100,000 sebuah.

"PKR secara jelas mempermainkan proses demokrasi di Selangor dengan kosnya ditanggung oleh wang rakyat sendiri, malah bukan setakat demokrasi itu dipermainkan malah rakyat sendiri dipermainkan mereka," kata Zainal yang juga Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba Universiti Pendidikan Sultan Idris ketika dihubungi Bernama. - BERNAMA


PAS PUN MINAT KERUSI MB SELANGOR



Di sebalik polemik perebutan kuasa dalaman yang melanda parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini, rakyat khususnya di Selangor sedang melihat mengenai ura-ura yang mengatakan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim bakal menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar yang baharu. Isu tersebut turut dibangkitkan oleh kepimpinan Pas pusat dan Pas negeri Selangor yang menegaskan jawatan tersebut perlu diberikan kepada parti itu sekiranya PKR berhasrat ingin melakukan perubahan tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Namun disebabkan penegasan itu juga, ia telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pimpinan, penyokong dan ahli PKR. Mereka mungkin merasakan kenyataan itu telah menghina Anwar yang selama ini telah digambarkan sebagai pemimpin yang hebat dan tiada tolok bandingnya. Sebagai contoh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor melalui kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, menyelar kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat yang tidak bersetuju sekiranya Anwar diangkat sebagai Menteri Besar Selangor.

“AMK Johor juga tidak nampak sekiranya DSAI (Anwar) diangkat menjadi Menteri Besar Selangor akan memudaratkan rakyat Selangor itu sendiri. Kita tawarkan pemimpin berpengalaman luas untuk negeri Selangor dan secara tidak langsung akan memantapkan lagi kerjasama parti pendukung PR khususnya di Selangor,” katanya. Suhaizan sebelum ini menegaskan Pemuda Pas menyokong Anwar sebagai calon PKR untuk kerusi DUN Kajang, namun itu tidak bermakna, Pemuda Pas turut bersetuju dengan cadangan untuk melantik Anwar sebagai Menteri Besar Selangor.

Gusar dengan perkembangan tersebut, Ketua Penerangan Pas Pusat, Mahfuz Omar segera meminta agar isu ini segera dihentikan. Menurutnya ia bagi menjaga air muka Khalid yang masih menyandang jawatan tersebut. "Kamu jangan jatuhkan maruah MB (Khalid). Hormat beliau. Beliau masih MB Selangor. Kita boleh bincang apabila tempat itu kosong. Sekarang kita bincang tentang PRK Kajang sebab tempat itu kosong," katanya semasa sidang akhbar semalam. Menurut Mahfuz isu mengenai siapa calon Menteri Besar Selangor yang baharu hanya akan dibincangkan sekiranya kerusi yang menjadi rebutan itu kosong.
Status Khalid sebagai Menteri Besar Selangor mula dipertikai sejak bekas ADUN Kajang Lee Chin Cheh bertindak mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Anwar. Keputusan itu diambil dipercayai bagi merintis jalan kepada Anwar untuk menggantikan Khalid.


Kesimpulannya Pas dan PKR saling berbalah bagi merebut jawatan. Malah perebutan itu juga secara tidak langsung membuktikan Pas sudah tidak lagi percaya dengan ketokohan Anwar sebagai pemimpin seperti yang sering diwar-warkan sebelum ini. Pada mereka, Anwar bukanlah seorang tokoh pemimpin yang hebat seperti yang disangka. Ini kerana sekiranya aura Anwar masih lagi kuat, masakan Pas selaku rakan sekutu di dalam PR menentang cadangan untuk melantik Anwar sebagai MB.Itu pun kalau PAS berani setelah dibuktikan berkali-kali bahawa mereka "samikna wa atokna" kepada Anwar.

Monday, February 3, 2014

KAJANG DAN PENJARA : ANUWAR PILIH KAJANG

 Saya Akan Jadi MB Selangor... Tak Percaya... Tunggu di KAJANG


Tindakan tidak masuk akal PKR untuk mengadakan Pilihanraya Kecil [PRK]di Kajang dikatakan sebagai satu strategi terbaik untuk parti.  Anwar Ibrahim dikatakan akan bertanding di situ dan seterusnya apabila menang, akan diangkat menjadi Menteri Besar.
Rata-rata orang ramai mengecam tindakan PKR sebagai sesuatu yang membazir wang rakyat dan tidak bertanggungjawab.  Seperti yang diketahui, sesebuah PRK memakan kos jutaan ringgit.  Memandangkan Kajang merupakan kawasan berpenduduk padat maka kosnya tentulah jauh lebih tinggi lagi.  Berdasarkan hakikat ini, mana-mana ADUN tidak seharusnya meletakkan jawatan sesuka hati tanpa sebab musabab yang konkrit.

Apa yang berlaku, membuktikan bahawa PKR langsung tidak mempedulikan rakyat atau wang negara yang dibazirkan, dan sebaliknya bertindak semata-mata atas kepentingan pemimpin dan politik parti.

Kenyataan Azmin Ali bahawa keputusan ini merupakan tindakan taktikal mengesahkan persepsi rakyat bahawa pemimpin PKR hanya mementingkan politik dan diri sendiri.   Azmin, kemudiannya cuba menolak spekulasi bahawa Anwar akan menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor tetapi di masa yang sama menyatakan bahawa Selangor memerlukan pemimpin ‘nasional’ seperti Anwar untuk kukuhkan kedudukan Pembangkang. Bagaimanapun, Azmin tidak pula menjelaskan bagaimana kedudukan Anwar sebagai ADUN dan bukan MB, boleh membantu mengukuhkan Pembangkang.

Penjelasan Rafizi pula lebih menarik lagi iaitu kononnya Anwar bertanding di Kajang adalah untuk menghalang Barisan Nasional yang bakal menjadi lebih kuat akibat ‘kejatuhan Datuk  Sri Najib’ nanti. Menurut Rafizi, Datuk Sri Najib akan dijatuhkan oleh satu gerakan yang didalangi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.  Setelah kejatuhan itu, isu perkauman dan agama akan ‘meletup’ dan PKR dan Pembangkang perlu bersedia untuk menghadapinya.  Untuk itu, Anwar diperlukan di DUN Kajang serta tidak menolak kemungkinan yang Anwar juga akan menerajui Selangor.

Jika teori Azmin mengenai keperluan PRK Kajang mengundang gelak ketawa rakyat, teori Rafizi pula mengundang rasa loya di tekak orang yang mendengarnya. Kenyataan Rafizi hanya memperlihatkan kepada rakyat akan usaha PR untuk melagakan Mahathir dengan Najib.  Kenyataan Azmin pula memperlihatkan yang beliau sendiri berada dalam keadaan ‘bingung’ dengan apa yang berlaku dalam partinya akhir-akhir ini. Kedua-dua mereka bagaimanapun, cuba sedaya upaya untuk merasionalkan keputusan parti walaupun tahu yang ianya tidak masuk akal sama sekali.

Namun, rakyat bukan sebodoh yang disangka mereka.
Semua orang tahu bahawa keputusan Anwar untuk melakukan kejutan ini adalah sebagai persediaan untuk menghadapi keputusan rayuan kes liwatnya di mahkamah.  Ini berikutan kegagalan rayuan ke 2 Anwar pada 20 Disember lalu, untuk menggugurkan Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes tersebut. 

Rayuan tersebut sepatutnya diperdengarkan pada 28 Januari lepas, tetapi telah ditangguhkan sehingga 11 Februari atas sebab ketidakhadiran peguam Anwar, Tommy Thomas.  Maka, kerana itulah kejutan mengenai Kajang timbul dalam rangka masa yang sama.

PRK Kajang merupakan strategi yang baik untuk mengalihkan pandangan rakyat dari kes liwatnya.  Malangnya, ianya hanyalah bersifat sementara sahaja.  Oleh itu, harapan Anwar, sekiranya beliau menang dan menjadi Menteri Besar maka sebarang keputusan mahkamah yang tidak memihak padanya pasti akan mencetuskan isu besar.  Malah, beliau juga akan berpeluang untuk mencipta isu lain di celah-celah kegilaan itu seperti ‘menjolok’ istana Selangor pula.
Pendek kata, Anwar kini hanya mengharapkan strategi menimbulkan kekecohan apabila keputusan kes liwatnya semakin hampir dan Selangor merupakan platform yang paling sesuai untuk itu selain memberinya capaian kepada dana yang besar.
Anwar kini berada dalam ‘mode’ panik.  Anwar yang kita tahu, akan sanggup berbuat apa saja apabila beliau panik.  Beliau pernah lari ke Kedutaan Turki kerana panik tetapi Anwar tidak boleh lagi lari ke tempat yang sama tanpa mengambil risiko diketawakan oleh pihak Turki.
Apa yang pasti disini ialah, Anwar enggan masuk penjara lagi...

Justeru itu ada baiknya jika kita bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan dilakukan oleh Anwar untuk memastikan dirinya TAK akan kembali masuk penjara!!

Thursday, January 30, 2014

Kisah Si Azmin Dan Bosnya..


AZMIN Ali adalah ahli politik PKR. Itu semua orang tahu. ‘Putus Sudah Kasih Sayang’ adalah sebuah filem arahan dan lakonan Tan Sri P Ramlee. Itu pun semua orang tahu.Tapi kisah hubungan Azmin Ali dengan Anwar Ibrahim jauh lebih hebat dan kontroversi dari mana-mana cerita dalam filem Melayu, baik yang diarah dan dilakonkan oleh P Ramlee atau yang lain-lain. 

Jalan cerita Azmin dan Anwar jika sekadar ditulis sekalipun lebih mencengkam dan menyayat jiwa.  Mana tidaknya apabila kita menyelak satu persatu hubungan kedua-duanya sejak dua insan ini masih secara relatifnya, muda, maksudnya hubungan Anwar sejak bergelar YB menteri manakala Azmin pula, masa itu masih lagi setiausahanya, maka akan faham perkongsian hidup mereka berdua lebih akrab dari sekadar aur dengan tebing.

Waktu Dr Mahathir Mohamad bos Anwar, ada juga usaha merenggangkan hubungan Anwar apabila surat-surat dikirim mendedahkan sikap Azmin. Tapi Azmin terselamat kerana Dr Mahathir tidak termakan hasutan menyebabkan Azmin kekal dalam kerajaan sehinggalah bosnya hilang kerja.Namun seperti sering berlaku Anwar dilihat seperti sering berpaut di bahu Azmin. Lebih ketara apabila Anwar hilang kedudukan dan menjalani hukuman penjara, Azminlah segala-gala. Dengan sendiri Anwar meletakkan Azmin pada kedudukan yang sukar dijejaskan.

Siapa boleh lupa melihat Azmin muncul jurucakap Anwar apabila mantan Timbalan Perdana Menteri itu menjadi banduan di penjara Sungai Buloh. Azminlah menemui media dan penyokong Anwar terutama media yang tak simpati dengan perjuangan Anwar serta pada masa sama menggerakkan gerakan reformasi.Umum mungkin terpaut pada puteri reformasi iaitu Nurul tapi di belakang Nurul, Azminlah tokoh reformasi sebenar-benarnya.Sepanjang Anwar berada dalam tahanan, Azminlah antara pengunjung setia. Kepada Azmin jugalah diluahkan pelbagai perkara termasuk kisah hidupnya serta ranjau yang maha berliku.Azmin mengorbankan hampir segala-gala semata-mata kerana Anwar.

Cerita bagaimanapun Azmin tidak mempunyai hubungan baik dengan adik-beradik termasuk ibunya menjadi berita panas di internet. Dan pengkritik Anwar memilih Azmin sebagai punching bag pula. Semua ini menggambarkan betapa akrabnya dua insan ini.

Sehingga timbul cerita selain isteri Anwar, Azmin serba tahu serta menyimpan banyak rahsia Anwar. Jatuhnya Azmin maka kita akan melihat PKR dan Anwar bakal menjadi sebahagian sejarah tragik dalam politik Malaysia. Hubungan Anwar dan Azmin mulai menampakkan keretakan apabila Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai MB Selangor bagi penggal kedua. Bagi kebanyakan daripada kita sudah pun tahu Azmin dan Khalid bukanlah regu yang baik. Justeru kita lihat sudahlah waktu menang pertama kali pada 2008, Azmin terpinggir dari sirna politik Selangor.

Siapa lagi kalau bukan Anwar yang tentukan sama ada Azmin ataupun Khalid jadi MB. Penyokong Azmin terpaksa menerima hakikat Azmin turut dipinggirkan daripada jawatan Exco. Jawatan Pengerusi PKR negeri seperti tidak membawa sebarang makna. Dan yang agak sedih apabila Khalid malu-malu alah sekadar melantiknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS, itu pun kemudian ditamatkan. Khalid mentadbir Selangor mengikut akalnya tanpa memikir kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor adalah sokongan rakyat pada PKR.

Azmin mungkin liabiliti kepada Khalid tetapi bukan kepada rakyat Selangor. Kemenangan Azmin di Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa sekali gus melonjak imej Azmin. Tapi ini juga tidak penting buat musuh-musuhnya. Anwar pada mula dilihat tidak tampil menyokong Azmin dalam kes PKNS cuma kemudian meminta Khalid pertimbangkan semula.

Selain itu apabila ura-ura Khalid bakal meletakkan jawatan MB, bukan Azmin yang disyor sebagai pengganti. Sehingga kini Selangor bakal mendapat MB baharu semakin panas apabila Adun Kajang, Lee Chin Cheh dengan tidak semena-mena, memperlekehkan demokrasi, mengosongkan kerusi itu. Apa yang memeranjatkan ialah Anwar diumum calon PKR di Kajang serta dilihat bakal calon MB.

Mungkin Anwar akhirnya akur mimpinya untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan termakbul. Usia kian lanjut dan masa semakin suntuk.  Justeru jadi MB pun jadi MBlah. Tetapi mungkin juga ada agenda lain di sebalik tindakan ini.


Oleh itu, umum kian faham betapa Anwar sanggup mengetepikan Azmin demi kepentingannya sendiri. Apakah sudah putus kasih sayang mereka berdua? Atau ia hanya wujud semata-mata sebagai kasih sayang politik?