MELAKA 6 Feb. - RM1.6 juta
anggaran wang rakyat yang perlu dibelanjakan bagi mengadakan pilihan raya kecil
(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Selangor pada 23 Mac ini.
Persoalannya patutkah wang rakyat
ini dibelanjakan, yang dilihat ramai sebagai permainan politik PKR apabila
wakil rakyatnya, Lee Chin Cheh sengaja mengosongkan kerusi DUN Kajang pada 27
Januari lepas semata-mata mahu memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
Menurut penganalisis politik,
Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, wang rakyat itu sepatutnya dibelanjakan untuk
membantu rakyat tetapi malangnya RM1.6 juta itu terpaksa dibayar oleh rakyat
untuk wayang politik Anwar di Selangor.
Secara perbandingan, jumlah itu
mampu menampung Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM650 masing-masing kepada
lebih 2,400 keluarga ataupun RM300 masing-masing kepada lebih 5,300 individu
bujang di negara ini.
RM1.6 juta itu juga mampu
menampung pemberian lebih 50 buah rumah percuma masing-masing berharga RM30,000
di bawah program perumahan rakyat kepada mereka yang kurang berkemampuan
ataupun menampung pemberian percuma 16 buah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat
1Malaysia berharga RM100,000 sebuah.
"PKR secara jelas
mempermainkan proses demokrasi di Selangor dengan kosnya ditanggung oleh wang
rakyat sendiri, malah bukan setakat demokrasi itu dipermainkan malah rakyat
sendiri dipermainkan mereka," kata Zainal yang juga Penyandang Kursi Tun
Abdul Ghafar Baba Universiti Pendidikan Sultan Idris ketika dihubungi Bernama.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment