KUCHING: Tan Sri Datuk Amar Adenan
Satem akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima pada 28
Februari ini menggantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang meletak jawatan
berkuat kuasa pada tarikh itu.Taib berkata, peletakan jawatannya dan nama
penggantinya telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi
Abang Muhammad Salahuddin pada pertemuan di Astana, semalam.
Beliau yang ditemani Timbalan Ketua
Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Presiden PRS Tan Sri Datuk
Amar James Masing, Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom, wakil SUPP Dato
Sri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi
Ghani menyerahkan surat peletakan jawatannya pada kira-kira jam 3 petang.
“Beliau (Tun Salahuddin) tidak ada
bantahan (terhadap peletakan jawatan saya) dan saya sungguh gembira semuanya
berjalan lancar.“Rakan-rakan (dalam PBB dan parti komponen BN) faham alasan
saya untuk meletak jawatan dan setahu saya, mereka amat gembira melihat semua
perkara sebelum ini akan berjalan seperti biasa,” ujarnya pada sidang media
selepas perjumpaan itu. Taib yang mula menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri
menggantikan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya’kub pada 26 Mac 1981 berkata:
“Adenan mewakili seperti satu perjanjian antara tiga calon untuk memastikan
semangat berpasukan yang sudah diterapkan selama ini.”
Menurutnya, Adenan, 70, yang kini
merupakan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Ketua Penerangan PBB, diyakini mampu
meneruskan momentum pembangunan di Sarawak. Taib, 78, yang juga Presiden PBB
berkata, beliau tidak sedih apabila membuat keputusan penting itu setelah
berada di kerusi berkenaan selama 33 tahun.
Beliau percaya telah memberi warisan
terbaik kepada penggantinya yang disifatkannya sebagai berpengalaman.
“Saya tidak ada keraguan bahawa mereka
sendiri berupaya membuat yang terbaik sama ada tanpa saya atau sebaliknya,”
ujar pemimpin yang telah mengilhamkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak
(SCORE) itu.
Berhubung jawatan Yang di-Pertua Negeri
yang akan tamat tempoh pada tarikh sama, Taib enggan mengulas lanjut kerana
jawatan itu merupakan lantikan Yang Dipertuan Agong.
Menurut Pengerusi Tetap PBB Datuk Amar
Mohammad Asfia Awang Nassar pada Sabtu lepas, Taib telah dicadangkan oleh
mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB untuk menjadi Yang di-Pertua Negeri
seterusnya.
Asfia berkata, jawatan itu adalah
sesuai bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan Taib selama ini dalam mencorak
dan melaksanakan pembangunan Sarawak sepanjang 33 tahun menjadi Ketua Menteri.Taib
berkata lagi, beliau akan mengosongkan kerusi sebagai Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Balingian yang dijawatnya sejak Pilihan Raya Negeri 2001.“Kerusi
Balingian sudah semestinya kosong, saya tak boleh kekal,” katanya.
Kekosongan itu, menurutnya, akan
dimaklumkan oleh Ketua Menteri baharu kepada Asfia yang juga Speaker DUN.
“Selepas saya meletak jawatan, ia akan
menjadi tanggungjawab Ketua Menteri baharu untuk memutuskan dan mungkin tugas
pertamanya ialah berbincang dengan semua rakan-rakan dalam BN untuk calon di
situ,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak ada calon
untuk diletakkan menggantikannya di kerusi Balingian.“Saya serahkan kepada
Ketua Menteri (Adenan),” katanya sambil menambah, terserah kepada Adenan untuk
melakukan rombakan kabinet negeri kelak. Taib menyatakan hasrat untuk bersara
pada Sabtu lepas pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB, sekali gus diberi
mandat penuh oleh mesyuarat itu untuk memilih penggantinya. Manakala pada
mesyuarat bersama pemimpin parti-parti komponen BN pada keesokannya, mereka
menyatakan persetujuan dan menghormati keputusan beliau itu.
PROFIL ADENAN
• Nama
: Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem (PSM, DA,
PNBS, JBS, PBB).
• Tarikh Lahir : 27 Januari 1944
• Tempat Lahir
: Kuching
• Nama pasangan : Puan Sri Jamilah Anu
• Bilangan Anak : Tiga orang anak, iaitu Rafidah, Hayati dan
Aziz.
JAWATAN TERKINI
• Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-Tugas Khas.
• Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu.
• Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu PBB)
PENDIDIKAN
• Sekolah Rendah: St Joseph School, Kuching.
• Pendidikan Tinggi: LL.B University of Adelaide (1970).
KERJAYA
•
1976 :
Penasihat Undang-Undang dan Ahli Jawatankuasa Penasihat PBB
• Januari
1979 :
Bertanding pada kerusi Dewan Undangan Negeri bagi Muara Tuang pada
Pilihan
Raya Kecil (PRK) pada Januari 1979 atas tiket (BN-PBB) dan menewaskan Razali
Sabang (PAJAR) dengan majoriti 2,797 undi.
• September 1979 : Bertanding atas tiket
(BN-PBB) pada PRN September 1979 beraya dengan
menewaskan Bujang Ali Nor (PAJAR) dengan majoriti 3,422 undi.
• 11 September 1983: Ahli Majlis Tertinggi PBB
— Dilantik semula Ketua Bahagian Publisiti PBB.
• Pilihan Raya Negeri Ke-4 Disember 1983 : (BN-PBB) sebagai ADUN Muara
Tuang untuk penggal kedua apabila menewaskan Abang Ibrahim Abang Othman
(Bebas) dengan majoriti 3,696 undi.
• PRN Ke-5 April 1987 : ADUN
Muara Tuang untuk penggal ketiga selepas menang majoriti 3,441 undi.
•
1987-1992
: Naib Presiden PBB
• PRN Ke-6 1991 :
Menang dengan majoriti 8,272 undi dan menjadi ADUN Muara Tuang.
•
1992-1995
: Naib Presiden PBB apabila menang tanpa bertanding.
• PRN Ke-7 September 1996 : Menang tanpa
bertanding sebagai ADUN Muara Tuang.
• 1995 –
1998
: Naib Presiden PBB (menang tanpa bertanding)
• Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004: Menang atas tiket (BN-PBB) di
kerusi Batang Sadong selepas menewaskan Adam Ahid (PAS) dengan majoriti 9,731
undi.
• PRN Mei 2006: Bertanding di kerusi Tanjung Datu dan menang dengan
majoriti 4,136 undi
selepas menewaskan calon PKR.
• 3 Mac
2007
: Ketua Penerangan PBB (dilantik).
• PRN Ke-10 April 2011: Menang kerusi DUN Tanjung Datu apabila
menewaskan calon Bebas dengan majoriti 3,216.
Kerajaan:
• Pernah menjadi wartawan dan guru sekolah sebelum melanjutkan pelajaran
dalam bidang Undang-undang.
• 1970 -1972 : Majistret di Kuching.
• 1972 -1974 : Penasihat Undang-Undang Hal Ehwal
Petroleum, Kementerian Perusahaan Utama.
• 11 Julai 1985 : Menteri Muda, Pembangunan Tanah Sarawak
• 12 Mac 1987 : Menteri Muda Pembangunan Tanah Sarawak
• 10/09/1992 : Menteri Pembangunan Sosial Sarawak
• 01 Januari 1998: Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sarawak
• 28 September 2001: Ahli Kabinet Negeri.
• 30 Mac 2004 :
Mengangkat sumpah sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak.
• 14 Februari 2006 : Meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli
dan Alam Sekitar Sarawak apabila rombakan kecil kabinet.
• 2 April 2010 – 06 Jun 2011 : Penasihat Khas di Pejabat Ketua
Menteri.
• 06 Jun 2011 : Dilantik sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri
dan Menteri Tugas-Tugas Khas.
• 30 September 2011 : Beliau dikekalkan sebagai Menteri di Pejabat
Ketua Menteri
No comments:
Post a Comment