Tindakan tidak masuk akal PKR
untuk mengadakan Pilihanraya Kecil [PRK]di Kajang dikatakan sebagai satu
strategi terbaik untuk parti. Anwar
Ibrahim dikatakan akan bertanding di situ dan seterusnya apabila menang, akan
diangkat menjadi Menteri Besar.
Rata-rata orang ramai mengecam
tindakan PKR sebagai sesuatu yang membazir wang rakyat dan tidak
bertanggungjawab. Seperti yang
diketahui, sesebuah PRK memakan kos jutaan ringgit. Memandangkan Kajang merupakan kawasan
berpenduduk padat maka kosnya tentulah jauh lebih tinggi lagi. Berdasarkan hakikat ini, mana-mana ADUN tidak
seharusnya meletakkan jawatan sesuka hati tanpa sebab musabab yang konkrit.
Apa yang berlaku, membuktikan
bahawa PKR langsung tidak mempedulikan rakyat atau wang negara yang dibazirkan,
dan sebaliknya bertindak semata-mata atas kepentingan pemimpin dan politik
parti.
Kenyataan Azmin Ali bahawa
keputusan ini merupakan tindakan taktikal mengesahkan persepsi rakyat bahawa
pemimpin PKR hanya mementingkan politik dan diri sendiri. Azmin, kemudiannya cuba menolak spekulasi
bahawa Anwar akan menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor
tetapi di masa yang sama menyatakan bahawa Selangor memerlukan pemimpin
‘nasional’ seperti Anwar untuk kukuhkan kedudukan Pembangkang. Bagaimanapun,
Azmin tidak pula menjelaskan bagaimana kedudukan Anwar sebagai ADUN dan bukan
MB, boleh membantu mengukuhkan Pembangkang.
Penjelasan Rafizi pula lebih
menarik lagi iaitu kononnya Anwar bertanding di Kajang adalah untuk menghalang
Barisan Nasional yang bakal menjadi lebih kuat akibat ‘kejatuhan Datuk Sri Najib’ nanti. Menurut Rafizi, Datuk Sri
Najib akan dijatuhkan oleh satu gerakan yang didalangi oleh bekas Perdana
Menteri, Tun Mahathir Mohamad. Setelah
kejatuhan itu, isu perkauman dan agama akan ‘meletup’ dan PKR dan Pembangkang
perlu bersedia untuk menghadapinya.
Untuk itu, Anwar diperlukan di DUN Kajang serta tidak menolak
kemungkinan yang Anwar juga akan menerajui Selangor.
Jika teori Azmin mengenai
keperluan PRK Kajang mengundang gelak ketawa rakyat, teori Rafizi pula
mengundang rasa loya di tekak orang yang mendengarnya. Kenyataan Rafizi hanya
memperlihatkan kepada rakyat akan usaha PR untuk melagakan Mahathir dengan
Najib. Kenyataan Azmin pula
memperlihatkan yang beliau sendiri berada dalam keadaan ‘bingung’ dengan apa
yang berlaku dalam partinya akhir-akhir ini. Kedua-dua mereka bagaimanapun,
cuba sedaya upaya untuk merasionalkan keputusan parti walaupun tahu yang ianya
tidak masuk akal sama sekali.
Namun, rakyat bukan sebodoh yang
disangka mereka.
Semua orang tahu bahawa keputusan
Anwar untuk melakukan kejutan ini adalah sebagai persediaan untuk menghadapi
keputusan rayuan kes liwatnya di mahkamah.
Ini berikutan kegagalan rayuan ke 2 Anwar pada 20 Disember lalu, untuk
menggugurkan Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan
pendakwaan dalam rayuan kes tersebut.
Rayuan tersebut sepatutnya
diperdengarkan pada 28 Januari lepas, tetapi telah ditangguhkan sehingga 11
Februari atas sebab ketidakhadiran peguam Anwar, Tommy Thomas. Maka, kerana itulah kejutan mengenai Kajang
timbul dalam rangka masa yang sama.
PRK Kajang merupakan strategi
yang baik untuk mengalihkan pandangan rakyat dari kes liwatnya. Malangnya, ianya hanyalah bersifat sementara
sahaja. Oleh itu, harapan Anwar,
sekiranya beliau menang dan menjadi Menteri Besar maka sebarang keputusan
mahkamah yang tidak memihak padanya pasti akan mencetuskan isu besar. Malah, beliau juga akan berpeluang untuk
mencipta isu lain di celah-celah kegilaan itu seperti ‘menjolok’ istana
Selangor pula.
Pendek kata, Anwar kini hanya
mengharapkan strategi menimbulkan kekecohan apabila keputusan kes liwatnya
semakin hampir dan Selangor merupakan platform yang paling sesuai untuk itu
selain memberinya capaian kepada dana yang besar.
Anwar kini berada dalam ‘mode’
panik. Anwar yang kita tahu, akan
sanggup berbuat apa saja apabila beliau panik.
Beliau pernah lari ke Kedutaan Turki kerana panik tetapi Anwar tidak
boleh lagi lari ke tempat yang sama tanpa mengambil risiko diketawakan oleh
pihak Turki.
Apa yang pasti disini ialah,
Anwar enggan masuk penjara lagi...
Justeru itu ada baiknya jika kita
bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan dilakukan oleh Anwar untuk
memastikan dirinya TAK akan kembali masuk penjara!!
No comments:
Post a Comment