Friday, February 14, 2014

PERMAUFAKATAN DALAM PBB TETAP UTUH : ABANG JOHARI



Mesyuarat tertutup Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hujung mingggu lepas yang menjadi titik tolak kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk memilih Tan Sri Adenan Satem sebagai pengganti beliau, tidak terlepas daripada saat-saat dramatik.

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini berkata Abdul Taib terperanjat apabila beliau bersama Adenan dan naib presiden kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan tidak bersetuju dengan Abdul Taib yang mahukan Majlis Tertinggi parti dan kaukus memilih penggantinya.

"Sebenarnya beliau (Abdul Taib) agak terkejut. Beliau menyangka kami akan bergaduh (sesama sendiri). Saya cuma mahu berterus-terang di sini. Kami bertiga bersetuju untuk memberikan mandat kepada beliau untuk membuat keputusan, katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Abang Johari, Awang Tengah bersama Adenan tersenarai sebagai calon berpotensi untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Menteri sebelum Abdul Taib mengumumkan semalam bahawa Adenan bakal menggantikan tempatnya apabila beliau berundur pada 28 Feb ini.

"Kemudian, kami (Abang Johari, Adenan dan Awang Tengah) mahu menghentikan mesyuarat Majlis Tertinggi dan kaukus dan Adenan mencadangkan kepada mesyuarat itu untuk memberikan mandat kepada Ketua Menteri (Abdul Taib) menamakan penggantinya dan saya menyokongnya. Itulah semangat berpasukan yang kami ada di PBB," katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pelancongan negeri berkata Adenan patut diberi cukup ruang dan masa untuk membuktikan kebolehannya menjadi Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

"Dalam tempoh peralihan ini, kita perlu memberikan cukup ruang dan masa untuk Ketua Menteri yang baharu memahami selok belok pentadbiran dan kemudian untuk beliau bergerak ke hadapan meneruskan dasar-dasar (yang telah diletakkan oleh Abdul Taib)," katanya.



Beliau berkata ia bukan hanya menjadi hasrat beliau tetapi kesemua pemimpin-pemimpin Barisan Nasional di Sarawak untuk melihat peralihan kepimpinan negeri di antara Abdul Taib dan Adenan berjalan lancar, tidak seperti apa yang berlaku apabila Abdul Taib mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Ketua Menteri sebelum beliau, Tun Abdul Rahman Yaakub pada 1981.

"Semasa peralihan (antara) Tun Abdul Rahman kepada Taib terdapat masalah. Sekarang kita tidak mahu masalah itu berlaku antara Abdul Taib dengan Ketua Menteri yang baharu. Apabila Abdul Taib memberitahu saya, Adenan akan menjadi Ketua Menteri yang baharu, saya memberi sokongan yang penuh kerana beliau (Adenan) memerlukan sokongan kami semua," katanya.

Beliau juga menepis spekulasi bahawa Adenan akan menjadi 'Ketua Menteri Interim' sementara menanti Perhimpunan Agung PBB yang akan datang.

"Seorang Ketua Menteri adalah seorang Ketua Menteri. Beliau (Adenan) adalah Ketua Menteri. Kita beri keutamaan kepada kepentingan parti," kata Abang Johari.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak perubahan-perubahan tertentu akan berlaku berikutan peralihan kepimpinan negeri tetapi perubahan sedemikian akan berlaku menerusi persefahaman di antara pihak yang terlibat.

"Apabila ada peralihan, memang ada penyesuaian. Dalam kes kami sudah pasti ada penyesuaian. Jika tidak ia akan statik. Perkara-perkara tertentu perlu diubah," katanya.

Abang Johari juga menolak kemungkinan campur tangan Abdul Taib dalam pentadbiran negeri apabila Adenan mengambil alih tugas Ketua Menteri.


"Apabila seseorang pemimpin meninggalkan legasi, beliau perlu memahaminya. Tetapi dalam kes ini beliau (Abdul Taib) memahaminya dan berharap penggantinya adalah lebih baik daripadanya," kata Abang Johari.

Sumber : http://mymassa.blogspot.com/2014/02/anwar-harap-kami-gaduh-rupanya-tidak.html

No comments: