Sunday, February 21, 2010

Pertama dalam 30 tahun

by Adib Othman

PBB dijangka menyaksikan pertandingan jawatan ketua pemuda pada Ahad depan

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) buat julung kalinya dalam tempoh 30 tahun dijangka menyaksikan pertandingan bagi jawatan ketua pemuda.

PEMUDA PBB: Fadillah (duduk, tengah), Daniel (depan, tiga kiri) dan Gerald (depan, tiga kanan) bersama ahli-ahli Pemuda PBB yang lain semasa sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, Kuching semalam.

PEMUDA PBB: Fadillah (duduk, tengah), Daniel (depan, tiga kiri) dan Gerald (depan, tiga kanan) bersama ahli-ahli Pemuda PBB yang lain semasa sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, Kuching semalam.

Tiada pertandingan bagi jawatan ketua pemuda sejak Dato Sri Celestine Ujang buat pertama kalinya menyandang jawatan berkenaan pada 1981.

Pertandingan nampaknya semakin jelas akan berlaku apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Abdul Karim Rahman Hamzah tetap dengan pendiriannya untuk bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Beliau yang akan mencabar penyandang jawatan itu, Fadillah Yusof yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata keputusan itu dibuat atas sokongan dan desakan akar umbi.

“Saya mengambil keputusan untuk bertanding kerana ada desakan daripada akar umbi dan ini memberi peluang kepada para perwakilan untuk menentukan sama ada mereka inginkan muka baru atau mengekalkan muka lama,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun keputusan rasmi pertandingan merebut beberapa jawatan dalam Pergerakan Pemuda akan diumumkan pada 21 Februari ini setelah Jawatankuasa Pemilihan PBB menapis kelayakan mereka yang bertanding.

Abdul Karim yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda pada penggal sebelum ini, berkata pertandingan merebut jawatan tersebut akan diadakan dalam semangat kekeluargaan antara ahli-ahli parti.

“Saya dan Fadillah adalah kawan baik dan saya yakin pertandingan ini tidak akan membawa kepada perpecahan dalam pergerakan pemuda,” ujarnya.

Kelmarin, pada hari terakhir penerimaan pencalonan, beliau memperoleh tiga pencalonan.

Abdul Karim merupakan Ahli Majlis Tertinggi PBB bagi penggal 2007 hingga 2010 dan juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri.

Selain itu, Pergerakan Pemuda kali ini menyaksikan penyandang jawatan Timbalan Ketua Pemuda, Daniel Jubang Kenneth, tidak ditentang dan dikira sebagai menang tanpa bertanding selepas menerima 35 pencalonan.

Pemilihan untuk Pergerakan Pemuda akan diadakan pada 28 Februari ini, iaitu sebelum Perhimpunan Agung PBB.

Sementara itu, jawatan naib ketua Pemuda (Bumiputera) yang tidak dipertahankan oleh penyandangnya, Dato Sri Sulaiman Taib, menerima tiga pencalonan.

Abdul Aziz Adenan yang juga anak kepada Ketua Penerangan parti, Datuk Amar Adenan Satem menerima pencalonan kedua tertinggi, di belakang Pandi Suhaili yang menerima 24 pencalonan.

Pandi yang ketika ini merupakan ahli Exco Pemuda dan juga ketua pemuda cawangan Jepak, turut menerima dua pencalonan untuk mempertahankan jawatannya dalam Exco Pemuda.

Bagaimanapun naib ketua Pemuda (bagi Pesaka) untuk Iban dan Orang Ulu/Bidayuh, Ensaring Suel dan Dr Simon Sindang menang tanpa bertanding.

Selain itu, ahli jawatankuasa eksekutif (exco) untuk sayap Bumiputera yang menawarkan lapan kerusi akan direbut 21 pencalonan, manakala sayap Pesaka menawarkan tujuh kerusi dan telah menerima 14 pencalonan.

PBB tidak akan tubuh sayap Puteri

February 21, 2010, Sunday


KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sebuah daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak, tidak akan menubuhkan sayap Puteri bagi menarik lebih ramai golongan wanita profesional muda berumur bawah 30 tahun untuk menyertai politik.

Langkah itu diambil memandangkan mekanisme sedia ada dalam PBB sudah pun berjalan dengan baik, kata Ketua Wanita PBB Dato Sri Empiang Jabu.

Beliau berkata ketika ini, parti itu dianggotai 120,000 wanita yang kebanyakannya berumur 30 tahun ke atas namun ini tidak bermakna atau membayangkan bahawa parti itu menutup pintu kepada golongan bawah 30 tahun.

“Peraturan untuk menjadi anggota kami (Wanita PBB) adalah jelas kerana jika anda berumur 18 tahun ke atas dan memenuhi semua syarat, sesiapa saja boleh menyertai parti kami,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat PBB di sini semalam.

Empiang yang mengekalkan jawatan bagi penggal kedua dalam Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali (TGM) PBB, menggambarkan aturan sekarang sebagai ‘gandingan lama dan baru’ dalam sayap Wanita yang telah mengukuhkan parti memandangkan generasi lebih tua bertindak sebagai mentor kepada golongan muda untuk memahami perjuangan serta sejarah parti.

“Malah saya sendiri yang sudah pun bergelar nenek masih seronok bekerja dengan generasi lebih muda dalam sayap Wanita PBB sehingga hari ini,” katanya sambil menambah dalam TGM akan datang, PBB akan menyaksikan lebih ramai profesional wanita muda yang menjadi anggota exco sayap Wanita.

Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), sebuah parti serpihan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang ditubuhkan pada penghujung 2002 ekoran krisis kepimpinan dalam SNAP, adalah parti komponen tunggal BN Sarawak yang membentuk sayap Puteri dan mengembangkan cawangannya ke Johor pada November tahun lepas.

Mengenai pilihan raya negeri yang disebut-sebut bakal diadakan tahun ini, beliau berharap kepimpinan tertinggi parti akan meletakkan lebih ramai calon wanita memandangkan parti itu mempunyai ramai calon wanita yang berpotensi.

“Kami menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan tetapi yang penting bukanlah mengenai sama ada parti perlu meletakkan calon wanita atau tidak, sebaliknya untuk memenangi kerusi dalam usaha memperkukuhkan parti. Kami akur dengan apa jua keputusan,” katanya.

Ketika ini, Wanita PBB mempunyai tiga wakil rakyat iaitu Timbalan Ketuanya, Datin Fatimah Abdullah yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali dan Simoi Peri manakala di peringkat pusat pula, Ahli Parlimen daripada PBB ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim, Nancy Shukri serta Datuk Norah Tun Abdul Rahman.

Empiang, yang juga seorang senator, mengekalkan jawatannya berikutan resolusi sebulat suara oleh 71 cawangan parti yang mahu supaya jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan, termasuk timbalan ketua dan naib ketua. — Bernama

Pembangkang perlu contohi Hadi - TPM

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA mohdasron.mustapha@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menolak sebarang campur tangan asing termasuk perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan pucuk pimpinan parti itu tidak sehaluan dengan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sikap yang sama sepatutnya ditonjolkan oleh pemimpin pembangkang lain apabila sesuatu isu itu menyentuh mengenai kedaulatan negara.

“Pendirian sebegitu harus menjadi contoh kepada pemimpin pembangkang yang lain. Jangan dalam soal berkaitan kedaulatan negara pun ia mahu dipolitikkan sehingga timbul tanggapan yang ketara berbeza.

“Sepatutnya apabila berkait dengan kepentingan nasional, pendirian yang sama perlu diambil dan ia sesuatu yang kita hormati jika pemimpin bersikap begitu (tolak campur tangan asing),’’ katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Abdul Hadi yang menentang campur tangan asing termasuk dalam perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Semalam Abdul Hadi menegaskan, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak rela menjadi mangsa campur tangan pihak asing dan atas alasan itu, Pas akan bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara.

Mengulas lanjut Muhyiddin memberitahu, sebagai sebuah negara demokrasi, Malaysia tidak memerlukan sebarang campur tangan asing.

‘’Kita ada sistem yang menjadi tonggak kepada amalan demokrasi dan para pemimpin (tempatan) juga perlu mengikut prinsip yang sama,’’ jelasnya.

Baru-baru ini, seramai 50 Ahli Parlimen Australia meminta supaya kerajaan Malaysia menggugurkan pertuduhan liwat ke atas Anwar atas alasan kononnya pendakwaan itu memalukan sistem demokrasi negara.

Desakan itu dibuat kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, Datuk Salman Ahmad melalui sepucuk surat rasmi bertarikh 11 Februari lalu sambil menyatakan mereka perlu menyokong pemimpin pembangkang itu.

Gagasan 1Malaysia tidak gagal - PM



Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor beramah mesra bersama pemilik rumah Ong Kin Huat, 69, (duduk, tiga, kanan) ketika kunjungan Perdana Menteri dan menteri kabinet sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Jalan Chan Ah Choo, Pandamaran, Klang, semalam.

KLANG 20 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, walaupun berlaku insiden bakar gereja, surau dan membaling kepala babi di masjid di beberapa tempat baru-baru ini, ia bukan menggambarkan gagasan 1Malaysia telah gagal.

Sebaliknya Perdana Menteri berkata, golongan ekstremis itu lambat laun tidak akan diterima kerana rakyat menyokong gagasan satu negara, satu rakyat dan satu Malaysia.

''Inilah semangat yang ada pada kita, jadi jangan rasa kecewa dengan insiden-insiden tersebut.

''Saya janji kerajaan akan buat yang terbaik kepada rakyat. Berilah kami peluang untuk membuktikannya," katanya.

Beliau menyuarakan jaminan itu ketika berucap di depan kira-kira 8,000 pengunjung pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di Jalan Chan Ah Choo, Pandamaran di sini malam ini.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim: Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Soo Koon dan menteri-menteri Kabinet.

Majlis bertemakan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu menyaksikan orang ramai terutama penduduk di kawasan Pandamaran mengambil peluang beramah mesra dan bersalam dengan Perdana Menteri, Najib dan isteri, tetamu kehormat serta masyarakat setempat bersama-sama menyertai acara gaul 'yee sang' yang merupakan makanan tradisi ketika makan besar pada malam sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

Majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan yang melibatkan tarian muhibah oleh Kumpulan Sokagakai, tarian singa dan gendang 24 musim serta persembahan artis seperti Gary Chow, Michael Wong dan Ning Baizura.

Perdana Menteri berkata, sambutan luar biasa malam ini mencerminkan masyarakat di Pandamaran mahu bersama-sama kerajaan menyambut Tahun Baru Cina dan menggambarkan semangat gagasan 1Malaysia membara dalam sanubari semua kaum.

Najib berkata, sambutan itu juga menafikan cakap-cakap sebelum ini bahawa majlis tersebut tidak akan mendapat sambutan kerana pihak lain turut menganjurkan majlis sama di Banting.

''Mereka turunkan gambar besar saya kononnya tak isi borang, tak ikut peraturan jadi gambar kena turun. Mereka buat majlis lain supaya majlks ini tidak ramai yang datang," katanya.

Walau Apa Pun Alasan Anwar, Tindakannya Itu Meletakkan Negara Dalam Keadaan Sulit

Oleh Cikgu Bashid

1 Saya sebenarnya tidak mahu bercakap lagi tentang Anwar. Saya sudah hampir melupai Anwar setelah apa yang dia buat ke atas negara ini. Lagi pun sudah ramai yang memperkatakan tentang dirinya dan apa yang pernah dia dilakukan.

2 Tetapi sebagai seorang guru yang hanya mengajar perkara yang benar dan baik saya tidak akan membiarkan apa yang Anwar lakukan ke atas negara ini sampai menjadi ikutan anak-anak didik saya sedangkan dengan jelas perbuatan Anwar itu salah.

3 Tulisan saya ini bukan untuk memberitahu Anwar tentang apa yang beliau lakukan, tetapi ditujukan kepada anak didik saya yang sedang membesar dan bakal menggantikan kepimpinan yang ada sekarang. Generasi pelapis yang bakal menerima negara ini dan seluruh legasi pemimpin terdahulu dan sekarang.

4 Saya sedar tulisan ini tidak penting buat Anwar setelah nasihat yang lebih mudah didapatinya daripada rakan-rakannya dari dalam dan luar negara. Tetapi tulisan ini begitu penting kepada anak-anak didik di seluruh negara yang sedang belajar menilai dan membuat keputusan yang mana satu baik untuk negara ini dan yang mana pula tindakan yang perlu dielakkan sama sekali.

5 Jika anda percaya yang Anwar akan menghentikan permainan ini, anda silap besar.Tidak. Dia tidak akan berhenti kecualilah Allah mengehndakinya. Dia amat biasa dengan cara-cara sebegini dan kalau ada pun cara lain dia hanya ada satu cara lagi, iaitu meneruskannya.

6 Berhenti setelah amat biasa melakukannya, itulah satu-satu kesukaran buatnya. Apa dia peduli sama ada cara itu betul atau salah; bermoral atau tidak.Yang penting wujud dirinya. Asal dia wujud, dia akan melakukannya.

7 Yang penting dia harus menciptakan keriuhan dan kegemparan sebab diam akan menggganggu ketenteramannya. Tenang, diam dan sepi itu akan menghantui dirinya dan akhirnya itu akan membunuh jiwanya.

8 Jadi dia tidak akan membiarkan situasi menjadi diam dan tenang agak lama. Dia harus menciptakan keriuhan yang baru, sementara keriuhan sebelumnya masih belum pudar sepenuhnya.

9 Anwar akan menutup yang salah dengan membangunkan yang salah.Semua orang tahu itu termasuk anak saya yang berada di Tahun Lima. Dan tak mustahil kesalahan yang berikutnya lebih besar daripada kesalahan yang sebelumnya.

10 Saya tidak mahu mempertikaikan kes liwatnya yang sedang dibicarakan di mahkamah. Selepas sesuatu itu dibawa ke mahkamah, biarkan mahkamah yang memutuskannya. Ini pendirian saya yang tidak boleh diganggu gugat sejak dahulu lagi.

11 Sebabnya mudah. Saya dididik di bawah sistem pendidikan yang pernah mengajar saya tentang kedaulatan undang-undang, keluhuran perlembagaan dan kesopanan serta kesusilaan.Saya juga diajar tentang pemisahan bidang kuasa antara eksekutif, legislatif dan judiciary.Dan inilah juga perkara-perkara yang saya ajar kembali kepada murid-murid saya.

12 Sebab itu saya tidak pernah bergembira dengan cara-cara yang boleh memalukan seseorang termasuk Anwar atau Saiful atau sesiapa sahaja dalam proses keadilan sedang dilakukan ke atas diri mereka yang terlibat melalui sistem perundangan yang ada di negara ini.

13 Selagi seseorang itu tidak dibuktikan bersalah, dia tidak bersalah. Saya jelas tentang itu. Sesiapa pun patut faham tentang itu termasuk Anwar sendiri. Sebab itu Anwar tidak patut berbuat sesuatu yang boleh mengganggu proses mahkamah. Dalam tempoh keadilan cuba dilakukan ke atas dirinya dan diri Saiful, Anwar patut menonjolkan sikap "baik" dengan bersabar, tenang dan menunjukkan sikap jauh lebih matang daripada Saiful jika dia yakin yang dirinya berada di pihak yang betul.

14 Tetapi apa yang dibuat oleh Anwar selepas itu dan selain itu, itulah yang saya tidak dapat terima. Apa pun sebabnya, Anwar tidak boleh berbuat begitu jika dia seorang yang bertanggungjawab kepada negaranya.

15 Saya boleh memaafkan Anwar atas apa jua keterlanjurannya sebab dia dan saya manusia biasa, tetapi beliau adalah musuh saya dan negara jika apa yang dibuatnya boleh menjejaskan kedaulatan negara dan mengancam keselamatan negara ini.

16 Anwar tidak sepatutnya menyulitkan negara dan meletakkan negara dalam keadaan tergugat untuk melindungi dirinya atas suatu isu peribadi. Anwar tidak penting, yang penting ialah kestabilan negara ini dan 27 juta rakyat yang berada di dalamnya.

17 Siapakah Anwar berbanding 27 juta jiwa rakyat Malaysia yang lain hingga dia boleh berbuat begitu termasuk mengheret ahli-ahli parlimen Australia untuk menekan kerajaan bagi membela dirinya. Itu belum lagi jadi Perdana Menteri seperti yang dicita-citakannya. Bagaimana kalau dia menjadi Pertama Menteri?(nauzubillah).Apakah yang anda dapat bayangkan?

18 Tidak mustahil ramai orang luar yang punya pengaruh dari Amerika, Australia dan Britain akan dihangkutnya untuk membantu Malaysia sehingga kita tidak bebas lagi menentukan hala tuju negara kita sendiri.Apa pun masalah yang dihadapi oleh negara ini, tokoh-tokoh dari negara-negara itulah yang akan dijadikannya rujukan.

19 Ketika itu, apa yang pernah cuba dielakkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan disambung oleh kepemimpinan sekarang akan berlaku. Di mana ketika itu kita akan saksikan bagaimana orang luar akan menentukan apa yang patut kita buat dan apa yang tidak patut kita buat untuk negara kita sendiri.

20 Ini bukan soal hubungan baik antara individu dua atau tiga atau lebih negara. Ini cara-cara yang keterlaluan, tidak bijaksana untuk jangka sederhana dan panjang yang perlu dielakkan oleh sesiapa sahaja yang bertanggungjawab ke atas negaranya.

21 Anda patut tahu batas-batas hubungan itu, tentang apa dan setakat mana yang perlu dibantu. Anda patut jelas tentang itu sebab jika tersilap langkah buruk padahnya kepada kebebasan dan kedaulatan negara Malaysia.

22 Saya tidak pernah mengajar anak-anak murid saya baik dalam subjek sejarah, moral, pendidikan sivik, kewarganegaraan dan pendidikan Islam tentang meminta bantuan asing untuk kepentingan peribadi.

23 Tetapi yang pernah saya ajar kepada anak murid saya ialah bagaimana negeri atau negara boleh jatuh ke tangan kuasa asing jika dendam kepada seseorang sampai membutakan mata hati kepada kebenaran.

24 Yang pernah saya ajar ialah bagaimana tindakan meminta campurtangan individu, syarikat, dan kuasa asing akan menyebabkan negeri atau negara kita hilang kedaulatan. Anda patut tahu bagaimana campur tangan British di negeri Perak, bagaimana kemasukan tentera Bugis ke Kedah dan betapa liciknya Francis Light ketika ingin menguasai Pulau Pinang.

sumber - gurubashid

BN mahu selesai janji di Sarawak

PUTRAJAYA 20 Feb. - Barisan Nasional (BN) akan menyelesaikan semua janji yang dibuat semasa pilihan raya umum lalu di Sarawak sebelum pilihan raya negeri itu.Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, usaha itu akan dilakukan dengan kerjasama menteri, timbalan menteri dan ahli parti komponen BN Sarawak.

"Dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam, kita telah minta jentera parti komponen BN di Sarawak untuk bergerak.

"Kita juga minta menteri dan timbalan menteri yang mempunyai kaitan khusus terhadap keperluan Sarawak untuk tengok apa janji kita semasa pilihan raya umum lalu sama ada sudah selesai atau belum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Juara Rakyat peringkat Putrajaya di kawasan perumahan Fasa 5 dan 6 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Tengku Adnan turut menyerahkan bantuan kerusi roda kepada pengerusi penduduk kawasan itu dan mengecat Surau Abu Bakar As-Siddiq Fasa 5.

Tempoh akhir untuk Sarawak mengadakan pilihan raya negeri ialah selewat-lewatnya pada pertengahan 2011.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud baru-baru ini berkata, beliau belum ada ilham bila akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, BN sudah mempunyai strategi untuk memastikan kemenangan calon BN Sarawak pada pilihan raya negeri itu.

"Kita bersedia dan tahu apa nak buat. Kita ada strategi tersendiri dan kita tidak akan dedahkan strategi itu," katanya.

Wanita tulang belakang UMNO - PM

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin semangat baru yang ditunjukkan Wanita UMNO kini dapat membantu parti bangkit daripada kelemahan seterusnya memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak.

Menurutnya, Wanita UMNO kini bukan berperanan sebagai 'tulang rusuk' parti, sebaliknya merupakan 'tulang belakang' serta pemangkin ke arah mentransformasikan parti.

Beliau berkata, keyakinannya itu bersandarkan kepada komitmen dan semangat 'meluap-luap' yang ditunjukkan oleh Wanita UMNO terutama ketika menjalankan kerja-kerja parti sama ada di peringkat kepimpinan mahupun akar umbi.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan ahli-ahli pergerakan itu bahawa parti akan menjadi lemah sekiranya pangkat, kuasa, pengaruh dan jawatan menjadi rebutan.

''Apa gunanya kita menjadi ketua di peringkat cawangan, bahagian atau Pusat tetapi dalam masa sama kuasa memerintah negara jatuh kepada orang lain. Adakah ini yang kita mahukan?

''Adakah kita mahu lihat parti menjadi lemah kerana kita terlalu mahukan jawatan? Fikirlah secara inovatif iaitu dengan meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan sendiri. Berilah imej yang baik kepada UMNO,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Wanita UMNO: Wanita UMNO Nadi Transformasi dan Inovasi Negara di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kehadiran kedua-dua pemimpin utama UMNO itu turut diiringi isteri masing-masing iaitu Datin Seri Rosmah Mansor serta Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Hadir sama dua Naib Presiden iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selain Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan Wanita UMNO supaya sentiasa mementingkan usaha membela rakyat kerana ia merupakan agenda paling utama dalam parti.

Sebagai contoh beliau berkata, mereka tidak wajar mementingkan 'orang sekeliling' tanpa menghiraukan kelompok lain dalam masyarakat khususnya golongan yang memerlukan bantuan.

''Cuba lihat kehidupan ibu-ibu tunggal dan orang miskin, bagaimana nasib mereka? Sebagai parti yang prihatin kita wajib membantu mereka, bukan setakat tengok sahaja.

''Kita mahu setiap kali berlaku kesusahan, mereka cari UMNO bukan cari parti pembangkang. UMNO mesti dekat dengan rakyat, mesti membantu rakyat,'' katanya lagi.

Atas asas ini katanya, beliau memperkenalkan tinjauan mesra dengan tidak perlu ada protokol dan yang terbaru menyelesaikan masalah di Kampung Baru.

Dalam perkembangan sama, Najib turut meminta Wanita UMNO memberi maklumat yang tepat kepada pucuk pimpinan tanpa perlu menyembunyikan sebarang fakta.

''Saya telah terlibat di dalam politik selama 35 tahun dan dalam tempoh ini saya dapati ada masanya laporan Wanita UMNO boleh dipakai, tetapi ada masa laporan mereka tidak boleh dipakai. Bila kita tanya mereka jawab 'okay Datuk'.

''Kita mahu ketepatan dalam menyalurkan maklumat dan inilah salah satu perubahan inovatif yang saya mahukan,'' jelasnya.

Beliau turut menyentuh mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Wanita UMNO yang seharusnya mendatangkan kesan atau hasil kepada objektif perjuangan parti.