Sunday, February 21, 2010

BN mahu selesai janji di Sarawak

PUTRAJAYA 20 Feb. - Barisan Nasional (BN) akan menyelesaikan semua janji yang dibuat semasa pilihan raya umum lalu di Sarawak sebelum pilihan raya negeri itu.Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, usaha itu akan dilakukan dengan kerjasama menteri, timbalan menteri dan ahli parti komponen BN Sarawak.

"Dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam, kita telah minta jentera parti komponen BN di Sarawak untuk bergerak.

"Kita juga minta menteri dan timbalan menteri yang mempunyai kaitan khusus terhadap keperluan Sarawak untuk tengok apa janji kita semasa pilihan raya umum lalu sama ada sudah selesai atau belum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Juara Rakyat peringkat Putrajaya di kawasan perumahan Fasa 5 dan 6 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Tengku Adnan turut menyerahkan bantuan kerusi roda kepada pengerusi penduduk kawasan itu dan mengecat Surau Abu Bakar As-Siddiq Fasa 5.

Tempoh akhir untuk Sarawak mengadakan pilihan raya negeri ialah selewat-lewatnya pada pertengahan 2011.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud baru-baru ini berkata, beliau belum ada ilham bila akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, BN sudah mempunyai strategi untuk memastikan kemenangan calon BN Sarawak pada pilihan raya negeri itu.

"Kita bersedia dan tahu apa nak buat. Kita ada strategi tersendiri dan kita tidak akan dedahkan strategi itu," katanya.

No comments: