by Adib Othman
February 20, 2010, Saturday
KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) buat julung kalinya dalam tempoh 30 tahun dijangka menyaksikan pertandingan bagi jawatan ketua pemuda.
Tiada pertandingan bagi jawatan ketua pemuda sejak Dato Sri Celestine Ujang buat pertama kalinya menyandang jawatan berkenaan pada 1981.
Pertandingan nampaknya semakin jelas akan berlaku apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Abdul Karim Rahman Hamzah tetap dengan pendiriannya untuk bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Beliau yang akan mencabar penyandang jawatan itu, Fadillah Yusof yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata keputusan itu dibuat atas sokongan dan desakan akar umbi.
“Saya mengambil keputusan untuk bertanding kerana ada desakan daripada akar umbi dan ini memberi peluang kepada para perwakilan untuk menentukan sama ada mereka inginkan muka baru atau mengekalkan muka lama,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun keputusan rasmi pertandingan merebut beberapa jawatan dalam Pergerakan Pemuda akan diumumkan pada 21 Februari ini setelah Jawatankuasa Pemilihan PBB menapis kelayakan mereka yang bertanding.
Abdul Karim yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda pada penggal sebelum ini, berkata pertandingan merebut jawatan tersebut akan diadakan dalam semangat kekeluargaan antara ahli-ahli parti.
“Saya dan Fadillah adalah kawan baik dan saya yakin pertandingan ini tidak akan membawa kepada perpecahan dalam pergerakan pemuda,” ujarnya.
Kelmarin, pada hari terakhir penerimaan pencalonan, beliau memperoleh tiga pencalonan.
Abdul Karim merupakan Ahli Majlis Tertinggi PBB bagi penggal 2007 hingga 2010 dan juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri.
Selain itu, Pergerakan Pemuda kali ini menyaksikan penyandang jawatan Timbalan Ketua Pemuda, Daniel Jubang Kenneth, tidak ditentang dan dikira sebagai menang tanpa bertanding selepas menerima 35 pencalonan.
Pemilihan untuk Pergerakan Pemuda akan diadakan pada 28 Februari ini, iaitu sebelum Perhimpunan Agung PBB.
Sementara itu, jawatan naib ketua Pemuda (Bumiputera) yang tidak dipertahankan oleh penyandangnya, Dato Sri Sulaiman Taib, menerima tiga pencalonan.
Abdul Aziz Adenan yang juga anak kepada Ketua Penerangan parti, Datuk Amar Adenan Satem menerima pencalonan kedua tertinggi, di belakang Pandi Suhaili yang menerima 24 pencalonan.
Pandi yang ketika ini merupakan ahli Exco Pemuda dan juga ketua pemuda cawangan Jepak, turut menerima dua pencalonan untuk mempertahankan jawatannya dalam Exco Pemuda.
Bagaimanapun naib ketua Pemuda (bagi Pesaka) untuk Iban dan Orang Ulu/Bidayuh, Ensaring Suel dan Dr Simon Sindang menang tanpa bertanding.
Selain itu, ahli jawatankuasa eksekutif (exco) untuk sayap Bumiputera yang menawarkan lapan kerusi akan direbut 21 pencalonan, manakala sayap Pesaka menawarkan tujuh kerusi dan telah menerima 14 pencalonan.
No comments:
Post a Comment