KLANG 20 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, walaupun berlaku insiden bakar gereja, surau dan membaling kepala babi di masjid di beberapa tempat baru-baru ini, ia bukan menggambarkan gagasan 1Malaysia telah gagal.
Sebaliknya Perdana Menteri berkata, golongan ekstremis itu lambat laun tidak akan diterima kerana rakyat menyokong gagasan satu negara, satu rakyat dan satu Malaysia.
''Inilah semangat yang ada pada kita, jadi jangan rasa kecewa dengan insiden-insiden tersebut.
''Saya janji kerajaan akan buat yang terbaik kepada rakyat. Berilah kami peluang untuk membuktikannya," katanya.
Beliau menyuarakan jaminan itu ketika berucap di depan kira-kira 8,000 pengunjung pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di Jalan Chan Ah Choo, Pandamaran di sini malam ini.
Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim: Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Soo Koon dan menteri-menteri Kabinet.
Majlis bertemakan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu menyaksikan orang ramai terutama penduduk di kawasan Pandamaran mengambil peluang beramah mesra dan bersalam dengan Perdana Menteri, Najib dan isteri, tetamu kehormat serta masyarakat setempat bersama-sama menyertai acara gaul 'yee sang' yang merupakan makanan tradisi ketika makan besar pada malam sebelum sambutan Tahun Baru Cina.
Majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan yang melibatkan tarian muhibah oleh Kumpulan Sokagakai, tarian singa dan gendang 24 musim serta persembahan artis seperti Gary Chow, Michael Wong dan Ning Baizura.
Perdana Menteri berkata, sambutan luar biasa malam ini mencerminkan masyarakat di Pandamaran mahu bersama-sama kerajaan menyambut Tahun Baru Cina dan menggambarkan semangat gagasan 1Malaysia membara dalam sanubari semua kaum.
Najib berkata, sambutan itu juga menafikan cakap-cakap sebelum ini bahawa majlis tersebut tidak akan mendapat sambutan kerana pihak lain turut menganjurkan majlis sama di Banting.
''Mereka turunkan gambar besar saya kononnya tak isi borang, tak ikut peraturan jadi gambar kena turun. Mereka buat majlis lain supaya majlks ini tidak ramai yang datang," katanya.
No comments:
Post a Comment