Sunday, February 21, 2010

Pembangkang perlu contohi Hadi - TPM

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA mohdasron.mustapha@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menolak sebarang campur tangan asing termasuk perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan pucuk pimpinan parti itu tidak sehaluan dengan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sikap yang sama sepatutnya ditonjolkan oleh pemimpin pembangkang lain apabila sesuatu isu itu menyentuh mengenai kedaulatan negara.

“Pendirian sebegitu harus menjadi contoh kepada pemimpin pembangkang yang lain. Jangan dalam soal berkaitan kedaulatan negara pun ia mahu dipolitikkan sehingga timbul tanggapan yang ketara berbeza.

“Sepatutnya apabila berkait dengan kepentingan nasional, pendirian yang sama perlu diambil dan ia sesuatu yang kita hormati jika pemimpin bersikap begitu (tolak campur tangan asing),’’ katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Abdul Hadi yang menentang campur tangan asing termasuk dalam perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Semalam Abdul Hadi menegaskan, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak rela menjadi mangsa campur tangan pihak asing dan atas alasan itu, Pas akan bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara.

Mengulas lanjut Muhyiddin memberitahu, sebagai sebuah negara demokrasi, Malaysia tidak memerlukan sebarang campur tangan asing.

‘’Kita ada sistem yang menjadi tonggak kepada amalan demokrasi dan para pemimpin (tempatan) juga perlu mengikut prinsip yang sama,’’ jelasnya.

Baru-baru ini, seramai 50 Ahli Parlimen Australia meminta supaya kerajaan Malaysia menggugurkan pertuduhan liwat ke atas Anwar atas alasan kononnya pendakwaan itu memalukan sistem demokrasi negara.

Desakan itu dibuat kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, Datuk Salman Ahmad melalui sepucuk surat rasmi bertarikh 11 Februari lalu sambil menyatakan mereka perlu menyokong pemimpin pembangkang itu.

No comments: