Wednesday, October 27, 2010

Pertarungan satu lawan satu BN dengan Pas di Galas



TENGKU Razaleigh Hamzah dan Ahmad Zahid Hamidi mengiringi calon Barisan Nasional, Abdul Aziz Yusoff (depan, tiga dari kiri) pada penamaan calon Pilihanraya Kecil DUN Galas di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, semalam.GUA MUSANG 26 Okt. - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff dengan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamad.

Pengesahan 'pertarungan' antara kedua-dua calon itu dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Galas, Wan Mustapha Wan Ab. Hamid pada pukul 11.30 pagi sebaik sahaja selesai proses penamaan di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini.

Menurut beliau, Abdul Aziz menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.07 pagi manakala Dr. Zulkefli berbuat demikian pada pukul 9.33 pagi.

''Terdapat satu bantahan dikemukakan bagi pencalonan-pencalonan berkenaan, namun ia ditolak," katanya ketika membuat pengumuman tersebut.

Sebelum itu, Abdul Aziz yang merupakan bekas Pengurus Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) tiba di pusat penamaan pada pukul 9.05 pagi dengan diiringi oleh hampir 3,500 penyokong BN.

Turut bersama beliau ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Naib Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin serta beberapa pemimpin kanan UMNO yang lain.

Dr. Zulkefli pula tiba pada pukul 9.25 pagi dengan diiringi lebih 5,000 penyokong Pas termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharudin Mat Isa.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Pas, Chek Hashim Sulaima pada 27 September lalu. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham memenangi kerusi berkenaan dengan menewaskan calon BN, Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Berbanding Abdul Aziz yang kali pertama bertanding dalam pilihan raya, ini merupakan kali ketiga bagi Dr. Zulkefli.

Sebelum ini pada tahun 2004 dan 2008, beliau bertanding sebagai calon Pas bagi kerusi Parlimen Gua Musang, bagaimanapun tewas kedua-dua di tangan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sementara itu, proses penamaan calon yang diadakan berjalan lancar dengan kawalan ketat oleh pihak polis. Tiada insiden yang tidak diingini berlaku melibatkan penyokong kedua-dua calon.

Pertandingan 3 penjuru antara BN, SAPP, PKR di Batu Sapi



Linda Tsen Thau Lin dijulang oleh ahli-ahli Pergerakan Puteri UMNO sebaik saja proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi selesai di Dewan Masyarakat Sandakan, Sabah, semalam.

SANDAKAN 26 Okt. – Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin, SAPP pula mencalonkan Presidennya, Datuk Yong Teck Lee manakala PKR mencalonkan Ketua Cabang PKR Tuaran, Ansari Abdullah.

Senarai calon berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Mohamad Hamsan Awang Supain yang juga Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan pada pukul 11.15 pagi.

Menurut Mohamad Hamsan, borang pencalonan ketiga-tiga calon itu diterima selepas tiada bantahan dibuat mana-mana pihak dalam tempoh bantahan selama sejam.

“Sebagai pegawai pengurus, saya bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa SPR telah menerima tiga pencalonan.

“Mereka telah mengemukakan kertas penamaan pada masa berikut, Ansari pada pukul 9.08 pagi, Teck Lee (9.09 pagi) dan Linda Tsen (9.12 pagi),” katanya.

Ansari mendahului calon lain apabila tiba di dewan berkenaan pada pukul 9.02 pagi, diikuti oleh Teck Lee pada 9.04 pagi dan seterusnya calon BN, Linda Tsen pada pukul 9.05 pagi.

Terdahulu, kira-kira 10,000 penyokong BN berkumpul di Padang Bandaran seawal pukul 7 bagi bagi mengiringi calon BN ke pusat penamaan.

Calon BN, Linda Tsen yang sampai pada pukul 7.30 pagi di Padang Bandaran disambut dengan sorakan oleh penyokong BN yang terdiri daripada pelbagai parti komponen.

Perarakan yang bermula pada pukul 8.45 pagi diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi, Datuk Seri Musa Aman; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Hadir sama, dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam pada itu, antara pemimpin pembangkang yang hadir di pusat penamaan calon termasuk Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub; Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw, dan Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong akibat kemalangan jalan raya 9 Oktober lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, mendiang menang dengan majoriti 3,708 undi menewaskan calon Bebas.

Parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pemilih termasuk 1,535 pengundi pos. Daripada jumlah itu 15,099 orang atau 59 peratus merupakan bumiputera Islam, 9,737 atau 38 peratus Cina, 689 atau 2.69 peratus bumiputera bukan Islam dan 57 orang etnik lain

Sementara itu, Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada SPR kerana berjaya mengendalikan proses penamaan calon hari ini yang berjalan dengan begitu teratur dan baik.

Katanya, bagi BN, Linda Tsen adalah calon terbaik yang diyakini mampu memberi khidmat terbaik kepada pengundi di Batu Sapi.

“Saya juga berharap semuanya berjalan mengikut undang-undang, BN seperti mana sebelum ini patuh 100 peratus undang-undang pilihan raya,” katanya.

BN jangan pandang mudah – TPM

Oleh HERMAN HAMID,

SANDAKAN 26 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persaingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi tidak harus dilihat sebagai memudahkan laluan Barisan Nasional (BN) seperti yang dianggap sesetengah pemerhati politik.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya BN akan menyiapkan strategi untuk berhadapan calon dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sememangnya tidak boleh dipandang mudah.

“Saya tidak mengambil ini sebagai memudahkan, (saingan tiga penjuru) pecah undi dan macam-macam bacaan politik, pelbagai tafsiran, apa pun kita kena hadapi pembangkang.

“Kedua-dua parti, kita akan hadapi ikut caranya. Calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee orang tahu sapa dia, cerita dia semua orang tahu, Ansari Abdullah (calon PKR) pun siapa, semua tahu dan calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin pun orang tahu,” katanya pada sidang akhbar selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil tersebut di sini hari ini.

Mengenai Ansari yang dilaporkan telah bertanding sejak beberapa pilihan raya umum lalu tetapi tidak pernah menang, Muhyiddin berkata, beliau tidak mahu memperkecilkan Ketua Cabang PKR Tuaran itu.

Beliau sebaliknya menyerahkan kepada pengundi menilai pandangan sesetengah pihak bahawa PKR seperti tidak ada calon hingga terpaksa meletakkan Ansari yang sudah tidak laku tetapi dikitar semula untuk bertanding lagi.

“Pandangan ini (Ansari calon tak laku) bukan daripada saya, sesiapa sahaja kita tak akan pandang kecil biar apa pun kedudukannya dalam parti, itu soal kedua, bila sudah jadi calon kita akan hadapi,” ujarnya.

Tambah Muhyiddin, BN juga bersedia memberi jawapan kepada setiap isu yang dibangkitkan pembangkang baik isu di peringkat tempatan, negeri mahu pun nasional bagi memberi keyakinan rakyat kepada calon BN.

Selain itu, kata beliau, Batu Sapi dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Galas yang berlangsung serentak dianggap sama penting kepada BN dan akan dihadapi dengan strategi tersendiri berikutan perbezaan landskap politik dan geografi.

Ditanya sama ada keputusan dua pilihan raya ini akan memberi petunjuk kepada prestasi pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin berkata, ia adalah dua isu berbeza tetapi bagi BN, kedua-duanya penting.

“Dan momentum BN di Batu Sapi juga sangat baik, ribuan penyokong kita hadir di samping pemimpin setiap parti komponen BN juga bersama-sama beri sokongan. Dan ini menampakkan kesungguhan semua untuk melihat BN menang,” jelasnya

Monday, October 11, 2010

BN sedia menghadapi PR


by Abang Ismail. Posted on October 11, 2010, Monday

Persediaan termasuk menghadapi cara-cara kempen mereka yang berbeza dan lebih agresif, kata Stephen

BINTULU: Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya negeri akan datang, kata Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Dr Stephen Rundi Utom.

Beliau berkata, bukan sahaja PR menaruh harapan meletakkan calon masing-masing di kawasan yang telah ditentukan, bahkan BN juga telah bersedia untuk menghadapi PR Sarawak.

“Saya difahamkan PR gabungan parti pembangkang turut bersedia, namun sejauh mana kekuatan mereka bukan kita yang tentukan.

“BN juga telah siap sedia untuk menggerakkan jentera parti, mengadakan bengkel-bengkel untuk penaja-penaja parti, ejen undi dan ejen pengira undi semasa pilihan raya,”ujarnya ketika diminta mengulas tentang hasrat PR untuk meletakkan calon di semua kawasan di negeri ini dalam pilihan raya akan datang.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Info Bestari anjuran Komuniti Bestari Hulu Sebauh di Rumah Assan Among Semebak Hulu Sebauh 60 kilometer dari Bintulu petang kelmarin.

Dr Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kemena berkata, pihaknya juga telah bersedia untuk menghadapi cara-cara mereka (PR) berkempen iaitu berbeza dan lebih agresif walaupun pihaknya tidak biasa dengan cara dan keadaan sedemikian seperti yang berlaku semasa pilihan raya di Parlimen Sibu.

Bagaimanapun katanya, pihaknya telah menyediakan ahli-ahli dengan beberapa langkah iaitu pengetahuan, mendedahkan tentang undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di samping menyediakan penyokong-penyokong untuk menghadapi keadaan luar biasa itu.

“Kami telah melihat bagaimana keadaan pilihan raya kecil di Sibu dan dengan itu sedaya upaya untuk menyedarkan rakyat sama ada keputusan itu membawa kebaikan kepada mereka atau sebaliknya.

“Dan sama ada pembangkang telah dapat membuktikan mampu atau tidak menunaikan janji-janji manifesto yang kini belum dapat kita lihat,” katanya.

Katanya, dalam BN kestabilan dan keharmonian yang wujud adalah pegangan utama hasil daripada pemerintahan BN.

Justeru pihaknya menaruh harapan tinggi kepada rakyat agar terus menyokong BN bagi meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah dirancang lebih-lebih lagi Program Transformasi Ekonomi yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan di negara ini secara berperingkat-peringkat.

“Ada 131 projek dilaksanakan oleh kerajaan di negara ini dengan lebih 30 projek atau peratusan tingginya tertumpu di Sarawak.

“Kalau ia dilaksanakan ia akan mengubah keadaan ekonomi dan lanskap Sarawak, antaranya melibatkan perancangan pembangunan dan tanah di samping pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” tambahnya.

Menjawab soalan sama ada kehadiran pembangkang akan menjadi satu ancaman Rundi berkata: “Kehadiran pembangkang bukan satu ancaman sebaliknya ia adalah satu cabaran yang memerlukan kita bekerja lebih keras.”

Galas: Muhyiddin lega keputusan Ku Li

MELBOURNE 10 Okt. - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang menerima tawaran pelantikan sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Beliau berkata, kesediaan Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang untuk menerima tawaran itu adalah satu perkembangan yang cukup positif ke arah memastikan kejayaan BN pada pilihan raya kecil tersebut.

''Ini satu perkembangan yang kita tunggu-tunggu dan dengan keputusan itu serta kenyataan (Tengku Razaleigh) yang cukup positif setibanya di Kuala Lumpur semalam, saya yakin kita dapat bentuk satu pasukan yang boleh bekerja keras untuk memastikan kejayaan BN di Galas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Blok Wawasan di Rumah Malaysia Melbourne di sini malam ini.

Katanya, apabila Tengku Razaleigh setuju menerima jawatan itu dan bersedia bekerja sama maka beliau menganggap ia adalah sesuatu yang proaktif.

''Saya akan pulang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan beliau dan saya juga dimaklumkan Tengku Razaleigh akan bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak esok atau lusa. Bila ada perbincangan nanti, saya akan tahulah perkembangan seterusnya," katanya.

Bagi beliau, apa yang BN mahu ialah semua bekerjasama dalam satu pasukan.

''Kita boleh perkukuhkan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga ada pengalaman, timbalannya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin pun ada pengalaman dan saya sendiri ada tanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan. Kita akan bekerja rapat," katanya.

Semasa di Sydney baru-baru ini, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Tengku Razaleigh adalah calon paling layak bertanding pada pilihan raya kecil itu kerana kewibawaan beliau khususnya di Gua Musang dan nasional.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada Pas akibat barah paru-paru pada 27 September lalu.

Terdahulu, ketika ditanya tentang isi perbincangan ketika pertemuannya dengan wakil pelajar Australia secara tertutup semalam dan kelmarin, Muhyiddin berkata, beliau menekankan tentang peri pentingnya mereka menjadi sebahagian daripada tenaga kerja utama untuk mengisi keperluan negara.

''Saya sebutkan bidang-bidang yang diberikan tumpuan oleh kerjaan yang kita fokus dalam tempoh 10 tahun ini, ada juga saya sebutkan betapa mereka harus menjadi penyumbang kepada kemahiran kerana mereka dihantar ke luar negara untuk mengikuti bidang-bidang pengkhususan yang boleh dikatakan hampir kesemuanya adalah bidang-bidang yang amat diperlukan negara," katanya.

Disebabkan itu, beliau mengajak mereka melihat hal ini dalam konteks yang lebih luas, iaitu selepas selesai pengajian, mereka terus pulang ke tanah air.

''Kalau mereka tidak berbuat begitu, kita akan menghadapi masalah seperti mana yang kita hadapi sekarang secara berpanjangan," ujar Muhyiddin.

Ditanya kalau para pelajar di luar negara ini perlu dikenakan syarat akujanji supaya wajib pulang dan berkhidmat untuk negara, Muhyiddin berkata, perkara itu tidak perlu kerana sebagai pemegang biasiswa apa pun, mereka telah terikat dengan perjanjian, terma dan syarat tertentu. - utusan

BN mahu kemenangan besar

Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Barisan Nasional (BN) memerlukan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi membolehkan kerajaan meneruskan pelbagai program transformasi yang bertujuan menjadikan Malaysia negara kelas pertama pada abad ke-21.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat perlu menyokong program berkenaan kerana ia telah dirancang secara teliti dan mendalam sehingga ramai pemimpin dunia memuji Malaysia kerana mempunyai perancangan yang progresif dan futuristik.

‘‘Impian saya untuk Malaysia adalah untuk menjadikan ia sebagai negara bertaraf dunia pada abad ke-21 dan bukannya negara kelas kedua yang pencapaiannya tidak berapa baik.

‘‘Sebab itulah saya hendak sangat kemenangan. Ini bukan semata-mata untuk menang tapi kerana ia adalah satu-satunya cara bagi membolehkan kita mentransformasikan Malaysia menjadi antara negara terbaik di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-57 yang dihadiri 1,764 perwakilan di Wisma MCA di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan para pemimpin parti komponen BN.

Ini merupakan kali pertama Najib merasmikan perhimpunan itu sejak beliau menjadi Perdana Menteri.

Beliau tidak menghadiri perhimpunan itu tahun lalu berikutan krisis dalaman parti berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Najib memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk kakitangan kerajaan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman setelah siasatan menyeluruh selesai dilakukan.

Beliau berkata, siasatan itu perlu dibuat terlebih dahulu bagi menentukan kesahihannya berikutan terdapat sesetengah pihak yang cenderung menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memperbesarkan isu perkauman.

Menurut Perdana Menteri, beliau juga bersetuju dengan pandangan yang menyatakan kaum Cina di Malaysia tidak seharusnya disifatkan sebagai kaum pendatang.

“Ya, kamu (kaum Cina) datang ke sini pada satu ketika dahulu, tetapi itu adalah tiga, empat atau lima generasi dahulu.

“Kaum Cina sekarang adalah warganegara Malaysia yang taat setia kepada negara dan ini adalah pendirian saya,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau tidak dapat menerima sama sekali hujah beberapa pihak yang mendakwa gagasan 1Malaysia telah gagal berikutan masih ada individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Beliau berkata, semua pihak harus sedar bahawa beliau baru menjadi Perdana Menteri untuk tempoh setahun enam bulan sedangkan untuk mengubah sikap rakyat ia memerlukan masa yang lama.

‘‘Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengakui antara kegagalan beliau adalah untuk mengubah sikap rakyat walaupun setelah memegang jawatan ini selama 22 tahun. Oleh itu, semua pihak perlu realistik dan memberikan masa kepada saya,” ujarnya

Monday, October 4, 2010

Raja Petra ancam berhenti sokong pakatan pembangkang

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mengkritik secara terbuka pakatan pembangkang kerana masih gagal menunaikan beberapa janji walaupun menguasai beberapa negeri.

Serentak dengan itu, beliau mengancam untuk berhenti menyokong pakatan pembangkang jika segala janji yang dibuat pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008 tidak dipenuhi.

Beliau menyatakan pendirian itu pada satu sesi dialog bersama rakyat Malaysia di London yang turut disertai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dan disiarkan melalui portal berita propembangkang, Malaysian Insider hari ini.

Raja Petra yang tidak berpuas hati terhadap pencapaian pakatan pembangkang setelah dua tahun memerintah beberapa negeri, memberi kata dua kepada Anwar supaya segera menunaikan beberapa janji jika mahu membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.

Menjawab kenyataan Raja Petra itu, Anwar berkata, rakyat perlu memahami bahawa pembaharuan yang dilaksanakan pakatan pembangkang membantu pihaknya untuk berada di Putrajaya bagi melakukan semua pembaharuan yang dijanjikan itu.

Bagaimanapun, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari (gambar) percaya ancaman Raja Petra yang mahu menarik diri daripada menyokong pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas merupakan satu lagi sandiwara yang dirancang penulis blog itu bersama Penasihat PKR itu.

Beliau ketika dihubungi hari ini memberitahu, tindakan itu bagi mengalih perhatian rakyat terhadap krisis dalaman yang berlaku dalam pemilihan PKR yang sedang berlangsung di seluruh negara kini.

Kata Anuar, kenyataan yang dibuat penulis blog Malaysia Today itu bukan sesuatu yang mengejutkan atau perkara baru.

"Ia adalah kenyataan yang diulang semula, kali ini untuk mengalihkan perhatian semua terhadap isu dalaman PKR. Raja Petra selalu berkata demikian terutama apabila ada pilihan raya, jadi ia bukan perkara baru," katanya.

Anuar menambah, jelas sekali sandiwara terbaru Raja Petra itu menunjukkan bahawa selama ini dia sememangnya ditaja dan dibiayai oleh PKR.

"Jika benar Raja Petra mahu berhenti sokong Anwar ataupun pakatan pembangkang kerana gagal penuhi manifesto pilihan raya umum, dia sepatutnya sudah lama berbuat demikian.

"Kenapa dia masih tidak tinggalkan pakatan pembangkang sedangkan banyak perkara yang tidak ditunaikan mereka sebelum ini," katanya.

Malah Anuar berkata, Anwar sendiri tidak terkejut atau bimbang dengan ancaman Raja Petra itu kerana ia adalah sandiwara mereka b

Sunday, October 3, 2010

PKR Sarawak turut kecoh

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN

KUCHING 2 Okt. - Kekecohan dalam pemilihan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Semenanjung dan Sabah turut dirasai di negeri ini setelah timbul dakwaan ahli DAP turut mengundi dalam proses pengundian bahagian Sri Aman minggu lalu.

Dalam pemilihan itu, Jimmy Donald berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Pengerusi PKR cabang Sri Aman selepas memperolehi 84 undi dengan menewaskan pesaingnya, Ibi Uding yang mendapat 76 undi dan seorang lagi calon mendapat 10 undi.

Namun, kekecohan timbul setelah ahli jawatankuasa PKR mendakwa ada yang tidak kena dengan pemilihan itu setelah terdapat lapan pengundi dikesan mempunyai keahlian DAP dan turut serta dalam pemilihan tersebut.

Uding yang juga Ketua Wanita PKR negeri berkata, beliau mempertikaikan kebenaran mereka yang bukan ahli PKR untuk mengundi dalam pemilihan tersebut kerana ia boleh menjejaskan imej parti.

Menurutnya, lapan ahli DAP itu dipercayai mengundi untuk Jimmy dan dibawa oleh Leon Jinat Donald seorang ahli DAP Sri Aman dan juga anak kepada Jimmy.

"Saya mahu PKR pusat menyiasat perkara ini dan sekiranya terbukti benar, saya berharap satu pemilihan semula akan diadakan bagi menjaga imej parti sebagai sebuah parti contoh kepada masyarakat," katanya.

Uding yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi PKR cabang Sri Aman memberitahu, keputusannya untuk bertanding adalah atas galakan PKR pusat yang mahu melihat lebih ramai wanita memegang jawatan penting dalam parti.

Namun katanya, beliau tetap akan menerima keputusan PKR pusat sekiranya mereka tidak mahu mengadakan pemilihan semula.

Sementara itu, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan akan menyiasatnya.

Katanya, keputusan sama ada untuk mengadakan pemilihan semula atau sebaliknya bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa PKR pus