Oleh HERMAN HAMID,
SANDAKAN 26 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persaingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi tidak harus dilihat sebagai memudahkan laluan Barisan Nasional (BN) seperti yang dianggap sesetengah pemerhati politik.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya BN akan menyiapkan strategi untuk berhadapan calon dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sememangnya tidak boleh dipandang mudah.
“Saya tidak mengambil ini sebagai memudahkan, (saingan tiga penjuru) pecah undi dan macam-macam bacaan politik, pelbagai tafsiran, apa pun kita kena hadapi pembangkang.
“Kedua-dua parti, kita akan hadapi ikut caranya. Calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee orang tahu sapa dia, cerita dia semua orang tahu, Ansari Abdullah (calon PKR) pun siapa, semua tahu dan calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin pun orang tahu,” katanya pada sidang akhbar selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil tersebut di sini hari ini.
Mengenai Ansari yang dilaporkan telah bertanding sejak beberapa pilihan raya umum lalu tetapi tidak pernah menang, Muhyiddin berkata, beliau tidak mahu memperkecilkan Ketua Cabang PKR Tuaran itu.
Beliau sebaliknya menyerahkan kepada pengundi menilai pandangan sesetengah pihak bahawa PKR seperti tidak ada calon hingga terpaksa meletakkan Ansari yang sudah tidak laku tetapi dikitar semula untuk bertanding lagi.
“Pandangan ini (Ansari calon tak laku) bukan daripada saya, sesiapa sahaja kita tak akan pandang kecil biar apa pun kedudukannya dalam parti, itu soal kedua, bila sudah jadi calon kita akan hadapi,” ujarnya.
Tambah Muhyiddin, BN juga bersedia memberi jawapan kepada setiap isu yang dibangkitkan pembangkang baik isu di peringkat tempatan, negeri mahu pun nasional bagi memberi keyakinan rakyat kepada calon BN.
Selain itu, kata beliau, Batu Sapi dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Galas yang berlangsung serentak dianggap sama penting kepada BN dan akan dihadapi dengan strategi tersendiri berikutan perbezaan landskap politik dan geografi.
Ditanya sama ada keputusan dua pilihan raya ini akan memberi petunjuk kepada prestasi pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin berkata, ia adalah dua isu berbeza tetapi bagi BN, kedua-duanya penting.
“Dan momentum BN di Batu Sapi juga sangat baik, ribuan penyokong kita hadir di samping pemimpin setiap parti komponen BN juga bersama-sama beri sokongan. Dan ini menampakkan kesungguhan semua untuk melihat BN menang,” jelasnya
No comments:
Post a Comment