Wednesday, October 27, 2010

Pertandingan 3 penjuru antara BN, SAPP, PKR di Batu Sapi



Linda Tsen Thau Lin dijulang oleh ahli-ahli Pergerakan Puteri UMNO sebaik saja proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi selesai di Dewan Masyarakat Sandakan, Sabah, semalam.

SANDAKAN 26 Okt. – Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin, SAPP pula mencalonkan Presidennya, Datuk Yong Teck Lee manakala PKR mencalonkan Ketua Cabang PKR Tuaran, Ansari Abdullah.

Senarai calon berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Mohamad Hamsan Awang Supain yang juga Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan pada pukul 11.15 pagi.

Menurut Mohamad Hamsan, borang pencalonan ketiga-tiga calon itu diterima selepas tiada bantahan dibuat mana-mana pihak dalam tempoh bantahan selama sejam.

“Sebagai pegawai pengurus, saya bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa SPR telah menerima tiga pencalonan.

“Mereka telah mengemukakan kertas penamaan pada masa berikut, Ansari pada pukul 9.08 pagi, Teck Lee (9.09 pagi) dan Linda Tsen (9.12 pagi),” katanya.

Ansari mendahului calon lain apabila tiba di dewan berkenaan pada pukul 9.02 pagi, diikuti oleh Teck Lee pada 9.04 pagi dan seterusnya calon BN, Linda Tsen pada pukul 9.05 pagi.

Terdahulu, kira-kira 10,000 penyokong BN berkumpul di Padang Bandaran seawal pukul 7 bagi bagi mengiringi calon BN ke pusat penamaan.

Calon BN, Linda Tsen yang sampai pada pukul 7.30 pagi di Padang Bandaran disambut dengan sorakan oleh penyokong BN yang terdiri daripada pelbagai parti komponen.

Perarakan yang bermula pada pukul 8.45 pagi diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi, Datuk Seri Musa Aman; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Hadir sama, dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam pada itu, antara pemimpin pembangkang yang hadir di pusat penamaan calon termasuk Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub; Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw, dan Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong akibat kemalangan jalan raya 9 Oktober lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, mendiang menang dengan majoriti 3,708 undi menewaskan calon Bebas.

Parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pemilih termasuk 1,535 pengundi pos. Daripada jumlah itu 15,099 orang atau 59 peratus merupakan bumiputera Islam, 9,737 atau 38 peratus Cina, 689 atau 2.69 peratus bumiputera bukan Islam dan 57 orang etnik lain

Sementara itu, Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada SPR kerana berjaya mengendalikan proses penamaan calon hari ini yang berjalan dengan begitu teratur dan baik.

Katanya, bagi BN, Linda Tsen adalah calon terbaik yang diyakini mampu memberi khidmat terbaik kepada pengundi di Batu Sapi.

“Saya juga berharap semuanya berjalan mengikut undang-undang, BN seperti mana sebelum ini patuh 100 peratus undang-undang pilihan raya,” katanya.

No comments: