Monday, October 11, 2010

BN sedia menghadapi PR


by Abang Ismail. Posted on October 11, 2010, Monday

Persediaan termasuk menghadapi cara-cara kempen mereka yang berbeza dan lebih agresif, kata Stephen

BINTULU: Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya negeri akan datang, kata Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Dr Stephen Rundi Utom.

Beliau berkata, bukan sahaja PR menaruh harapan meletakkan calon masing-masing di kawasan yang telah ditentukan, bahkan BN juga telah bersedia untuk menghadapi PR Sarawak.

“Saya difahamkan PR gabungan parti pembangkang turut bersedia, namun sejauh mana kekuatan mereka bukan kita yang tentukan.

“BN juga telah siap sedia untuk menggerakkan jentera parti, mengadakan bengkel-bengkel untuk penaja-penaja parti, ejen undi dan ejen pengira undi semasa pilihan raya,”ujarnya ketika diminta mengulas tentang hasrat PR untuk meletakkan calon di semua kawasan di negeri ini dalam pilihan raya akan datang.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Info Bestari anjuran Komuniti Bestari Hulu Sebauh di Rumah Assan Among Semebak Hulu Sebauh 60 kilometer dari Bintulu petang kelmarin.

Dr Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kemena berkata, pihaknya juga telah bersedia untuk menghadapi cara-cara mereka (PR) berkempen iaitu berbeza dan lebih agresif walaupun pihaknya tidak biasa dengan cara dan keadaan sedemikian seperti yang berlaku semasa pilihan raya di Parlimen Sibu.

Bagaimanapun katanya, pihaknya telah menyediakan ahli-ahli dengan beberapa langkah iaitu pengetahuan, mendedahkan tentang undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di samping menyediakan penyokong-penyokong untuk menghadapi keadaan luar biasa itu.

“Kami telah melihat bagaimana keadaan pilihan raya kecil di Sibu dan dengan itu sedaya upaya untuk menyedarkan rakyat sama ada keputusan itu membawa kebaikan kepada mereka atau sebaliknya.

“Dan sama ada pembangkang telah dapat membuktikan mampu atau tidak menunaikan janji-janji manifesto yang kini belum dapat kita lihat,” katanya.

Katanya, dalam BN kestabilan dan keharmonian yang wujud adalah pegangan utama hasil daripada pemerintahan BN.

Justeru pihaknya menaruh harapan tinggi kepada rakyat agar terus menyokong BN bagi meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah dirancang lebih-lebih lagi Program Transformasi Ekonomi yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan di negara ini secara berperingkat-peringkat.

“Ada 131 projek dilaksanakan oleh kerajaan di negara ini dengan lebih 30 projek atau peratusan tingginya tertumpu di Sarawak.

“Kalau ia dilaksanakan ia akan mengubah keadaan ekonomi dan lanskap Sarawak, antaranya melibatkan perancangan pembangunan dan tanah di samping pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” tambahnya.

Menjawab soalan sama ada kehadiran pembangkang akan menjadi satu ancaman Rundi berkata: “Kehadiran pembangkang bukan satu ancaman sebaliknya ia adalah satu cabaran yang memerlukan kita bekerja lebih keras.”

No comments: