MELBOURNE 10 Okt. - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang menerima tawaran pelantikan sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Beliau berkata, kesediaan Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang untuk menerima tawaran itu adalah satu perkembangan yang cukup positif ke arah memastikan kejayaan BN pada pilihan raya kecil tersebut.
''Ini satu perkembangan yang kita tunggu-tunggu dan dengan keputusan itu serta kenyataan (Tengku Razaleigh) yang cukup positif setibanya di Kuala Lumpur semalam, saya yakin kita dapat bentuk satu pasukan yang boleh bekerja keras untuk memastikan kejayaan BN di Galas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Blok Wawasan di Rumah Malaysia Melbourne di sini malam ini.
Katanya, apabila Tengku Razaleigh setuju menerima jawatan itu dan bersedia bekerja sama maka beliau menganggap ia adalah sesuatu yang proaktif.
''Saya akan pulang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan beliau dan saya juga dimaklumkan Tengku Razaleigh akan bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak esok atau lusa. Bila ada perbincangan nanti, saya akan tahulah perkembangan seterusnya," katanya.
Bagi beliau, apa yang BN mahu ialah semua bekerjasama dalam satu pasukan.
''Kita boleh perkukuhkan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga ada pengalaman, timbalannya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin pun ada pengalaman dan saya sendiri ada tanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan. Kita akan bekerja rapat," katanya.
Semasa di Sydney baru-baru ini, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Tengku Razaleigh adalah calon paling layak bertanding pada pilihan raya kecil itu kerana kewibawaan beliau khususnya di Gua Musang dan nasional.
Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada Pas akibat barah paru-paru pada 27 September lalu.
Terdahulu, ketika ditanya tentang isi perbincangan ketika pertemuannya dengan wakil pelajar Australia secara tertutup semalam dan kelmarin, Muhyiddin berkata, beliau menekankan tentang peri pentingnya mereka menjadi sebahagian daripada tenaga kerja utama untuk mengisi keperluan negara.
''Saya sebutkan bidang-bidang yang diberikan tumpuan oleh kerjaan yang kita fokus dalam tempoh 10 tahun ini, ada juga saya sebutkan betapa mereka harus menjadi penyumbang kepada kemahiran kerana mereka dihantar ke luar negara untuk mengikuti bidang-bidang pengkhususan yang boleh dikatakan hampir kesemuanya adalah bidang-bidang yang amat diperlukan negara," katanya.
Disebabkan itu, beliau mengajak mereka melihat hal ini dalam konteks yang lebih luas, iaitu selepas selesai pengajian, mereka terus pulang ke tanah air.
''Kalau mereka tidak berbuat begitu, kita akan menghadapi masalah seperti mana yang kita hadapi sekarang secara berpanjangan," ujar Muhyiddin.
Ditanya kalau para pelajar di luar negara ini perlu dikenakan syarat akujanji supaya wajib pulang dan berkhidmat untuk negara, Muhyiddin berkata, perkara itu tidak perlu kerana sebagai pemegang biasiswa apa pun, mereka telah terikat dengan perjanjian, terma dan syarat tertentu. - utusan
No comments:
Post a Comment