Thursday, September 8, 2011

Kemudahan muat turun borang pendaftaran pemilih secara ‘online’ diyakini lebih berkesan

KUCHING: Kemudahan memuat turun borang pendaftaran pemilih atau Borang A menerusi laman web www.spr.gov.my diyakini tahap keberkesanannya terutamanya di kawasan pedalaman negeri ini.

Ini kerana, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak Datuk Takun Sunggah ia boleh dimuat turun oleh sesiapa sahaja sekali gus dapat menyelesaikan masalah kekurangan borang permohonan pemilih di pejabat Pilihan Raya Negeri.

“Ini bukan pendaftaran ‘online’ tetapi cuma borang permohonan yang boleh dimuat turun dan dicetak oleh individu sebelum diisi oleh seseorang pemohon.

“Borang yang sudah diisi boleh dihantar terus ke SPR atau Pejabat Pilihan Raya Negeri dengan atau menggunakan pos dan disertakan dengan salinan kad pengenalan pemohon,” katanya yang ditemui semalam.

Takun menambah, pemohon juga boleh menyimpan salinan borang permohonan yang telah dikemukakan.

Bagi memastikan keberkesanannya di pedalaman, beliau menjelaskan SPR telah melantik ramai Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) di kalangan ahli parti politik yang berperanan untuk mendaftar pemilih di kawasan berkenaan.

“PPP akan memuat turun borang berkenaan dan pergi di sekitar kawasan pedalaman untuk mendaftar pemilih dan mereka juga tidak perlu datang ke pejabat SPR untuk mendapatkan borang.

“Cara begini sekaligus dapat menyelesaikan masalah kekurangan borang permohonan sebagai pemilih,” katanya.

Kelmarin, SPR mengumumkan mulai Selasa akan menyediakan kemudahan memuat turun borang pendaftaran pemilih atau Borang A menerusi laman web www.spr.gov.my .

Setiausahanya, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata kemudahan tersebut adalah bertujuan menggalakkan lebih ramai arganegara Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas mendaftar sebagai pemilih.

Tatacara pengisian dan prosedur penghantaran Borang A ada dinyatakan dalam laman web SPR.

No comments: