KUCHING: Timbalan Setiausaha Agung II, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Francis Harden Hollis menyokong pencalonan Datuk Richard Riot sebagai presiden parti dengan syarat Timbalan Menteri Luar itu tidak ditentang calon lain.
Menurut beliau pertandingan merebut jawatan itu hanya akan menyebabkan parti berpecah sekali gus memburukkan lagi masalah dihadapi parti itu ketika ini.
“Maknanya, Riot menang tanpa bertanding. Beliau dicalon dan pemilihannya sebagai presiden dipersetujui oleh semua ahli parti.
“Jika Riot menyatakan kesanggupannya menjadi presiden dan ahli parti mahu beliau menjadi presiden SUPP yang seterusnya, beliau tidak seharusnya ditentang oleh calon lain,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Beliau menambah tidak salah kalau parti memberi peluang kepada Riot, yang merupakan Ahli Parlimen Serian memimpin parti sepenggal dua memandangkan SUPP adalah parti pelbagai bangsa sejak awal penubuhannya.
Perkara paling penting katanya presiden itu mendapat persetujuan parti dan boleh bekerjasama dengan semua pihak.
Harden yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan presiden parti Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan yang memberitahu parti tiada halangan jika penggantinya bukan kaum Cina serta kesanggupan Riot mengambil alih jawatan itu jika diberi peluang.
Menurut beliau amalan menang tanpa bertanding jawatan presiden bukan suatu yang baru bagi SUPP kerana ia telah dipraktikkan pada awal penubuhannya lagi bermula dari era kepimpinan Tan Sri Ong Kee Hui (1952-1982) hingga era Datuk Patinggi Tan Sri Datuk Amar Wong Soon Kai (1991-1996).
Beliau menambah pertandingan merebut jawatan presiden mula dipraktikan pada era kepimpinan Dr Chan apabila undi tidak percaya diperkenalkan pada awal pemerintahannya kerana ada kumpulan yang menentang perlantikannya.
Isu siapa presiden SUPP seterusnya timbul selepas Dr Chan yang memimpin parti itu bermula 1997 hingga sekarang gagal mempertahankan kerusi Piasau dalam pilihan raya negeri pada April tahun ini.
Ekoran kekalahannya di tangan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Ling Sie Kiong dengan majoriti 1,590 Dr Chan mengambil keputusan untuk bersara dan melepaskan semua jawatannya dalam parti serta kerajaan negeri.
Sementara itu, ramai menjangkakan perebutan sengit bakal berlaku antara pemimpin-pemimpin kanan bagi jawatan presiden bakal mendominasikan persidangan delegasi tritahunan (TDC) parti itu, Disember ini.
No comments:
Post a Comment