Thursday, September 8, 2011

Sokongan rakyat rebah, pas mengalah


Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Jelebu di Terminal Air Hitam, Jempol, kelmarin.


JEMPOL 7 Sept. — Sokongan rakyat yang semakin rebah terhadap Pas ekoran kelancangan mulut Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu, menyokong perjuangan komunis, menyebabkan parti itu terpaksa mengalah dalam isu perjuangan kemerdekaan negara ini, yang sebenarnya dilakukan UMNO.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sesiapa sahaja di Malaysia yang membayangkan sokongan terhadap komunis, tidak akan berjaya.

"Rakyat masih ingat gara-gara komunis di zaman darurat dahulu, ribuan telah maut, ada yang patah kaki, dan ada yang hilang upaya," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka beliau sempena Aidilfitri di sini, semalam.

Beliau berkata, keganasan komunis menimbulkan kesan yang amat buruk kepada negara, dan sesiapapun tidak sepatutnya cuba membangkitkan isu perjuangan mereka.

Ditanya sebab kerajaan membenarkan kisah perjuangan komunis disebarkan secara meluas di Internet, Rais berkata: "Negara kita bebas bersuara, tetapi jangan sampai pecah-belahkan masyarakat kerana kita ada undang-undang."

Beliau juga berkata, kerajaan sentiasa meneliti perkembangan sentimen komunis di Internet dan ketika ini, kebanyakannya diguna pakai lebih kepada kepentingan perjuangan politik pembangkang.

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas sidang akhbar Pas di Kuala Lumpur semalam yang menyatakan pendirian sebenar parti itu berhubung isu berkenaan, iaitu mereka menolak komunis dan mengakui kemerdekaan negara dibuat secara lebih damai melalui perjuangan UMNO.

Penjelasan itu dibuat berikutan bantahan masyarakat, terutama bekas pejuang dan tentera, yang secara lantang mengutuk Mohamad Sabu kerana mendakwa kemerdekaan negara ini diperjuangkan oleh komunis.

Mengenai sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 Sept depan, Rais berkata, satu majlis iaitu Merdeka Raya akan diadakan di Pulau Pinang, 11 September ini. — Bernama

No comments: