Monday, April 26, 2010

Bukti rakyat percaya PM – Perkasa

KUALA LUMPUR 25 April – Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor membuktikan rakyat menerima kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kemenangan itu juga sebagai petanda yang rakyat kini mahukan ketenangan dan kestabilan dalam berpolitik.

“Kemenangan ini jelas membuktikan yang rakyat menolak politik berunsurkan perkauman dan mereka juga mula menyedari kekeliruan dan propaganda Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokongnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal mempertahankan kerusi tersebut apabila calonnya, Datuk Zaid Ibrahim tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan yang memperolehi kelebihan majoriti sebanyak 1,725 undi.

Kamalanathan mendapat 24,997 undi, manakala Zaid mendapat 23,272 undi.

Dalam pada itu Ibrahim berkata, pilihan raya kali ini juga memperlihatkan penolakan kaum Cina terhadap kerajaan.

‘‘Walaupun kerajaan telah memberi layanan kepada mereka, balasan yang diterima masih tidak seberapa.

‘‘Mereka masih belum berterima kasih kepada kerajaan BN dan ini jelas membuktikan bahawa pengaruh MCA dan Gerakan terus ditolak oleh masyarakat Cina,” katanya.

Wednesday, April 21, 2010

TPM ulangi Anwar pengkhianat

HULU SELANGOR 20 April – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi ketegasannya dengan melabelkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat negara.

Beliau berkata, label itu adalah satu fakta kerana rakyat sendiri dapat melihat bagaimana Anwar begitu rakus dan taksub untuk memenuhi impiannya menjadi Perdana Menteri sehingga sanggup berusaha menjatuhkan sebuah kerajaan yang sah.

Katanya, selain sanggup memburukkan institusi-institusi yang telah wujud sejak negara mencapai kemerdekaan 52 tahun yang lalu, Anwar juga menjelajah dari benua ke benua untuk memburukkan negara sendiri tanpa rasa segan dan silu.

“Dia kata nak saman saya kerana label dia sebagai pengkhianat, saya tunggu juga tapi sampai sekarang pun tak dapat-dapat (saman).

“Saya tak takut dan sekali lagi saya mengulangi Anwar adalah seorang pengkhianat negara,” katanya semasa berceramah di Hulu Yam Bharu di sini malam ini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Raja Zainal Abidin; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas; calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan dan bekas Bendahari PKR Cabang Hulu Selangor, Datuk Dr. Halili Rahmat.

Pada majlis itu juga, Dr. Halili turut menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri mengajak rakyat supaya menilai kenapa semakin ramai pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutamanya di kalangan pengasas parti itu dan rakan karib Anwar keluar daripada parti tersebut.

Katanya, kebanyakan daripada bekas pemimpin PKR telah dan mengakui bahawa mereka sebenarnya hanya dipergunakan bagi mencapai cita-cita politik Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin turut membidas Anwar kerana bijak mengambil peluang dengan mengheret rakyat ke dalam masalah peribadi yang dihadapi apabila bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan mendakwa diliwat oleh beliau.

Kata Muhyiddin pada mulanya, Anwar mendakwa dia dizalimi dan membuat satu dakwaan baru bahawa rakyat turut menjadi mangsa kezaliman kerajaan.

“Apakah benar kita menzalimi rakyat? Kalau betul kerajaan yang ada sekarang zalim pada rakyat tidak mungkin sejak 52 tahun yang lalu BN tetap dipilih oleh rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Halili dalam nada sebak menceritakan bagaimana bapanya tidak mengetahui tindakannya untuk keluar parti.

Kata beliau, bapanya, Rahmat Buyong, 87, hanya mengetahui tindakan itu melalui media dan menghubunginya.

‘‘Kebiasaannya saya yang menghubungi dia tetapi kali ini dia telefon saya dan memuji tindakan kembali kepada UMNO selepas 10 tahun berada dalam PKR,” katanya.

Monday, April 12, 2010

Zaid pilihan PKR jika BN calonkan Palanivel

SHAH ALAM 11 April - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka meletakkan Datuk Zaid Ibrahim (gambar) sebagai calon mereka pada Pilihan Raya Kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor hanya jika Barisan Nasional (BN) menamakan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel sebagai calonnya.

Menurut sumber dalaman parti sekalipun Zaid dilihat calon pilihan PKR, parti itu mungkin menukar beliau kepada orang lain pada saat-saat akhir jika BN tidak mencalonkan Palanivel.

PKR menjangkakan pertandingan antara dua calon yang berkaliber sekiranya BN meletakkan Palanivel, kata sumber itu kepada Bernama di sini.

Beliau bagaimanapun tetap melihat Zaid sebagai calon terbaik bagi PKR untuk mempertahankan kerusi itu sekalipun pucuk pimpinan parti mempunyai percaturan lain jika ramalan Zaid dan Palanivel tidak menjadi kenyataan.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan Palanivel dengan majoriti 198 undi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil yang akan diadakan 25 April ini.

BN dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April, iaitu dua hari sebelum penamaan calon, dan desas-desus mengatakan Palanivel akan diberi peluang kedua untuk merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya sebanyak tiga penggal itu.

Add to Google

Saturday, April 10, 2010

Ahli Parlimen Sibu meninggal dunia

Justify Full
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau yang juga anggota parlimen bandar Sibu meninggal dunia di Hospital Selayang, hari ini akibat barah.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Kematiannya akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil - yang kesebelas selepas pilihan raya umum 2008.

Ia juga merupakan pilihan raya kecil kedua di Sarawak selepas DUN Batang Ai.

Pilihan raya kecil tersebut perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh berlaku kekosongan.


Pada pilihan raya umum 2008, Lau mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.

Sementara itu, Bernama memetik setiausaha sulitnya, Peter Hu sebagai berkata, Lau meninggal dunia pada jam 11.10 pagi dan persiapan sedang diadakan untuk membawa jenazah mendiang ke kampung halamannya di Sibu.

- MALAYSIAKINI

Wednesday, April 7, 2010

Anwar 'berhijrah' ke Sarawak?

Oleh HERMAN HAMID pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 April - Datuk S. Nallakarupan mendedahkan bekas rakan karibnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan besar merancang menuntut kemerdekaan Sarawak jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan cita-cita Anwar menjadi Perdana Menteri tercapai di samping isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan bergelar wanita pertama setelah lama mereka mengidamkan kedudukan tersebut.

Justeru beliau difahamkan yang usaha pertama Anwar jika rancangan itu berjaya adalah untuk memansuhkan undang-undang tertentu kerana Penasihat PKR itu diketahui sangat gusar dengan situasi politik semasa.

''Saya difahamkan Putar Alam Malaysia (Anwar) dikatakan sedang membuat persiapan untuk 'berhijrah' ke Sarawak menjelang Pilihan Raya DUN Sarawak,'' katanya di sini hari ini.

Nallakarupan yang pernah bersahabat dengan Anwar selama 30 tahun berkata, selain kedudukan sebagai Perdana Menteri, Anwar juga pasti melantik anak emasnya, Azmin Ali yang juga Naib Presiden PKR sebagai Timbalan Perdana Menteri jika rancangan berkenaan berjaya.

''Saya percaya ia akan dibuat beliau dan seterusnya membuktikan PKR ini parti 3A, Anwar, Azizah dan Azmin,'' jelasnya.

Kata Nallakarupan, Anwar tidak mampu untuk mengatasi kewibawaan Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun cuba melemparkan fitnah terhadap Perdana Menteri seperti yang didedahkan rakan-rakan beliau di Dewan Rakyat baru-baru ini.

''Saya juga tidak hairan jika Anwar cabut lari pada satu hari nanti. Semakin hari semakin ramai yang tahu pekungnya,'' tambahnya.

Tuesday, April 6, 2010

BN yakin peluang menang cerah di Hulu Selangor

TELUK INTAN 5 April - Barisan Nasional (BN) yakin peluang untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor adalah cerah berdasarkan sambutan yang diterima daripada para pengundi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perpaduan yang terjalin antara parti komponen BN juga menambah peluang parti itu untuk merampas kembali kerusi yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum lalu.

''Peluang untuk menang nampak cerah kerana ketika pilihan raya umum dulu, BN menghadapi pelbagai masalah tetapi sekarang ia telah dapat diselesaikan.

''Pengundi di kawasan berkenaan juga nampak sudah berpihak dan menyokong kembali BN," katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan menghafal al-Quran peringkat negeri Perak dan penganugerahan tauliah pegawai-pegawai masjid daerah Hilir Perak di sini hari ini.

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan berangkat menyampaikan hadiah dan penganugerahan tauliah tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerusi Parlimen Hulu Selangor perlu dikekalkan kepada MIC kerana ia merupakan kawasan tradisi parti yang mewakili kaum India tersebut.

Beliau menasihati semua pihak agar tidak mempertikaikan calon yang akan diumumkan oleh pucuk pimpinan parti.

Ahmad Zahid menegaskan, pembangkang wajar mencerminkan diri mereka terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan terhadap para pemimpin BN.

''Dakwaan bahawa BN tidak mengotakan janji yang dibuat ketika pilihan raya sebelum ini adalah tohmahan semata-mata," katanya.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan, keadaan itu berlaku kerana rakyat dapat membezakan kehidupan mereka sewaktu di bawah pentadbiran BN dan pakatan pembangkang.

Beliau berharap, jentera parti dapat bekerja lebih kuat memastikan calon yang diketengahkan menang, seterusnya memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Monday, April 5, 2010

PM: 1Malaysia difitnah kerana pembangkang sedar kebaikannya

KUALA LUMPUR 4 April - Gagasan 1Malaysia tidak sama sekali diciplak daripada konsep One Israel seperti digembar-gemburkan oleh pembangkang, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, dakwaan pembangkang itu adalah fitnah semata-mata yang bertujuan merosak dan mencemarkan gagasan itu apabila dilihat semakin diterima oleh rakyat.

"Mereka (pembangkang) tak berani serang gagasan 1Malaysia. Mereka tidak dapat mempertikaikan, mereka cuba untuk merosakkan, mencemarnya, mencalarnya melalui kononnya ilham atau idea yang datang dari negara luar.

"Ini satu fitnah yang tidak benar, tidak berasas sama sekali," katanya merujuk kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata demikian dalam temu bual eksklusif yang disiarkan Bernama TVmalam ini sempena ulang tahun pertama beliau memegang jawatan itu.

Wawancara khas bertajuk Setahun di Aras 5: Temu bual Khas Bersama Perdana Menteridikendalikan oleh Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Zulkefli Salleh dan Pengarang Ekonomi, Mikhail Raj Abdullah.

Mengulas lanjut, Najib berkata, idea gagasan 1Malaysia itu adalah cetusan percambahan fikiran beliau bersama beberapa kumpulan pemikir yang bertujuan mewujudkan wadah baru untuk memperkukuhkan perpaduan nasional.

"Saya bincang dengan beberapa teman saya sebab saya kata amat penting bagi kita untuk membuat suatu usaha baru ke arah perpaduan nasional ini sebagai penyatuan.

"Jadi saya selalu menjemput pelbagai kumpulan untuk mengadakan percambahan fikiran dan apabila saya menggariskan perkara ini, bila kita lakukan brainstorming, percambahan fikiran, timbullah idea gagasan 1Malaysia ini," katanya.

Jelas Perdana Menteri, kemuncak kepada penghayatan gagasan 1Malaysia adalah apabila ia membawa keuntungan strategik kepada rakyat dan negara.

Menurutnya, gagasan 1Malaysia meletakkan kepentingan rakyat di atas segala kepentingan lain dan mengutamakan keberkesanan serta keberhasilan sesuatu program yang dirancang.

Najib berkata, kefahaman rakyat terhadap gagasan 1Malaysia semakin meningkat apabila banyak badan korporat menggunakan 1Malaysia sebagai simbol dalam logo mereka.

"Sebutan Salam 1Malaysia umpamanya menjadi kelaziman sekarang dan ada juga perkahwinan 1Malaysia. Jadi saya lihat ia sudah menjadi satu gerakan massa," katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengakui masih terdapat beberapa halangan kepada kejayaan 1Malaysia yang dicetuskan oleh kumpulan yang memikirkan kepentingan kelompok atau kaum masing-masing tanpa usaha ke arah penyatuan.

"Kita sebagai seorang individu mungkin ada juga perasaan prejudis, rasis dan sebagainya seperti ada peristiwa gereja dibakar dan kepala khinzir dicampak dalam pekarangan masjid dan sebagainya.

"Maknanya ada juga kefahaman yang ekstrem dalam masyarakat kita. Sebab ada kefahaman ekstrem itulah, bererti bahawa kita perlu kepada Gagasan 1Malaysia," katanya.

Sunday, April 4, 2010

Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor: 25 April undi, 17 April penamaan calon


Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April.

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 17 April.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat selama dua jam di pejabatnya di Putrajaya.

Katanya, SPR menerima pemakluman kekosongan kerusi Hulu Selangor pada 29 Mac oleh speaker Dewan Rakyat.

Writ pilihan raya akan dikeluarkan hari ini - 2 April dan notisnya pula akan dikeluarkan tiga hari selepas itu.

SPR juga mengumumkan pelatinkan pegawai daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan sebagai pegawai pengurus pilihan raya dan tujuh orang pembantunya.

Abdul Aziz berkata, Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah mensyaratkan supaya kekosongan kerusi yang berlaku perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Katanya, Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi sementara pusat mengundi akan melibatkan 46 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai dengan 146 saluran mengundi.

Kawasan pilihan raya parlimen Hulu Selangor itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Katanya 32,380 pengundi terdiri daripada pengundi lelaki manakala 32,120 adalah wanita.

Daripada jumlah tersebut, Abdul Aziz berkata kaum Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus.

Mengenai undi pos, beliau berkata ia mungkin diadakan dua hari sebelum hari mengundi dan proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dilakukan di Pejabat Daerah Hulu Selangor.

Beliau juga berkata SPR akan menubuhkan enam pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) mengikut Seksyen 27B AKta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen dari hari penamaan calon sehingga tamat hari pengundian.

Kerusi Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Kematian Zainal Abidin dilihat ramai penganalisis memburukkan lagi keadaan di PKR yang baru-baru menghadapi masalah apabila tiga ahli parlimennya berpaling tadah manakala seorang lagi dipecat.

Bagaimanapun, kekosongan kerusi Hulu Selangor juga bukan berita gempira bagi Barisan Nasional yang menghadapi dilema untuk mencari calon yang sesuai.

Sejak kematian bekas timbalan menteri besar Selangor itu, Umno berusaha keras untuk melobi kerusi itu yang secara tradisinya diserahkan kepada sekutunya, MIC.

TPM umum calon BN Hulu Selangor

HULU SELANGOR 3 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau telah berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung calon parti komponen mana yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.

Pengerusi BN itu menjelaskan, keputusan mengenainya telah diketahui Muhyiddin yang diamanahkan untuk membuat pengumuman apabila tiba masanya.

"Saya dah buat keputusan supaya Timbalan Pengerusi BN akan umumkan perkara ini kerana saya akan berada di luar negara.

"Saya dah runding dengan Timbalan Pengerusi (BN) dan dia tahu apa keputusan, jadi bila sampai masanya kita akan umumkan keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan jentera Pilihan Raya Kecil BN Parlimen Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru di sini hari ini.

Ditanya mengenai cadangan supaya kerusi Parlimen Hulu Selangor digilirkan di kalangan parti komponen dengan UMNO meletakkan calonnya kali ini, Najib berkata, beliau akan menimbang segala-galanya dengan sebaik mungkin.

Katanya, beliau juga telah berunding dengan semua pihak berhubung pemilihan calon termasuk Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Mengenai peluang untuk merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor, beliau menegaskan, peluang semakin baik malah pada tradisinya kawasan itu adalah milik BN.

Cuma kata beliau, pada pilihan raya umum lalu sentimen rakyat yang sebelum ini setia kepada BN sedikit goyang dan faktor penyebab perkara itu perlu ditanya kepada pengundi.

Terdahulu semasa melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE), Perdana Menteri meminta pengundi di Hulu Selangor membuat kesimpulan dengan matang berhubung senario politik pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini bertelagah sesama sendiri.

Katanya, kemelut dalaman pembangkang yang berpanjangan telah merungkai satu demi satu pendedahan panas dan ia wajar menjadi penanda aras penilaian mengenai kemampuan mereka untuk mentadbir.

"Kalaulah orang yang rapat dengan kita satu demi satu dah hilang kepercayaan sehingga keluar parti, apa kesimpulannya? Kita bukan cakap pasal orang luar, ini orang rapat dengan kita. Apakah mesejnya, apa kesimpulannya?,'' tanya beliau.

Menyentuh mengenai rancangan penubuhan kerajaan 'pintu belakang' 16 September, Najib berkata, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menafikan bahawa baginda sudah menunggu di istana untuk majlis angkat sumpah Perdana Menteri keenam.

Menurut Najib, beliau sendiri bertanya mengenai rancangan 16 September dan Tuanku Mizan menafikan telah memberi perkenan, begitu juga dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Thursday, April 1, 2010

Tubuh jawatankuasa khas kaji beban tugas guru - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 31 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru sekolah di seluruh negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian itu mendapati ada asas bahawa guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan kepada tugas mengajar.

"Saya sudah arahkan jawatankuasa itu nanti mengenalpasti bagaimana masalah (bebanan tugas) itu boleh berlaku dan mencari penanda aras yang boleh kementerian guna pakai, sama ada dengan mengambil contoh piawaian antarabangsa atau dari negara jiran yang tahap pendidikannya lebih tinggi dari kita untuk dicontohi," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Kementerian Pelajaran dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Menurut beliau, jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan oleh Alimuddin dan keanggotaannya turut membabitkan beberapa pegawai pelajaran serta wakil NUTP diberi masa selama dua bulan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Ditanya mengenai beban tugas berlebihan yang terpaksa ditanggung oleh guru, Muhyiddin berkata, antaranya adalah menguruskan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain yang perlu dibuat mengikut keperluan semasa.

"NUTP turut membuat aduan yang guru terpaksa bekerja pada setiap Sabtu, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan, guru boleh bercuti pada hari Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan disebabkan guru terbabit terlibat dengan banyak aktiviti.

"Jadi, kita akan teliti masalah itu kerana kita tidak mahu tugas hakiki guru iaitu mendidik pelajar dengan tumpuan sepenuhnya terhadap kelas terganggu disebabkan bebanan tugas lain yang terpaksa dipikul," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, dasar baru kementerian yang menekankan aspek kokurikulum di sekolah turut mendapat maklum balas positif dari pihak NUTP yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

"Kementerian akan memastikan penekanan terhadap kokurikulum tidak akan sesekali membebankan guru. Sebab itu, kementerian menubuhkan jawatankuasa ini, tidak lain tidak bukan untuk mencari penyelesaian terbaik menyelesaikan bebanan guru,"katanya