Sunday, April 4, 2010

TPM umum calon BN Hulu Selangor

HULU SELANGOR 3 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau telah berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung calon parti komponen mana yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.

Pengerusi BN itu menjelaskan, keputusan mengenainya telah diketahui Muhyiddin yang diamanahkan untuk membuat pengumuman apabila tiba masanya.

"Saya dah buat keputusan supaya Timbalan Pengerusi BN akan umumkan perkara ini kerana saya akan berada di luar negara.

"Saya dah runding dengan Timbalan Pengerusi (BN) dan dia tahu apa keputusan, jadi bila sampai masanya kita akan umumkan keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan jentera Pilihan Raya Kecil BN Parlimen Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru di sini hari ini.

Ditanya mengenai cadangan supaya kerusi Parlimen Hulu Selangor digilirkan di kalangan parti komponen dengan UMNO meletakkan calonnya kali ini, Najib berkata, beliau akan menimbang segala-galanya dengan sebaik mungkin.

Katanya, beliau juga telah berunding dengan semua pihak berhubung pemilihan calon termasuk Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Mengenai peluang untuk merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor, beliau menegaskan, peluang semakin baik malah pada tradisinya kawasan itu adalah milik BN.

Cuma kata beliau, pada pilihan raya umum lalu sentimen rakyat yang sebelum ini setia kepada BN sedikit goyang dan faktor penyebab perkara itu perlu ditanya kepada pengundi.

Terdahulu semasa melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE), Perdana Menteri meminta pengundi di Hulu Selangor membuat kesimpulan dengan matang berhubung senario politik pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini bertelagah sesama sendiri.

Katanya, kemelut dalaman pembangkang yang berpanjangan telah merungkai satu demi satu pendedahan panas dan ia wajar menjadi penanda aras penilaian mengenai kemampuan mereka untuk mentadbir.

"Kalaulah orang yang rapat dengan kita satu demi satu dah hilang kepercayaan sehingga keluar parti, apa kesimpulannya? Kita bukan cakap pasal orang luar, ini orang rapat dengan kita. Apakah mesejnya, apa kesimpulannya?,'' tanya beliau.

Menyentuh mengenai rancangan penubuhan kerajaan 'pintu belakang' 16 September, Najib berkata, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menafikan bahawa baginda sudah menunggu di istana untuk majlis angkat sumpah Perdana Menteri keenam.

Menurut Najib, beliau sendiri bertanya mengenai rancangan 16 September dan Tuanku Mizan menafikan telah memberi perkenan, begitu juga dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

No comments: