Tuesday, April 6, 2010

BN yakin peluang menang cerah di Hulu Selangor

TELUK INTAN 5 April - Barisan Nasional (BN) yakin peluang untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor adalah cerah berdasarkan sambutan yang diterima daripada para pengundi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perpaduan yang terjalin antara parti komponen BN juga menambah peluang parti itu untuk merampas kembali kerusi yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum lalu.

''Peluang untuk menang nampak cerah kerana ketika pilihan raya umum dulu, BN menghadapi pelbagai masalah tetapi sekarang ia telah dapat diselesaikan.

''Pengundi di kawasan berkenaan juga nampak sudah berpihak dan menyokong kembali BN," katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan menghafal al-Quran peringkat negeri Perak dan penganugerahan tauliah pegawai-pegawai masjid daerah Hilir Perak di sini hari ini.

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan berangkat menyampaikan hadiah dan penganugerahan tauliah tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerusi Parlimen Hulu Selangor perlu dikekalkan kepada MIC kerana ia merupakan kawasan tradisi parti yang mewakili kaum India tersebut.

Beliau menasihati semua pihak agar tidak mempertikaikan calon yang akan diumumkan oleh pucuk pimpinan parti.

Ahmad Zahid menegaskan, pembangkang wajar mencerminkan diri mereka terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan terhadap para pemimpin BN.

''Dakwaan bahawa BN tidak mengotakan janji yang dibuat ketika pilihan raya sebelum ini adalah tohmahan semata-mata," katanya.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan, keadaan itu berlaku kerana rakyat dapat membezakan kehidupan mereka sewaktu di bawah pentadbiran BN dan pakatan pembangkang.

Beliau berharap, jentera parti dapat bekerja lebih kuat memastikan calon yang diketengahkan menang, seterusnya memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

No comments: