KUALA LUMPUR 25 April – Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor membuktikan rakyat menerima kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kemenangan itu juga sebagai petanda yang rakyat kini mahukan ketenangan dan kestabilan dalam berpolitik.
“Kemenangan ini jelas membuktikan yang rakyat menolak politik berunsurkan perkauman dan mereka juga mula menyedari kekeliruan dan propaganda Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokongnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal mempertahankan kerusi tersebut apabila calonnya, Datuk Zaid Ibrahim tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan yang memperolehi kelebihan majoriti sebanyak 1,725 undi.
Kamalanathan mendapat 24,997 undi, manakala Zaid mendapat 23,272 undi.
Dalam pada itu Ibrahim berkata, pilihan raya kali ini juga memperlihatkan penolakan kaum Cina terhadap kerajaan.
‘‘Walaupun kerajaan telah memberi layanan kepada mereka, balasan yang diterima masih tidak seberapa.
‘‘Mereka masih belum berterima kasih kepada kerajaan BN dan ini jelas membuktikan bahawa pengaruh MCA dan Gerakan terus ditolak oleh masyarakat Cina,” katanya.
No comments:
Post a Comment