Monday, December 7, 2009

Pemerhati bebas: Tun M tempelak Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditempelak kerana menuduh negara ini tidak mengamalkan sistem pilihan raya yang telus hingga memerlukan pemerhati bebas asing.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bekas timbalannya memang terlalu mengagungkan bangsa asing serta merendahkan kebolehan bangsa sendiri.

Beliau menegaskan, lebih dikesalkan, Anwar sanggup bersikap demikian walaupun menikmati pelbagai keistimewaan hasil komitmen kerajaan membangunkan modal insan tempatan.

''Dia (Anwar), kalau orang putih dia percayalah... Orang Melayu dia tak percaya,'' katanya dalam nada sinis kepada pemberita selepas merasmikan Hari AIDS Sedunia di kompleks beli-belah Wangsa Walk di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Anwar supaya Australia menghantar satu pasukan pemerhati bebas bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang mungkin diadakan antara tahun 2012 atau 2013.

Anwar ketika ditemu bual oleh akhbar tempatan Australia pada 3 Disember lalu mendakwa, pasukan pemerhati bebas itu penting kerana sistem pilihan raya negara ini masih memperlihatkan beberapa kekurangan yang tidak memihak kepada pakatan pembangkang.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, perlu ada suatu kajian mendalam sebelum kerajaan melaksanakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi mengelakkan ia menjadi beban kepada rakyat.

''Perjumpaan dan rundingan secara bersama dengan pihak terbabit (sektor korporat) juga perlu lebih mendalam.

''Ini penting kerana kita tidak mahu sebarang pembaharuan yang dilakukan nanti dipersoal. Malah, lebih penting mengelakkan ia daripada menjadi sesuatu yang tidak dapat ditanggung rakyat,'' katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu bagaimanapun memberi jaminan bahawa GST yang bakal diperkenalkan tahun depan tidak akan membebankan orang ramai kerana barangan keperluan harian terkecuali daripada cukai tersebut.

Terdahulu, semasa merasmikan Hari AIDS Sedunia, Dr. Mahathir menyeru semua pihak supaya memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat supaya menjauhi aktiviti kurang sihat yang boleh menyebab penularan HIV.

Katanya, di kebanyakan negara Afrika, HIV dan AIDS telah menjadi satu pandemik akibat kurangnya pendidikan mengenai bahaya penyakit tersebut.

''Negara ini walaupun HIV dan AIDS belum sampai ke peringkat itu (pandemik) tetapi jumlah pengidapnya meningkat saban hari.

''Kunci utama bagi menangani masalah ini ialah melalui pendidikan. Ini kerana AIDS kita boleh kenal pasti punca-punca tidak seperti pandemik yang lain,'' jelasnya.

No comments: