Tuesday, December 8, 2009

Kerjaan Tidak Mansuhkan AP Gula

KUALA LUMPUR: Pemansuhan permit import (AP) gula dan beras akan mengakibatkan harga barangan pengguna itu terdedah kepada spekulasi dan fenomena turun naik harga di pasaran antarabangsa, Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan, berkata sehubungan itu, kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan sistem pemberian AP bagi barangan keperluan berkenaan pada masa ini. "Bagaimanapun, kerajaan akan terus memantau dan bersedia mengkaji dasar dan pelaksanaan sistem sedia ada sekiranya ia mampu memberi lebih manfaat kepada rakyat untuk jangka masa panjang," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kassim (BN-Arau).

Sagan berkata kerajaan bertanggungjawab memastikan harga barangan pengguna seperti gula, beras dan tepung sentiasa berada pada paras yang munasabah dan tidak membebankan pengguna. "Sistem pengimportan barangan keperluan pada masa ini tidak boleh dilihat sebagai monopoli untuk menguntungkan pihak-pihak tertentu semata-mata kerana kerajaan mempunyai mekanisme untuk campur tangan jika terdapat unsur penindasan terhadap pengguna. "Polisi semasa sebenarnya bertujuan memastikan kerajaan mempunyai kawalan terhadap bekalan dan harga barangan berkenaan, selain menggalakkan aktiviti menapis gula mentah yang mempunyai nilai tambah," katanya.

Sagan berkata pada masa ini, AP untuk mengimport gula mentah hanya dikeluarkan kepada empat syarikat pengilang yang menjalankan aktiviti menapis gula mentah. "Bagi memastikan bekalan gula mentah dapat diperoleh dengan harga yang rendah, syarikat ini telah menandatangani Kontrak Jangka Panjang (LTC) daripada pembekal-pembekal gula mentah di luar negara," katanya. Beliau berkata pada masa ini, penggunaan kapasiti bagi syarikat terbabit adalah sekitar 60 hingga 65 peratus setahun daripada ketidak upayaan sebenar. Katanya, jika pengimportan dibuka, ia akan menjejaskan pencapaian kapasiti pengeluaran syarikat-syarikat tempatan.

"Harga gula di Malaysia adalah amat rendah jika dibandingkan dengan harga gula di negara-negara lain, khususnya jika dibandingkan dengan harga gula di negara jiran. "Sekiranya pengimportan gula tidak dikawal oleh kerajaan, adalah dikhuatiri bahawa pengimport tidak akan mengimport gula ketika harga tinggi di pasaran antarabangsa," katanya. Beliau berkata kekurangan dan ketidak tentuan bekalan gula di pasaran tempatan akan memberi masalah kepada sektor industri pemprosesan makanan, pengusaha restoran dan kedai makan serta membebankan rakyat sebagai pengguna akhir. - Bernama

Ia satu langkah yang bijak bagi mempastikan rakyat hidup dengan mendapat bekalan gula dan beras yang cukup untuk dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.

No comments: