PUTRAJAYA 13 Sept. - Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberi amaran ancaman siber di Malaysia semakin berbahaya sehingga kian menular ke pelbagai institusi dan mahu mengambil alih kuasa demokratik rakyat menerusi tindakan fizikal.
Tegas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu, ancaman dari luar dan dalam itu dikenal pasti bersekutu menerusi penulisan blog dan ilustrasi dengan menggunakan idea-idea progresif yang diceduk dari barat dan kerajaan sistem republik yang tidak mengamalkan tahap-tahap keistimewaan rakyat asal.
Beliau memberi contoh bagaimana kementeriannya mengesan antara 500 dan 540 rejaman atau tohmahan palsu setiap bulan menerusi blog, e-mel, Facebook dan Twitter terhadap institusi raja, nilai-nilai Islam, pencapaian orang Melayu serta dasar-dasar kerajaan termasuk gagasan 1Malaysia.
''Ini semua dirancang secara rapi malah dalam sistem mahkamah kita sekarang ada tanda-tanda awal mereka sedang cuba melemahkannya dengan berselindung di sebalik alam siber yang kononnya kebal.
''Ancaman siber ini sebenarnya lebih dahsyat dari komunis dan pengganas kerana ia boleh 'masuk' ke bilik tidur, kamar dan pemikiran generasi muda.
''Cuba anda fikir kalau setakat Tarian Pendet, orang nak 'rejam' Malaysia dan bakar Jalur Gemilang apa hal, ini bukan alasan sebaliknya ambil kesempatan dan tidak semestinya orang itu berbuat demikian tanpa disokong oleh pihak dalam alam siber di Malaysia," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa lalu bahawa kajian ke atas peruntukan undang-undang siber sedia ada telah siap dan ia akan membantu kerajaan menangani kegiatan tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang dalam Internet.
Menurut Perdana Menteri, kajian tersebut menumpukan kepada langkah-langkah untuk mengatasi kelemahan yang dikesan sekali gus memperkukuhkan undang-undang sedia ada.
Mengulas lanjut, Rais berkata, ancaman siber dikesan semakin menular semasa pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membuka ruang kerajaan kepada dasar keterbukaan.
''Dasar keterbukaan oleh Pak Lah telah diambil oleh mereka sebagai peluang keemasan sedangkan kita tidak boleh terbuka dalam tempoh yang singkat.
''Keterbukaan sepatutnya menjurus secara berperingkat-peringkat mengikut evolusi kemanusiaan namun banyak bidang yang dibuka begitu cepat (pada era itu) sehingga tidak dapat menangani naluri kasar pihak berkenaan. Malah disebabkan ini (ancaman siber), saya lihat ada pihak di kementerian saya sendiri yang kini teragak-agak untuk bertindak," katanya.
Justeru, kata Rais, pihaknya sedang mengatur program kemasyarakatan untuk membawa rakyat berfikir dan melindungi mereka dari perbuatan-perbuatan jenayah siber.
Demikian juga dengan para hakim, kementerian beliau dan Jabatan Perdana Menteri akan menganjurkan pertemuan supaya golongan itu memahami trend penularan ancaman siber tersebut.
''Dan Perdana Menteri akan mengumumkan langkah-langkah itu (kajian undang-undang siber) setelah kajian 1Malaysia siap dalam waktu terdekat," katanya.
Dalam hubungan ini juga, menurut Rais, pihaknya akan membentangkan Akta Perlindungan Data Peribadi di Parlimen hujung tahun ini untuk melindungi warganegara ini dari ancaman salah guna kuasa dan jenayah yang bertujuan jahat.
Demikian juga dengan Akta Tandatangan Komputer (Computer Signature Act) yang akan menjana pembuktian dari hal-hal yang direkodkan dari komputer dan cakera padat.
Undang-undang siber sedia ada di negara ini antaranya adalah Akta Komunikasi dan Multimedia, Undang-Undang Pembuktian Keterangan, Kanun Acara Jenayah, undang-undang berkait Kanun Keseksaan dan Undang-Undang Pos.
Renungan : Seharusnya pihak kerajaan mengawal kemunculan blog-blog yang cenderung kepada unsur-unsur menabur finah kepada negara. Tindakan tegas ini perlu konsisten dan berani bagi menghadapi ancaman siber ini.
No comments:
Post a Comment