KUALA TERENGGANU 11 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi pertimbangan yang sebaik-baiknya terhadap sebarang permintaan dan keperluan kakitangan kerajaan apabila beliau menjadi Perdana Menteri kelak.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau akan memenuhi segala permohonan mereka jika kerajaan mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.
Katanya, sebelum ini kerajaan telah memenuhi pelbagai permintaan golongan itu termasuk melanjutkan tempoh bayaran pinjaman sehingga 25 tahun agar belanja bulanan mereka dapat dikurangkan melalui pakej fiskal rangsangan ekonomi yang diumumkan baru-baru ini.
''Insya-Allah jika ada rezeki lagi tentu sekali pada masa akan datang, percayalah, kakitangan kerajaan akan mendapat pertimbangan sebaik-baiknya.
''Saya berazam untuk meneruskan kerja baik yang dibuat oleh Perdana Menteri sebelum ini termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memastikan Malaysia dilonjakkan dan menjadi kebanggaan dunia," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan dan makan tengah hari bersama kakitangan Kerajaan Persekutuan dan negeri di sini hari ini.
Pada majlis itu Najib turut membayangkan bahawa satu 'perkara baik' menanti kakitangan kerajaan bagaimanapun menurutnya, sekarang bukan masanya untuk membuat pengumuman.
Katanya, kakitangan kerajaan tidak perlu memilih laluan sukar untuk mendapatkan kemudahan yang mereka inginkan, sebaliknya hanya perlu memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang selama ini membolehkan segala impian rakyat menjadi realiti.
Menurutnya, di bawah kerajaan BN, rakyat Malaysia terutama kakitangan kerajaan boleh mencari rezeki dengan selamat dan mereka mempunyai peluang untuk mencapai impian mengikut potensi masing-masing.
Tegasnya, perkara itu mesti dipertahankan supaya dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
''Kita boleh buat dengan syarat pilihlah orang yang ada kemampuan. Ini adalah salah satu syarat untuk memastikan kesinambungan kesejahteraan rakyat.
Dalam hal ini katanya, rakyat serta kakitangan kerajaan di Kuala Terengganu mempunyai peluang untuk memilih laluan mudah bagi merealisasikan impian mereka dengan memilih calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada pilihan raya kecil Parlimen itu, 17 Januari ini.
''Sistem demokrasi memberi peluang kepada kita untuk membuat pilihan. Jika kena tempatnya, pilih kerajaan yang terbukti berkemampuan mentadbir, maka tiada masalah untuk kita terus maju.
''Jika hendak cari laluan yang mudah, maka pilihlah BN pada 17 haribulan ini," ujarnya.
No comments:
Post a Comment