Bedah siasat itu dilakukan selepas campur tangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang bertanggungjawab terhadap PPUM.
Bedah siasat yang bermula pada pukul 12 tengah hari itu memerlukan kira-kira 11 jam sebelum keputusan mengenainya dapat diketahui iaitu dijangka lewat malam ini.
Bedah siasat kali kedua dilakukan berikutan rasa tidak puas hati keluarga Kugan selepas keputusan yang pertama di Hospital Serdang 21 Januari lalu mendapati kematiannya akibat paru-paru berair.
Turut hadir di bilik patologi forensik hospital tersebut pada pukul 8.30 pagi ialah kira-kira 10 ahli keluarga Kugan serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah.
Murugiah ketika ditemui memberitahu, permohonan bedah siasat itu pada mulanya menghadapi masalah tetapi berjaya diselesaikan selepas mendapat sokongan Najib.
"Saya ada menghubungi Timbalan Perdana Menteri semalam untuk mendapatkan kebenaran selepas permohonan keluarga bagi menjalankan bedah siasat kedua tidak diluluskan.
"Saya akan serahkan gambar-gambar kecederaan Kugan kepada Timbalan Perdana Menteri untuk menjelaskan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik patologi forensik PPUM.
Menurut Murugiah, bedah siasat kali kedua itu dibuat di hospital yang berbeza bagi memenuhi permintaan keluarga Kugan.
Tambahnya, permohonan tersebut dibuat oleh keluarga mangsa secara terus kepada pihak pengurusan PPUM tanpa melibatkan pihak polis.
Kugan yang merupakan suspek kumpulan samun dan curi kereta mewah direman sejak 15 Januari lalu bagi membantu siasatan.
Dia bagaimanapun disahkan mati empat hari kemudian selepas muntah-muntah pada pukul 11.30 pagi di Hospital Serdang.
Dalam pada itu, Murugiah berharap semua pihak tidak memperbesar-besarkan isu menceroboh bilik mayat di Hospital Serdang pada 21 Januari lalu.
"Keluarga Kugan tidak memecahkan pintu bilik mayat tersebut sebaliknya mereka merayu untuk masuk setelah lapan jam menunggu," katanya.
Beliau menambah, tindakannya menyaman Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dianggap wajar kerana reputasinya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tercalar.
No comments:
Post a Comment