KUCHING 26 Jan. - Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam membayangkan hasratnya tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau pada pilihan raya negeri akan datang.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak mengesahkan perkara itu kepada media pada rumah terbuka SUPP di sini hari ini selepas perkara tersebut dinyatakannya dalam laporan eksklusif akhbar tempatan Cina baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurutnya, SUPP mengenal pasti beberapa pemimpin muda di peringkat akar umbi bagi menggantikan tempatnya sebagai calon di DUN Piasau pada pilihan raya negeri yang dijangka selewat-lewatnya tahun 2011.
"Memang benar saya telah cakap macam itu malah perkara tersebut telah saya katakan sebelum ini termasuk kepada pihak akhbar tempatan Cina.
"Mengundur diri itu tidak penting tetapi saya perlu sediakan pemimpin muda di peringkat akar umbi yang berpotensi," katanya.
Salah seorang calon yang dikenal pasti untuk menggantikan tempatnya adalah Datuk Bandaraya Miri yang baru dilantik, Lawrence Lai Yen Son.
Hong Nam, 73, pernah menjadi Anggota Parlimen Lambir pada 1982 sebelum menjadi ADUN Miri bermula 1983 dan 1987, kemudian sebagai ADUN Piasau (sebelum itu dikenali DUN-Miri) pada 1991, 1996, 2001 dan 2006.
Dalam pada itu, Hong Nam memberitahu, SUPP memberi tumpuan memperkukuhkan semula parti tersebut termasuk membimbing lebih banyak pemimpin muda dalam parti yang dapat bekerjasama rapat dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Katanya, generasi muda yang diberi peluang menjadi seorang pemimpin perlu menunjukkan mereka memang berkebolehan dan memperlihatkan kepada masyarakat bahawa mereka benar-benar layak untuk memegang sesuatu jawatan yang diberikan.
Tambahnya, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah berhubung pemimpin pelapis atau generasi muda di Miri dan terdapat dua atau tiga orang yang berkelayakan untuk menggantikannya.
"Pemimpin yang bagus adalah seorang yang boleh melakukan perkara lebih baik berbanding pemimpin sebelumnya malah sentiasa memikirkan bagaimana untuk terus meningkat maju," ujarnya.
Dalam pada itu, Hong Nam memberitahu, pelbagai pihak diminta tidak memperbesarkan isu peletakan jawatan Datuk Dr. Soon Choon Teck sebagai Timbalan Setiausaha Publisiti SUPP.
Menurutnya, beliau tidak mahu terganggu dengan perkara seumpama itu malah para anggota parti di seluruh negeri perlu kekal bersatu dan bekerja dalam satu pasukan.
"Selepas sambutan Tahun Baru Cina ini, SUPP akan menampilkan beberapa muka baru yang akan bergerak dalam satu pasukan untuk memperkukuhkan lagi BN di Sarawak," katanya.
Jumaat lepas, Dr. Choon Teck, yang juga Timbalan Menteri Perumahan Sarawak, telah mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Timbalan Setiausaha Publisiti SUPP yang dipegangnya sejak 1991.
1 comment:
situasi sekarang adalah sesuatu yang diluar dugaan untuk pemimpin tertinggi parti membuat penyataan untuk berundur tetapi keputusan harus dihormati semua pihak......
Post a Comment