Wednesday, December 4, 2013

Pemindahan di MURUN Berjaya

KUCHING: Pemindahan dua kampung terakhir yang terjejas akibat Projek Hidro Elektrik (HEP) Murum iaitu Long Luar dan Long Singu ke Tapak Penempatan Semula Metalun telah dilaksanakan dengan jayanya.
Menurut kenyataan akhbar dari Sarawak Energy Berhad (SEB), secara rasmi kawasan itu menempatkan 353 isi rumah sejak pemindahan dimulakan pada September 2013.

Fasa terakhir penempatan semula sejak 30 November menyaksikan dua kampung pertama dipindahkan iaitu Kampung Long Tangau (31 isi rumah) dan Long Menapa (42 isi rumah) ke Tapak Penempatan Semula Metalun.Sementara bagi Long Luar seramai 52 isi rumah dan Long Singu (67 isi rumah) yang terdiri daripada 119 buah keluarga dipindahkan masing-masing pada jam 4 petang dan 6.30 petang, 2 Disember.

Antara faedah ekonomi dan bantuan yang diberikan kepada setiap keluarga ialah tanah seluas 15 hektar termasuk seunit kediaman bagi rumah panjang berkeluasan 1,300 kaki persegi, air bersih, bekalan air bersih, bekalan elektrik yang stabil, akses pendidikan serta perkhidmatan pendidikan, dewan masyarakat dengan gereja selain tadika dan bantuan sokongan pendapatan sementara bernilai RM850 sebulan.
Ketua rumah panjang, Madai Salu dari Long Luar dan Paren Usak (Long Singu) adalah antara yang pertama menerima kunci rumah bagi kediaman baharu mereka.

Bercakap di penempatan baharu di Metalun, Lai Lait dari Long Luar berkata: “Kami diberi sebuah rumah baharu dan diperuntukkan elaun apabila berpindah masuk. Pada penghujung tahun ini, kami akan mempunyai klinik dan sekolah, kami berharap perkembangan ini akan membawa kejayaan dalam kehidupan.”
Lagu Karang, dari Long Singu, ibu kepada dua anak pula berkata: “Sebab kami berpindah adalah kerana kita telah dijanjikan sebuah sekolah dan klinik dan itulah yang saya harapkan.“Dari dahulu sehingga generasi ibu bapa saya, kami tidak menerima apa-apa pendidikan. Saya mahu anak-anak saya menerima pendidikan yang mencukupi.”
Mengulas mengenai pelaksanaan penempatan semula itu, Pegawai Daerah Belaga Abdul Halim Abdullah berkata: “Pelaksanaan penempatan semula terakhir pada 2 Disember melibatkan bilangan keluarga terbesar dipindahkan.“Pelaksanaan penempatan semula berjalan lancar kerana sokongan diberikan kerajaan negeri, Kementerian Pertanian, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Jabatan Tanah dan Survei, polis, Jabatan Pendidikan, Pejabat Daerah, Majlis Daerah,  Jabatan Penerangan dan sudah tentunya SEB.“Kami menghargai usaha mereka dalam pelaksanaan penempatan dan memastikan masyarakat dijaga dengan baik.”

Sementara itu, Pengurus Kanan  II (CSR) SEB Jiwari Abdullah berkata: “Sepanjang hampir tiga bulan, kita telah berdepan pelbagai cabaran seperti sekatan Murum dan usaha tidak henti-henti daripada penentang pembangunan untuk menggagalkan pelaksanaan penempatan semula ini.“Amat melegakan apabila mengetahui bahawa semua cabaran akhirnya diselesaikan melalui dialog terbuka dan penempatan semula terakhir semalam (2 Disember), bukti kepada komitmen kami dalam menyokong masyarakat ke arah pembangunan lebih baik esok.Masyarakat adalah golongan penting dalam membawa pembangunan dan ia adalah tanggungjawab kami bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.
“Matlamat kami adalah untuk memberi bantuan berterusan dan memastikan masyarakat boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu mereka.
“Inisiatif seperti Program ‘Home Green’ dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan SEB serta Program Literasi Penan Murum dan beberapa pembangunan masyarakat akan terus dilaksanakan.
“Semua ini bertujuan membantu merealisasikan aspirasi rakyat peribumi untuk akses sama rata bagi pembangunan,” tambah Jiwari.


Sumber : http://www.theborneopost.com

No comments: