Thursday, July 14, 2011

Anwar pengkhianat negara

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED

KUALA LUMPUR 13 Julai - Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai seorang pengkhianat negara yang perlu dikenakan tindakan tegas.

Ini ekoran kenyataannya kepada media Indonesia bahawa Malaysia sudah mendekati revolusi selepas perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), pada Sabtu lalu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kenyataan Anwar itu terang-terangan menunjukkan Ketua Pembangkang tersebut ingin melihat negara ini mengalami kehancuran dan huru-hara.

"Mengapa dia perlu berkata begitu (revolusi) sedangkan dia sendiri yang mengadakan perhimpunan haram Bersih. Ini jelas bahawa dia seorang pengkhianat negara.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan sepatutnya tidak teragak-agak lagi untuk mengambil tindakan tegas terhadap beliau yang ingin melihat negara ini huru-hara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor memberitahu, kaedah yang digunakan pihak tersebut dalam mewujudkan kekecohan merupakan pendekatan yang ditinggalkan komunis.

Menurutnya, sejak 1960-an, perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan merupakan pendekatan yang diguna pakai oleh pihak komunis dan pengikutnya untuk menentang kerajaan.

"Dua pendekatan itu adalah Agitasi (agitation) propaganda dan Agitasi politik. Kedua-dua pendekatan ini juga digunakan oleh puak di Malaysia yang mahu jatuhkan kerajaan.

"Saya tidak mahu menyebut siapa yang menggunakan pendekatan ini, tetapi saya yakin individu itu pasti akan tahu siapa dirinya yang telah melakukan pengkhianatan terhadap negara," tegasnya.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Samsuri Arshad menganggap kenyataan Anwar sebagai satu mimpi yang hanya dirasai oleh beliau yang ingin menjadi pemimpin nombor satu di negara ini.

"Kenyataan itu adalah jalan pintas Anwar untuk mencapai cita-citanya tetapi rakyat Malaysia tidak bodoh untuk menghancurkan keamanan yang ada ketika ini.

"Sejak selepas merdeka, Malaysia melalui keamanan secara berterusan sehingga hari ini dan sistem pilihan raya yang ada untuk rakyat memilih kerajaan juga berjalan mengikut jadual," katanya yang juga Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia.

Bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman pada tahun 1993, Datuk Zulkifli Abdul Rahman pula memberitahu, Anwar perlu dikenakan tindakan bagi menghentikan perbuatannya itu yang melampau.

"Pihak kerajaan juga perlu membuat kenyataan balas secepat mungkin dan memberitahu keadaan sebenar dalam negara. Beritahu bahawa negara kita masih aman dan damai serta kita tidak perlukan individu yang sering memburukkan Malaysia di mata negara lain," ujarnya.

1 comment:

Unknown said...

Salam hormat dan salam 1 Malaysia..
Harap dapat dilink blog hamba disini..Terima Kasih..

http://klboyzwangsa.blogspot.com