Tuesday, March 22, 2011

Satu perempat muka baru: PBB


KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menurunkan sekurang-kurangnya satu perempat calon muka baru daripada 35 orang calonnya yang akan bertanding pada pilihan raya negeri ke-10 ini.

Presidennya, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud turut melahirkan keyakinan bahawa parti di bawah naungannya ini mempunyai peluang yang besar dalam pilihan raya kali ini dengan adanya muka-muka baru itu.

Bagaimanapun katanya, senarai nama calon hanya akan dikeluarkan sebelum hari penamaan calon, selepas dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Dewan sudah dibubarkan namun kita tidak akan mengeluarkan senarai calon dahulu kerana telah menjadi amalan kita…tidak mahu mengumumkan sebelum semua perkara dipersetujui oleh Perdana Menteri selaku pengerusi BN negara.

“Senarai calon akan dikeluarkan sebelum hari penamaan calon dan mereka yang akan menjadi calon akan tahu perkara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian Seminar Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Sarawak Tahun 2011 bertempat di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Sebelum ini, Taib yang juga Ketua Menteri dan Pengerusi BN Negeri telah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa 21 Mac 2011.

Pengumuman tersebut secara langsung menamatkan spekulasi semua pihak berhubung tarikh pembubaran DUN dan membayangkan pilihan raya negeri akan berlangsung dalam tempoh terdekat ini.

Pada pilihan raya negeri 2006 yang lalu BN yang diwakili oleh PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menang 62 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

No comments: