Tuesday, March 22, 2011

PRS tampilkan muka baru di Ngemah, Pelagus


Masing membayangkan untuk kekalkan kesemua tujuh penyandang bagi mempertahankan kerusi

PERTAHAN PENDIRIAN: Masing ketika ditemubual wartawan bagi mendapatkan kepastian mengenai calon-calon PRS.

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Masing semalam membayangkan penyandang-penyandang bagi tujuh kerusi yang diperuntukkan kepada parti dikekalkan dan akan menampilkan dua muka baru untuk merebut kembali kerusi Pelagus dan Ngemah.

“Kita sudah mempunyai senarai nama tetapi ia terpulang kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) peringkat negeri dan pusat.

“Apabila masanya tiba, kita pasti akan beritahu anda … tunggu sahaja canang (pilihan raya) dibunyikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi hotel selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Ahli Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Sarawak 2011 @ Dewan Colloseum

Ketika ditanya sama ada parti ada memohon kerusi tambahan, Dr Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah memberitahu sembilan kerusi yang diperuntukkan sudah memadai.

“Kita mahu ia kekal sedemikian dan tidak ada sesiapa dibenarkan mengambilnya kerana apa yang milik saya, tetap milik saya dan yang milik orang lain, saya tidak akan mengambilnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkeyakinan tinggi bahawa PRS mampu menang di kesemua kerusi milik parti itu termasuk Ngemah dan Pelagus.

“Kita akan menang di Pelagus malah di kesemua sembilan kerusi itu asalkan setiap orang saling bantu-membantu dan jangan menikam dari belakang seperti pilihan raya negeri 2006,” katanya

Terdahulu, Masing pernah mengatakan wujud ‘musuh dalam selimut’ dalam perikatan Barisan Nasional merupakan punca PRS tewas di Ngemah dalam pilihan raya negeri 2006.

Dalam pilihan raya 2006, seorang calon bebas ketika itu Gabriel Adit yang kini merupakan Ketua Parti Cinta Malaysia (PCM), menewaskan calon BN Alexander Vincent dari PRS dan Richard Lias dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Sebelum pilihan raya, Ngemah sudah menjadi kubu kuat Adit dan beliau ingin terus menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi penggal keempat.

Dalam 8,000 pengundi kerusi Ngemah, Adit berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis, 549 undi.

Manakala bagi kerusi Pelagus, Larry Sng yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri memenangi kerusi di bawah tiket PRS pada pilihan raya 2001 dan 2006.

Bagaimanapun beliau dipecat pada 2007 berikutan krisis kepimpinan dalam parti itu pada tahun berkenaan.

Namun Larry tetap menjalankan tanggungjawabnya di kawasan berkenaan sebagai wakil rakyat BN walaupun tanpa parti.

No comments: