Tuesday, February 15, 2011

Sng ‘disimpan’ kerana masih sangat berguna: Taib


KUCHING: Permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Larry Sng untuk menyertai Barisan Nasional (BN) secara terus yang ditolak baru-baru ini tidak bermakna peluangnya akan tertutup buat selama-lamanya.

Sambil membayangkan khidmat Sng masih diperlukan, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata konsep keanggotaan terus itu masih baru dan masih terdapat segelintir individu dalam BN masih teragak-agak untuk menerimanya.

“Konsep itu masih belum difahami sepenuhnya oleh sesetengah parti.

“Jadi individu yang mempunyai sejarah (tidak baik) mungkin akan menghadapi kesukaran untuk memohon… tidak mengapa, saya masih ‘menyimpan’ beliau.

“Saya ‘menyimpannya’ kerana beliau sangat berguna, berusaha gigih dan tahap kesetiaannya kepada BN tidak dapat dipersoalkan.

“Beliau hanya ingin menunjukkan kesetiaannya kepada BN dan saya amat menghargainya,” katanya.

Beliau kepada demikian kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Majlis Bandaraya Kuching Selatan di Dewan Masyarakat Padungan, di sini semalam.

Sng mungkin berpeluang untuk menjadi ahli BN semula sekiranya beliau memohon lagi pada masa hadapan.

Menurut laporan TheSundayPost semalam, Sng telah memohon untuk menjadi anggota terus BN namun permohonannya ditolak oleh Jawatankuasa Pengurusan BN dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi BN.

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Kuala Lumpur Jumaat lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri oleh semua parti komponen BN.

Sng bertanding atas tiket PRS pada pilihan raya negeri pada Mei 2006 tetapi disingkirkan pada 2007 berikutan krisis dalaman kepimpinan yang menyaksikan parti itu berpecah kepada dua dengan beliau mengetuai kumpulan lawan.

Dalam perkembangan lain, Taib memberitahu bahawa Konvensyen BN Negeri pada 5 Mac ini sebagai salah satu persediaan untuk pilihan raya negeri ke-10 akan datang.

Menurutnya, konvensyen selama sehari dan disasar untuk dihadiri 5,000 orang itu akan juga menggariskan masa depan BN Negeri berdasarkan maklum balas daripada pemimpin di peringkat akar umbi.

Ketika diminta mengulas mengenai ilhamnya untuk tarikh pilihan raya, beliau berkata: “Butiran-butirannya masih dirahsiakan.”

sumber : http://www.theborneopost.com/?p=93295

No comments: