Monday, February 28, 2011

Isu NCR diperbesarkan: KM


Ia peratusan kecil yang digambarkan pembangkang seolah-olah babitkan semua rakyat

MESRA: Taib, Ragad, Mawan dan pemimpin SPDP bersalaman dengan para perwakilan dan penyokong pada Perhimpunan Agung Tahunan SPDP Ke-8 di Dewan Suarah Bintulu semalam.

BINTULU: Isu berkaitan hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) cuma membabitkan antara dua dan tiga peratus penduduk Sarawak tetapi diperbesarkan pembangkang seolaholah keseluruhan rakyat negeri ini berhadapan masalah sama.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tindakan pembangkang melaga-lagakan kelompok kecil ini dengan kerajaan dikhuatiri menjejaskan peluang kirakira 97 peratus pemilik tanah NCR menikmati faedah pembangunan tanah.

Menurut beliau, mereka yang ingin memajukan tanah NCR sebagai ladang kelapa sawit diberi pilihan untuk menjalinkan usaha sama dengan Lembaga Pembangunan dan Perlindungan Tanah Sarawak (PELITA), Felda atau Felcra – menerusi konsep ladang Bumiputera.

Katanya, tanah terbiar disebabkan kesukaran untuk dibangunkan kerana kekurangan modal dan pengetahuan pertanian dapat diatasi dengan konsep usaha sama pemilik NCR dan organisasi tertentu.

Justeru, usaha pembangkang yang sengaja mengapiapikan rakyat agar menentang kerajaan disifatkan beliau sebagai membawa kepada kemunduran terhadap negeri ini.

“Ini menunjukkan pembangkang tidak serius membawa pembangunan kepada penduduk di luar bandar.

“Mereka cuba mencipta isu dan melaga-lagakan rakyat serta membantah kerajaan.

“Dengan cara demikian mereka (pembangkang) tidak membantu penduduk di luar bandar menyelesaikan masalah sebaliknya membawa golongan Bumiputera mundur 20 tahun ke belakang,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di sini, semalam.

Hadir sama, isterinya Puan Sri Ragad Waleed Alkurdi, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Presiden SPDP Dato Sri William Mawan Ikom, Speaker Dewan Undangan Negeri Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar dan para pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lain.

Taib berkata, jika tanah NCR tidak dibangunkan secara komersial ia tidak memberi manfaat dan sekali gus tidak menyumbang terhadap usaha meningkatkan pendapatan rakyat.

“Kalau demikian, Bumiputera di Sarawak hanya kaya tanah tetapi miskin pendapatan. Saya tidak izinkan keadaan ini berlaku,” katanya.

Justeru, beliau berkata kerajaan merangka formula baru pembangunan tanah agar situasi demikian tidak berlaku dan seterusnya menyebabkan semakin ramai Bumiputera berada di bawah paras kemiskinan.

Katanya, jika masalah tanah tidak dibangunkan berterusan, semakin ramai belia akan berhijrah ke bandar apabila kawasan luar bandar tidak mampu memberi peluang pekerjaan.

Menurut beliau, bermula 1981 dan tiga tahun seterusnya, berlaku penurunan daripada jumlah pertumbuhan sektor pertanian.

Penurunan itu wujud apabila infrastruktur seperti jalan raya tidak ada bagi memasarkan produk pertanian serta para petani masih menggunakan cara tradisional mengerjakan tanah.

“Ini menunjukkan soal tanah dan pertanian tidak dapat diatasi melainkan dengan mencari formula bagi mengatasi masalah rakyat,” katanya.

Katanya, hasil formula baru pembangunan tanah NCR itu, Sarawak kini memiliki kira-kira sejuta hektar tanah dibangunkan dengan kelapa sawit.

“Jika tanah tidak dimanfaatkan sebaik mungkin ia merupakan penyebab kemiskinan di kalangan Bumiputera di luar bandar.

“Jika digunakan sebaik mungkin Bumiputera sekarang dapat keluar dari garis kemiskinan,” katanya.

by Saibi Gi.

No comments: