Wednesday, January 5, 2011

Pilihan raya Sarawak kini semakin hampir

PUTRAJAYA 4 Jan. - Bahang pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kian mencapai kemuncaknya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menyenaraikan keperluan dan data logistik untuk mengendalikan pilihan negeri itu sebelum Julai ini.

Dengan peruntukan bajet RM45 juta yang dipohon daripada Kementerian Kewangan, Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, SPR akan membuka sejumlah 1,716 pusat mengundi di seluruh Sarawak dengan sebahagian besar melibatkan sekolah.

Pada masa sama, sebanyak 71 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi akan dibuka selain 20 pusat pengiraan undi berkelompok melibatkan pengundian kawasan-kawasan terpencil dan pedalaman.

"Sejumlah 14,929 petugas pilihan raya pelbagai kategori dilantik dengan kita juga mengenal pasti 71 orang pegawai pengurus dan 172 orang penolong pegawai pengurus.

"Jumlah pengundi di seluruh Sarawak sehingga suku ketiga 2010 adalah seramai 970,437 orang dan Insya-Allah, jika sebelum Julai ini angkanya mungkin menggunakan daftar suku keempat tahun lepas.

"SPR kini telah bersedia sepenuhnya kerana kita tidak mahu 'terperangkap' (kelam-kabut) apabila diumumkan tarikh pilihan raya nanti," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Ditanya kemungkinan besar pilihan raya negeri itu akan diadakan pada musim cuti sekolah Mac ini memandangkan keperluan bilik-bilik darjah untuk pusat mengundi, Abd. Aziz berkata:

"Kita juga boleh adakan semasa bukan musim cuti sekolah."

Menurutnya, ketika ini beliau telah mengarahkan Pengarah SPR Sarawak membuat semakan keperluan peralatan termasuk helikopter dan perahu untuk menghadapi pilihan raya tersebut.

"Apa pun kita ada masa enam bulan lagi sebelum menghampiri Julai ini," katanya.

Bahang pilihan raya Sarawak kian terasa apabila Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika pulang dari Mekah 24 November tahun lalu memberitahu dirinya sudah mendapat 'inspirasi' mengenai tarikh pilihan raya berkenaan.

Pilihan raya negeri Sarawak perlu diadakan sebelum Julai tahun depan dan ramai pemerhati politik meramalkan ia akan diadakan sama ada pada Mac atau April.

Sarawak mempunyai 71 kerusi DUN, 62 daripadanya dikuasai oleh Barisan Nasional.

Pada pilihan raya 20 Mei 2006 itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memiliki 34 kerusi DUN diikuti oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebanyak 11 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebanyak sembilan kerusi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebanyak lapan kerusi.

No comments: