Persoalan itu mula berlegar selepas perkembangan terbaru pada 24 Disember lalu dan hari ini apabila berlaku pertemuan enam mata antara pemimpin tertinggi Pas hari ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali mengadakan pertemuan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10 di sini.
Biarpun dinafikan tetapi pertemuan itu menimbulkan tanda tanya kerana desas-desus mengenai kerjasama dengan kerajaan sedang rancak diperkatakan oleh laman blog serta portal berita di Internet.
Jika rekod sebelum ini diambil kira, Abdul Hadi akan hanya datang untuk bertemu secara peribadi dengan Nik Abdul Aziz di Kota Bharu jika timbul isu-isu besar seperti isu kerajaan perpaduan kira-kira dua tahun lalu.
Begitu juga dengan isu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang membabitkan menantu Nik Abdul Aziz, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.
Bagaimanapun, dalam kenyataan ringkas selepas pertemuan tersebut, Menteri Besar Kelantan itu turut meminta semua pihak tidak membuat sebarang andaian terhadap pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Terengganu, Kuala Lumpur pada 24 Disember lalu.
Sementara itu, Abdul Hadi menegaskan, pertemuan enam mata hari ini adalah perjumpaan biasa antara para pemimpin Pas.
Pada masa yang sama, beliau turut senada dengan Nik Abdul Aziz yang meminta semua pihak tidak membuat sebarang andaian mengenai majlis santapan malam itu dan mengheret sama istana dalam kancah politik negara.
"Saya diminta sama hadir dalam majlis tersebut dan saya mengesahkan pertemuan itu, disebabkan majlis ini saya terpaksa menangguhkan program merasmikan cawangan Pas di Manchester, United Kingdom.
"Tidak timbul isu kerajaan perpaduan dan jangan buat sebarang andaian mengenai majlis ini. Jangan adakan benda yang tidak ada.
"Majlis itu adalah majlis Yang di-Pertuan Agong, macam mana hendak adakan pertemuan lain dengan Perdana Menteri, kita hanya berbual biasa dengan Tuanku," katanya.
Biarpun diasak dengan pelbagai soalan, Abdul Hadi tetap menegaskan, isu kerajaan perpaduan tidak timbul sama sekali.
Katanya, pada majlis itu semua pemimpin yang dijemput diraikan oleh baginda dan sebaik sahaja ia berakhir, beliau terus berangkat ke Manchester.
Hari ini, media melaporkan Nik Abdul Aziz mengaku mengadakan pertemuan dengan Najib di Kuala Lumpur pada 24 Disember lalu tetapi enggan mendedahkan butiran pertemuan tersebut termasuk isu yang dibincangkan kerana ia adalah perjumpaan tertutup.
Idea kerajaan perpaduan pernah dikemukakan sebelum ini tetapi senyap seketika apabila mendapat bantahan pihak tertentu termasuk Nik Abdul Aziz sendiri, tetapi ia timbul semula dalam Muktamar Pas Ke-55 pada Jun 2009.
Dalam muktamar tersebut, Abdul Hadi serta barisan kepimpinan kanan parti komited untuk meneruskan gagasan kerajaan perpaduan kerana ia mampu menyelesaikan banyak masalah dalam negara.
No comments:
Post a Comment