Friday, November 5, 2010

Muhyiddin: Isyarat keyakinan rakyat kepada kerajaan

SANDAKAN 4 Nov. - Kemenangan berganda di Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas merupakan isyarat keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lebih membanggakan lagi dua kawasan itu dimenangi dengan majoriti besar yang merupakan perkembangan amat memberangsangkan.

''Kedua-dua kemenangan ini saya percaya merupakan satu perubahan sikap rakyat yang sekarang sudah cenderung untuk bersama-sama BN.

''Ini saya lihat di mana-mana, di Sabah mahu pun di Galas yang terletak dalam kawasan pembangkang. Justeru kita bersyukur kerana kemenangan ini amat signifikan dan tentunya ia hadiah istimewa kepada Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi di sini malam ini.

Hadir sama Pengarah Jentera Pilihan Raya BN yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan pemimpin parti komponen negeri.

Muhyiddin menambah, keputusan itu juga menunjukkan setiap parti komponen BN di peringkat Pusat mahu pun negeri kembali kukuh hingga berjaya mendapat keyakinan rakyat.

Katanya, ini dapat dilihat apabila pengundi Cina di kedua-dua kawasan telah kembali memberi sokongan kepada BN yang menunjukkan gagasan 1Malaysia dan pembaharuan lain yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri diterima baik rakyat.

''Selain itu, di kedua-dua kawasan ini profilnya berbeza tetapi mereka masih mahu pembangunan. Sebab itu jika kata politik pembangunan tidak relevan, itu tidak betul, ia masih punya tarikan yang besar.

''Sebab itu kita nak tegaskan apa yang kita janji nak buat di kedua-dua kawasan ini, kita akan laksanakan. Kita akan penuhi 100 peratus insya-Allah," jelasnya.

No comments: