Monday, July 5, 2010

Subsidi RMR tidak dihapus selagi BN berkuasa

OYA: Subsidi untuk Rumah Mesra Rakyat (RMR) tidak akan dihapuskan selagi Barisan Nasional (BN) berkuasa di negeri ini, jamin Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Timbalan Presiden II Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menegaskan, pemberian subsidi RMR tidak bermaksud BN menggalakkan rakyat mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.

Berucap pada Majlis Penyerahan Kunci RMR Skim Individu Kawasan Dalat di Kampung Kuala Hilir, di sini semalam beliau menjelaskan, subsidi RMR merupakan antara usaha BN meningkatkan lagi sosioekonomi rakyat berpendapatan rendah.

“RMR diilhamkan khas untuk membahagiakan kehidupan keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah. “Pembeli hanya perlu membayar dua pertiga daripada nilai rumah RMR. Satu pertiga lagi parti lambang dacing (BN) tolong bayar.

“Sebagai contoh, 11 RMR skim individu yang diserah kunci pada hari ini (semalam). Pemilik RMR ini merupakan golongan berpendapatan RM1,500 ke bawah yang memenuhi syarat Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) semasa memohon,” ujarnya.

Menurut beliau, penyiapan 11 RMR skim individu di Dalat menelan belanja sebanyak RM850,000 dengan BN membayar RM283,600 iaitu satu pertiga daripada jumlah itu sebagai subsidi.

Abang Johari memberitahu, di sebalik keinginan kuat untuk memenuhi permintaan rakyat dalam mendapatkan RMR, kementerian yang diterajui beliau sentiasa meletakkan kepentingan nilai-nilai sosial di aras tertinggi.

“Saya mengklasifikasikan RMR sebagai fardhu kifayah. Menyedari rumah merupakan punca kebahagiaan mahupun keretakan institusi keluarga, maka RMR dibangun khusus untuk memenuhi kriteria membahagiakan ekonomi serta kehidupan pembeli.

“Keterhadan ruang rumah merupakan antara punca ketegangan keluarga, bahkan sumbang mahram. Justeru, kementerian saya mewajibkan pemaju hanya boleh membina rumah melebihi tiga bilik berkeluasan 700 kaki persegi ke atas di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, kerjasama strategik HDC dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang mempermudahkan pelaksanaan RMR di negeri ini diasaskan oleh hubungan akrab Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dengan Perdana Menteri semasa negara.

Hadir sama, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah, Pengurus Besar Kanan SPNB Datuk Reduan Abu Bakar serta Ketua Pegawai Eksekutif HDC Wan Mohd Yusop Wan Moss.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Residen Mukah (Pembangunan) Mohd Junaidi Mohidin dan Wali Kota Majlis Daerah Dalat/Mukah (MDDM) Ali Suhaili turut menghadiri majlis itu

No comments: