Monday, July 5, 2010

Perhimpunan GAS kecoh



Perhimpunan Gerakan Anti-Samy Vellu kecoh ketika majlis itu diadakan di Dewan Datuk Hamzah, Klang, semalam.

KLANG 4 Julai – Perhimpunan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) di Dewan Hamzah di sini, hari ini terganggu apabila kira-kira 50 orang membuat kecoh dengan mengeluarkan kata-kata bantahan pada perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun kira-kira 1,000 penyokong GAS yang hadir pada perhimpunan itu tidak berganjak dari kerusi masing-masing.

Kekecohan tercetus apabila berlaku tolak menolak di hadapan pentas di dalam dewan tersebut yang menyebabkan polis bertindak masuk bagi mengawal keadaan pada pukul 3.25 petang.

Pihak polis berjaya mengawal keadaan sebelum perhimpunan itu bersambung seketika dan diarah ditamatkan kira-kira pukul 4 petang.

Menurut ahli jawatankuasa penganjur perhimpunan itu, K.P. Samy, pihak yang menimbulkan kekecohan tersebut cuba menggagalkan perhimpunan hari ini.

‘‘Perhimpunan ini untuk menyatukan orang India secara keseluruhan bukan semata-mata memenuhi agenda GAS.

‘‘Kita berkumpul demi kebaikan serta masa depan orang India dan ia diadakan secara aman,” katanya pada sidang akhbar selepas kekecohan itu berakhir.

Hadir sama pada perhimpunan itu ialah bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan yang juga pengasas GAS.

No comments: