Sarawak - SNAP dan PERSB ganti BN dan PR?
Kelemahan kerjasama pembangkang Sarawak - Pakatan Rakyat menjadi sebab penubuhan PERSB (Parti Ekonomi Rakyat Sarawak) sebagai pesaing BN yang baru. Sebelum ini mereka sekadar menumpang imej Pakatan Rakyat, hanya mampu bertanding di kawasan tertentu di bahagian Sarawak melalui PKR dan PAS. Dengan memberi undi kepada PR sebenarnya pembangkang kaum bumiputra yang tidak mempunyai pilihan untuk menyaingi BN dalam setiap pilihanraya. Kerana itulah mereka terpaksa memilih kepada calon-calon PR tanpa perlu mengetahui apa watak yang dimainkan untuk rakyat Sarawak.
Di akhir-akhir kini sebelum menjelang Pilihanraya Negeri, kaum Dayak dan Iban merasakan Pakatan Rakyat tidak mempunyai agenda untuk mempertahankan kepentingan dan mahupun membantu dalam perjuangan mereka. Beberapa kalangan penyokong Dayak PKR di Sarawak mula mempersoalkan kemampuan parti itu untuk membela mereka lebih-lebih lagi dengan masalah dalam kepimpinannya yang tidak pernah berkesudahan sehingga kini.
Sampai masanya pembangkang Sarawak mencari alternatif lain untuk mewujudkan satu gabungan mengganti PKR memandangkan masyarakat Bumiputra bukan melayu kebanyakannya tidak menggemari penampilan PAS atau DAP sebagai wakil bagi pihak mereka. Kesimpulannya, apakah rasionalnya mengharapkan sebuah parti Islam (PAS) daripada Semenanjung tanahair untuk memperjuangkan hak Bumiputra Sarawak yang terdiri daripada kaum Dayak dan Iban bukan Islam? Apakah DAP boleh dipercayai untuk mempertahankan hak NCR dan hak Bumiputra (yang menjadi sumber perjuangan pembangkang bumiputra Sarawak) dalam keadaan parti itu memperjuangkan hak kesamarataan semua rakyat – menghapuskan identiti dan hak Bumiputra?
Agaknya maka dengan itu PERSB ditubuhkan. Penubuhan parti ini bukan hanya untuk menentang BN tetapi juga sebagai perintang kepada PR untuk meluaskan pengaruh ke atas masyarakat Bumiputra. Mungkin juga pembangkang Sarawak telah sedar dipergunakan PR untuk mencapai matlamat perjuangan mereka. PERSB dan PR adalah bertentangan dalam ideologi politik, agenda dan pendekatan dalam mencapai matlamat parti. Ia umpama gabungan PAS-DAP yang banyak percanggahan dan ketidakserasian tetapi kelemahan ini disembunyikan kepimpinan kedua parti.
SNAP? Biarpun ia merupakan salah satu parti tertua Sarawak, namun ia belum diuji atas tiket pembangkang. Penguasaan SPDP dalam gelangang yang sama cuma dapat disaingi jika SNAP dapat menguruskan pendaftaran semula kira-kira 123,000 ahlinya selain mengharapkan sokongan keahlian SPDP lain termasuk kepimpinan tertingginya untuk menyertai pakatan pembangkang. Benar, dulu kesemua kerusi SPDP sebelum itu dikuasai SNAP dan harapan disandarkan berdasarkan kemampuan mereka, itupun sebelum dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 2002 kerana krisis kepimpinan dalaman.
Ketika itu SNAP bertanding di atas tiket BN bukan sebagai pembangkang. Dan SNAP kini yakin dapat berdiri seteguh dulu selain mengharapkan sokongan ahli SPDP yang lain untuk menyertai pro-pembangkang. Sebenarnya apa yang perlu dilakukan oleh SNAP sekarang ialah bersihkan dulu penampilan sebagai parti yang pernah dicemari dengan krisis kepimpinan. Itulah yang telah menyebabkannya terpadam daripada senarai parti yang aktif di Sarawak satu ketika dulu. Bukankah ia sepatutnya cukup sebagai pengajaran sebelum mengharapkan ahli SPDP meninggalkan parti untuk sertai mereka sebagai pembangkang pula?
Penolakan Bumiputra Sarawak terhadap BN kini ialah dengan PERSB. Penentangan Bumiputra terhadap PR juga dengan PERSB. Mengharapkan PERSB berdiri sebagai salah satu daripada komponen PR adalah satu harapan yang paling bodoh sama sekali. Bagaimanapun inilah yang dinantikan PR lebih-lebih lagi DAP untuk mendapat majoriti setelah menumpaskan BN dengan wujudnya SNAP dan PERSB kelak. BN Sarawak yang dinaungi PBB mungkin akan menerima nasib yang sama seperti UMNO dulu. Mereka digempur daripada semua arah. Seandainya BN masih juga berkuasa selepas pilihanraya ini maka kita sarankan kumpulan pembangkang agar lupuskanlah parti yang berbagai perisa dengan bermacam jenis cereka pilihan ini.
No comments:
Post a Comment